Awas Pemuda! Ideologi itu “Not For Sale”

Kredit gambar : In-Mind.org
Oleh : Sadiq Jebat

Estimated reading time: 5 minutes, 48 seconds. Contains 1162 words

Pemuda masa kini giat terlibat dalam diskusi-diskusi pencerahan di mana diskursus ini telah membawa anak muda ke arah pembentukan fikiran yang lebih terbuka.

Jika dahulu usrah di masjid atau surau memainkan peranan penting, lewat pasca ‘Student Occupy’ pemuda mula berangkat untuk berdiskusi di ruang awam yang lebih besar dengan hidangan pembincangan yang lebih berat berkitar ekonomi, sosio-politik juga budaya masyarakat tidak terlepas falsafah juga.

Ini jelas mula menjadi satu trendy di kalangan anak muda yang kedahagaan pengetahuan mula menjamah fahaman-fahaman yang belum diterokai orang awam kebanyakkan. Dampak itu berlaku sedikit kecelaruan dalam memahami setiap ideologi yang mula berlegar di kalangan anak muda lewat zaman pascamoden ini.

Ideologi itu bukanlah sekadar pembincangan tentang teori-teori di buku tetapi juga soal satu pengalaman terhadap ide yang disampaikan.

Bahkan jika dilanjutkan, agama itu juga boleh dicampak dalam kelompok idealogi kerana pembentukanya terhadap tatanan sosial.

Persoalan yang ingin dilontarkan di sini adalah, adakah anak muda masakini memahami setiap ideologi yang dipegang mereka berdasarkan kondisi realiti di Malaysia? Ideologi yang di fahami zaman ini adalah pandangan dunia atau falsafah. Apa-apa sahaja yang mempunyai isme dianggap sebagai satu ideologi.

Dengan lambakan ideologi sebegini, anak muda mula membuat keputusan untuk memilih ideologi yang bersesuaian dengan cara hidup mereka seharian malahan yang lebih selesa untuk diperjuangkan.

Kecelaruan mula terjadi apabila menganuti ideologi telah menjadi satu trendy di kalangan anak muda yang terlibat dalam dunia aktivisme—malahan aktivisme itu sendiri dikatakan satu ideologi. Kecelaruan ini harus diperbaiki dengan melakukan kritik ideologi.

Di mana sikap kritis terhadap fahaman sangat kurang di kalangan anak muda trendy. Boleh sahaja satu-satu sosok itu memegang dan mempercayai ideologi anarkisme atau sosialisme, maka di saat itu sosok itu terus bertaut kuat di dahan ideologi tanpa melihat kerapuhan dahan itu sendiri.

Mungkin biasa kita mendengar celaan atau hinaan daripada golongan yang beragama kepada anak muda sebegini sebagai sesat, sekular atau ateis. Tetapi tidak kurang juga anak muda yang di gelar ‘ateis’ atau ‘sekular’ ini melabel golongan yang beragama ini sebagai islamis. Satu sosok yang digelar islamis ini bersikap jumud, tertutup dan tidak menghargai kepelbagaian pandangan.

Persoalan tentang label melabel mula timbul di kemudian hari. Belum selesai soal ideologi isu nya ditarik kepada soal melabel pihak yang ber-ideologi. Oleh sebab itu, perkara yang perlu dilakukan oleh anak muda digelar islamis, sekularis baik ateis perlu bersikap kritis terhadap ideologi sendiri dan mula melahirkan rasa skeptis.

Dengan ini anak muda akan mula mengetahui akar ideologi yang dipegang mereka.

Tetapi golongan yang bersikap kritis ini pula mula ditentang oleh segolongan pemegang ideologi sebagai golongan yang hanya bermain dalam daerah teoritikal tidak berada di kalangan yang pratikal.

Bagi mereka golongan ber-ideologi ini cukup sekadar ideologi itu diambil secubit dan selebihnya adalah pratikaliti terhadap realiti. Tetapi persoalan yang mendasar tentang realiti di Malaysia juga kurang diperbahaskan dengan tuntas oleh anak muda yang menganut ideologi ini.

Baik sang liberal atau sosialisme, baik seorang sosial demokrat atau konservatif. Apa yang di praktik oleh anak muda masakini tidak lebih adalah satu tindakkan pragmatis iaitu tidak langsung meletak ideologi mereka sebagai dasar praktikaliti gerak kerja.

Sikap pragmatis itu telah memakan semua teori ideologi yang dipegang anak muda sehingga apa yang dibaca di dalam buku-buku tidak langsung sama seperti yang dilakukan di lapangan.

Maka tidak hairan jika rumusnya anak muda masih berada dalam kecelaruan memahami ideologi. Menurut Engels, ideologi itu adalah satu fahaman atau pembentukan ide yang di gagas oleh satu individu intelek atau pemikir di mana sebenarnya sebagai satu kesedaran palsu. Tetapi bukan semua ideologi bertindak sebagai kesedaran palsu kerana sifat (property) bagi ideologi adalah satu tindakan awal untuk menentang status quo yang ada.

