Mengapa anda akan tersalah pilih pasangan?

Oleh : Alain De Botton
Perterjemah : Daniel Teoh
Kredit Gambar : GrowTheHeckUp.com

Estimated reading time: 5 minutes, 21 seconds. Contains 1073 words

Ia salah satu perkara yang kita amat khuatir berlaku pada diri kita. Kita bertungkus-lumus untuk mengelakkannya. Namun kita tetap melakukannya juga: kita berkahwin dengan orang yang salah.

Antara sebabnya, kita berdepan dengan beberapa masalah yang membingungkan ketika cuba mendekati orang lain. Kita hanya nampak normal bagi mereka yang tidak begitu mengenali diri kita.

Dalam sebuah masyarakat yang lebih matang dan tercerah, antara soalan yang patutnya  ditanya ketika keluar makan adalah: “betapa gilanya awak?”

Mungkin kita mempunyai kecenderungan untuk marah apabila seseorang tidak bersetuju dengan kita, atau hanya dapat bertenang ketika bekerja; mungkin kita kurang selesa dengan keintiman selepas hubungan seks atau berdiam diri saat berdepan dengan penghinaan. Orang yang sempurna tidak wujud.

Masalahnya, sebelum berkahwin kita kurang menyelami masalah kita sendiri. Pada satu saat hubungan itu hampir mendedahkan kelemahan kita, kita menyalahkan orang lain dan berputus asa. Kawan-kawan kita pula, tidak mahu bersusah payah mengambil berat tentang diri kita, yakni dengan menyedarkan kita.

Maka, apabila kita terlalu lama hidup bersendirian, kita perasan bahawa sebenarnya tiada masalah untuk hidup bersama orang lain.

Pasangan-pasangan kita juga tidak menyedari hal ini. Ya, kita cuba memahami siapa diri mereka. Kita melawat keluarga mereka. Kita melihat gambar-gambar mereka, dan berjumpa dengan kawan-kawan kolej mereka. Selepas semua ini, kita menganggap kerja kita sudah selesai.

Hakikatnya, kita masih jauh dari selesai.

Perkahwinan menjadi sejenis pertaruhan antara dua susuk manusia yang belum lagi mengenali siapa diri pasangan mereka yang sebenar. Perkahwinan juga mengikat mereka dengan masa depan yang tidak mungkin diketahui .

Untuk sebahagian besar tempoh sejarah yg kita ketahui, orang biasanya berkahwin atas sebab-sebab yang logik: tanah si perempuan terletak di sebelah tanah si lelaki, atau keluarga si lelaki mempunyai perniagaan yang sedang berkembang pesat, atau ayah si perempuan merupakan hakim di bandar, kos penyelenggaraan sebuah kubu perlu dibayar, atau kedua-dua keluarga menganuti kepercayaan yang sama.

Malangnya, perkahwinan-perkahwinan yang “logik” ini membawa kepada kesunyian, kecurangan, penganiayaan, kekerasan hati dan pekikan dari dalam kamar. Dari sudut pandang hari ini, perkahwinan yang berdasarkan logik ini, sebenarnya langsung tidak logik; ia bersifat mementingkan diri sendiri, jumud, angkuh dan penuh eksploitasi. Inilah sebab penggantinya – perkahwinan berdasarkan perasaan – tidak perlu dipertahankan lagi.

Apa yang penting dalam perkahwinan berdasarkan perasaan ini adalah naluri.

Kedua-dua individu itu saling suka-menyukai dan tahu dalam hati mereka bahawa ini adalah keputusan yang tepat. Sesungguhnya, semakin melulu perkahwinan tersebut (mungkin mereka baru berkenalan selama 6 bulan; salah seorang itu menganggur atau kedua-duanya teramat muda), semakin selamat hubungan itu. Tindakan melulu seperti ini dapat mengimbangkan semua kesilapan-kesilapan logik yang sebelum ini membawa kepada kesengsaraan.

Penyanjungan naluri dan perasaan ini sebenarnya merupakan reaksi trauma kepada keberlangsungan berabad-abad lamanya dominasi akal yang tidak rasional.

Meskipun kita percaya diri kita sedang mencari kebahagian dalam perkahwinan, hakikatnya ia tidak semudah itu. Apa yang kita cari sebenarnya adalah kebiasaan – yang besar kemungkinan akan merumitkan rancangan kita untuk mencapai kebahagiaan.

Bila sudah dewasa, kita berusaha untuk mencipta semula perasaan-perasaan yang kita kenali semasa zaman kanak-kanak. Perasaan cinta yang kita kenali masa itu selalunya bercampur aduk dengan unsur-unsur yang membinasakan: keinginan untuk membantu seorang dewasa yang kehilangan kawalan, tidak merasai perasaan sayang daripada ibu atau bapa atau takut dengan kemarahan mereka, atau tidak merasa selamat untuk menyatakan kemahuan kita.

Maka, adalah logik apabila dewasa nanti kita menolak calon-calon perkahwinan bukan kerana mereka orang yang salah tetapi kerana mereka terlalu sesuai – terlalu seimbang, matang, memahami dan boleh dipercayai – memandangkan kesesuaian sebegitu berasa amat asing bagi kita. Kita berkahwin dengan orang yang salah kerana kita tidak mengaitkan perasaan disayangi dengan perasaan bahagia.

Kerana berasa begitu sunyi, kita juga melakukan kesilapan. Tiada sesiapa yang mampu memilih seorang pasangan dengan bijak ketika dilanda perasaan keseorangan yang tidak tertahan. Kita perlu selesa dengan kemungkinan bahawa kita akan mengharungi beberapa tahun dalam kesunyian agar kita menjadi cerewet; sekiranya tidak, mungkin kita lebih suka rasa ditemani  daripada menyukai pasangan yang menemani kita.

Akhir sekali, kita berkahwin untuk mengabadikan sesuatu perasaan yang manis. Kita membayangkan perkahwinan akan dapat menonjolkan perasaan manis ketika kita masih enak melayan perkahwinan dalam buah fikiran: ketika itu mungkin kita berada di luar negara, berlayar di tengah laut dan kilauan matahari terpancar di atas permukaan air; kita sedang bersembang tentang beberapa aspek jiwa kita yang orang-orang lain seakan tidak pernah memahami, dan akan makan malam di satu tempat yang romantik nanti. Kita berkahwin kerana ingin mengabadikan saat-saat tersebut, tetapi gagal untuk melihat bahawa tidak terdapat hubungan kukuh antara perasaan-perasaan manis ini dengan institusi perkahwinan.

Sebaliknya, perkahwinan membawa diri kita kepada dimensi yang cukup berlainan dan lebih bersifat pentadbiran, di mana ia berlaku di sebuah rumah di kawasan subbandar, perjalanan ke tempat kerja yang panjang dan kanak-kanak menjengkelkan yang hanya mengebumikan keghairahan yang menghasilkan mereka. Pada ketika ini, terlalu mudah untuk kita berpendapat bahawa kita telah berkahwin dengan pasangan yang salah.

Jangan meninggalkan si dia. Sebaliknya, tinggalkanlah pemikiran yang berdasarkan Romanticism, idea yang telah mempengaruhi bagaimana kita memahami perkahwinan sejak 250 tahun ini: bahawa terdapat seseorang individu sempurna di luar sana yang mampu memuaskan kesemua keperluan dan keinginan kita.

Kita perlu menggantikan sudut pandangan Romantik dengan kesedaran tragik (yang kadang-kadang komik) bahawa setiap manusia akan mengecewakan, menyakitkan dan menjengkelkan kita – dan kita juga akan melakukan yang sama pada mereka. Kita  juga tidak akan berhenti daripada berasa kekosongan dan kekurangan.

Namun ini sebenarnya satu kebiasaan dan tidak harus dijadikan alasan untuk bercerai. Proses memilih pasangan ini sebenarnya usaha untuk mengenalpasti jenis penderitaan yang kita berasa paling sudi untuk mengorbankan diri kita.

Falsafah bersifat pesimis ini menawarkan jalan keluar kepada banyak kesedihan dan pergolakan sekitar perkahwinan. Biarpun agak ganjil, pesimisme membebaskan kita daripada tekanan imaginatif tentang perkahwinan yang banyak datang daripada budaya Romantik.

Kegagalan seseorang pasangan itu dalam menyelamatkan kita daripada kesedihan dan murung hiba kita tidak bererti seseorang itu tidak bagus. Kegagalan ini juga tidak bermaksud perkahwinan kita gagal atau perlu dinaiktaraf.

Orang yang paling sesuai untuk kita bukan orang yang berkongsi setiap cita rasa kita (orang ini tidak wujud), tapi beliau mampu berunding secara arif apabila berdepan dengan perbezaan – beliau seorang yang bagus dalam ketidaksetujuan.

Daripada mengharapkan menjumpai individu yang sempurna sepadannya dengan kita, adalah lebih baik kita mencari mereka yang mempunyai kapasiti untuk bertolak-ansur dengan murah hati apabila berdepan dengan perbezaan. Kesepadanan adalah pencapaian cinta; ia tidak harus menjadi prasyarat.

Romantisisme telah terbukti merupakan falsafah yang kasar dan kurang membantu kepada kita.

Ia menjadikan apa yang kita mengalami dalam perkahwinan seakan luar biasa dan dahsyat. Kita berasa kesunyian dan melihat perkahwinan kita, dengan segala cacat-celanya,sebagai sesuatu yang “tidak normal”. Kita harus melatih diri kita untuk menyesuaikan diri dengan “kesilapan-kesilapan” dalam diri pasangan kita dan juga diri kita sendiri, serta sentiasa berusaha untuk menjadi lebih pemaaf, boleh bergurau-senda dan baik hati.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s