Maka ideologi itu harus radikal (baca: berkesan) untuk melawan apa jua yang di lihatnya bobrok.

Oleh itu, teoritikal yang dilahirkan di benak fikiran harus seiring dengan realiti sosial yang ada. Setiap ideologi yang dipegang harus mempunyai aksesnya untuk digagaskan di ruang awam dengan lebih terperinci.

Tidak dapat tidak cara ini memerlukan sikap yang kritis terhadap ideologi itu sendiri. Di sinilah lahirkan satu metod yang dipanggil sebagai praksis iaitu teori dan praktik itu berjalan seiring dan terus membentuk sama lain.

Pada awal nya adalah praktik dan melahirkan satu ide (baca: teori) yang baru maka daripada ide itu lahirnya praktik yang baru dan pembentukan ini boleh dipanggil sebagai dialektik.

Pengembangan praksis ini akan mengikut pengembangan realiti sosial iaitu satu pengembangan sejarah sosial. Walaupun dunia sudah mencapai zaman moden tetapi kemodenan fikiran di kalangan anak muda Malaysia masih sangat kurang.

Kita mempunyai bangunan pencangkar langit, kilang-kilang industri yang banyak, tetapi dalam memahami satu-satu isu ekonomi di kalangan anak muda masih cetek.

Tidak dinafikan diskusi kerap kali dilakukan di kedai-kedai kopi, warung mamak dan di taman rekreasi tetapi jika diamati dengan lebih teliti diskursus yang dibawa masih berkitar dalam soal-soal “Pemahaman terhadap liberal”, “Apa itu liberal?”, “Pengetahuan awal terhadap sosialisme”, “Liberal, sekular dan pluralisme: Haram atau tidak?”.

Ini kerana bimbang diskusi itu tidak mendapat perhatian anak muda yang lain, maka pendekatan yang diambil adalah dengan mengulang-ulang perbahasan asas ideologi yang mana kelompok pendengar juga masih dalam kelompok yang sama saban bulan dan tahun.

Maka tahun ini mungkin sahaja diskusi yang sama turut dibincangkan. Tidak hairan jika kritikan sang pencerah ini mengkritik golongan islamis dengan ceramah cinta mereka, tetapi sang pencerah ini dengan soal ceramah liberal, secular, pluralism, socialism for dummies.

Sampai bila kita ingin tinggal di kedudukan dummies, sewajarnya kita berangkat ke tingkat yang lebih tinggi. Tugas anak muda masakini bukan sekadar mencukupi ruang-ruang ahli politik yang akan hilang tetapi membawa satu gagasan yang baru untuk politik yang akan datang. Malahan mampu membentuk satu paradigma baharu untuk Malaysia kelak.

Perbahasan mendalam terhadap tokoh-tokoh liberal dan polisi mereka harus diangkat oleh anak muda yang dahagakan pengetahuan

Diskusi di ruang awam harus mencakupi soal-soal yang lebih kompleks dan kritikal. Bukan lagi soal tetek bengek pendahuluan terhadap ideologi.

Ini kerana :

  • Wujudnya diskusi yang lebih kompleks turut melahirkan anak muda yang tekun mendalami ideologi mereka dengan penuh kritis. Perkembangan diskursus yang lebih kompleks dan mendalami idealogi dengan lebih kritis bergerak seiring malahan perubahan sebegini mampu membawa satu kondisi realiti sosial anak muda yang baharu.
  • Anak muda tidak lagi berbahas semata-mata soal picisan tetapi turut melakar sebuah karya untuk melakukan kritik ideologi atas ideologi. Dengan ruang yang telah ada, anak muda mampu keluar daripada kecelaruan ideologi iaitu tidak bermain dengan perbahasan yang superficial semata-mata.
  • Jika bercakap soal demokrasi dan ruang awam, anak muda Malaysia mempunyai ruang awam yang terbuka untuk meneruskan perbincangan yang kompleks.

Tetapi hairan mengapa masih ada kelompok-kelompok yang berbisik tentang kebebasan bersuara dan akademik. Sedang begitu banyak buku-buku di pustaka masih tidak terusik untuk di ulas oleh anak muda baik mahasiswa atau tidak.

Persoalan ini yang tidak harus di pandang enteng oleh anak muda yang bergiat dalam dunia intelektualisme dan aktivisme.

Hari-hari ini, anak muda bijak membuat pelbagai program dan pengatur acara debat picisan. Padahal apa yang sesungguhnya diperlukan adalah anak muda yang terus aktif dalam mengkaji kompleksiti ideologi yang dipegangnya tanpa meninggalkan massa dibelakang.

Ilmu tanpa amal itu ibarat pohon tanpa buah, teori tanpa praktik itu ibarat lancapan intelaktualiti semata-mata tanpa mengeluarkan hasil untuk kepentingan sosial.

Oleh sebab itu, telah tiba masa nya anak muda merenung kembali—benarkah ideologi anutan ini? Bertanya lah dengan melihat realiti sosial sekarang tanpa menganuti pragmatisme yang hanya bertindak secara reaksionaris. Tetapi berlandaskan ideologi yang punya praksis-nya.

Wallahualam.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s