Ada apa dengan ekonomi? (Bhg.1)

Oleh : Sadiq Jebat
Kredit gambar : http://fromarsetoelbow.blogspot.my/2014/04/the-return-of-political-economy.html

Estimated reading time: 6 minutes, 25 seconds. Contains 1286 words

Hangat diperdebatkan hari ini tentang permasalahan ekonomi negara; rasionalisasi kenaikan harga minyak, pengurangan subsidi gula, lambakkan cukai seperti GST, cukai pintu, cukai pendapatan dan sebagainya.

Tetapi hari ini aku hanya ingin menyentuh perkara kecil dalam bab yang besar, menjurus kepada pembentukan ekonomi moden, pecahannya, tokoh-tokoh yang mendukungnya dan sedikit pembincangan tentang sistem asas. Mungkin artikel ini tidak begitu memuaskan bagi mereka yang sudah mengetahuinya tetapi mungkin berguna untuk mereka yang masih terkapai-kapai dalam memahami maksud ekonomi itu sendiri.
 
Pada asasnya—kita mengetahui bahawa ekonomi itu adalah asalnya daripada sistem kewangan dalam sesuatu isi rumah dan diperluaskan kepada sesebuah kelompok (kampung atau bandar) sehingga dibawa kepada sebuah negara yang besar dan hari ini melibatkan dunia.

Apabila kita bercakap tentang ekonomi, fikiran kita tidak lari daripada kemelesetan ekonomi negara. Sedangkan jika kita memerhati ekonomi pada zaman sebelum munculnya ekonomi moden; ekonomi tidak merangkumi semua negara tetapi berkaitan dengan sesebuah kerajaan yang memerintah sahaja.
 
Sekalipun begitu, kita hidup di dunia yang terus beredar mengikut peredaran zaman, apa yang sudah ditakdirkan Ilahi semestinya ada hikmahnya yang tersendiri. Lambakkan ideologi juga telah mengubah daya fikir dan gerak kerja sesuatu individu atau kelompok masyarakat itu sendiri.

Tidak dinafikan bahawa kehadiran kepelbagaian ideologi membuka minda masyarakat kepada masyarakat yang lebih maju. Lihatlah sekarang—anak muda berpusu-pusu menyanjung gerakkan sosialis, anarkis, nihilis dan feminis yang lebih radikal atau ideanya melawan status quo dalam sesebuah negara.
 
Kendatipun, tidak dilupakan ideologi liberal yang juga hangat diperdebatkan saban hari di ruang facebook dan twitter dengan hujah mereka yang tersendiri. Penyebaran ideologi ini juga mempengaruhi daya fikir masyarakat untuk lebih sedar akan kebobrokan sistem yang sedia ada dalam melawan status quo.

Hatta begitu, wujud dalam kelompok ini yang hanya pseudo (pura-pura) atau ostensible. Mereka ini lebih kepada mengejar populis dengan jolokan nama-nama ideologi demikian.
 
Seharusnya kita tidak terjebak dalam sifat mengejar populis dan membuang etika keagamaan walaupun telah ‘menganut’ ideologi yang bermacam ragam itu, kerana jika diselidiki atau dikaji, tamadun itu tertegak semuanya atas kehadiran agama sejak dulu sampailah sekarang. Jika dikaitkan pembangunan Eropah itu kerana sekularnya maka lihatlah etika mereka sekarang—sering kali di’kondem’ oleh ramai tokoh-tokoh tentang kebobrokan kultur hidup mereka yang membawa kepada kemusnahan akhlak, institusi rumah tangga dll.
 
Telah tercatit di dalam kitabullah—Iqra! Bacalah dengan nama tuhan yang menciptakan!! Maka di sini aku mengajak/menyeru/memanggil/meminta/merayu kalian untuk turut sama menyumbang kepada pembentukan masyarakat Ulul Albab yang sifat-sifatnya berlandaskan kepada Kitabullah dan Sunah.

Mungkin berbunyi agak Islamist tetapi bukanlah hasrat aku untuk bersikap apologetik terhadap sikap-sikap aku sebelum ini, tetapi sekadar memberi peringatan untuk membentuk masyarakat yang lebih baik.
 
 Apa itu Ekonomi Politik
 
Ekonomi Moden atau Ekonomi Politik dikembangkan oleh Bapa Ekonomi iaitu Adam Smith dalam garapan idea yang mencampurkan idea ekonomi Fisiokrat dan Merkantilisme. Daripada idea ini maka Adam Smith telah mengarang satu bukunya iaitu The Wealth of Nations (1776), walaupun Adam Smith lebih dijolok sebagai ‘Good Man’ atau seorang yang mendukung idea moralis.

Selain itu, kehadiran David Ricardo juga mengembangkan lagi idea ekonomi moden ini dengan bukunya Principles of Political Economy and Taxation (1817).

Walaupun dijolok dengan nama Bapa Ekonomi Moden—tidak terbukti bahawa dia adalah pencipta ekonomi kerana pada abad ke-18 telah wujud ekonomi Fisiokrat yang ideanya bertapak di Perancis, malahan sebelum itu di China pula muncul tokoh ekonomi Lao Zi juga di Ibn Khaldun di Tanah Arab, malahan Aristotle pada zaman Yunani.

Tetapi kerana beliau yang pada mulanya memahami implikasi, asal usul dan perkembangan kapitalisme maka sebab itulah beliau dijolok sebagai bapa ekonomi. Bermula daripada beliau sehingga pertengahan abad ke-19 tulisan berkenaan ekonomi lebih dikenali sebagai ‘ekonomi politik’.

Selain itu wujud juga garis pemisah dalam Ekonomi Politik apabila beberapa tokoh ekonomi mengambil pendekatan yang berbeza. Dalam bidang ekonomi politik juga dipecahkan kepada dua aliran iaitu Ekonomi Politik dan Ekonomi Politik Baru.
 
Pendukung idea Ekonomi Politik Baru dipelopori oleh Marx, Engel, Lenin, Bukharin, Sweezy, Fine, Harrison dll. Manakala Ekonomi Politik pula dipelopori oleh Smith, Ricardo, Veblen dll. Walaupun begitu peralihan kepada Ekonomi Neo-Klasik bermula sejak Alfred Marshall, Wicksell dan Walras kerana berlandaskan idea ekonomi mereka yang tersendiri. Bermula dari situlah berlakunya pemecahan tradisi dalam pendekatan ekonomi politik. Pemisahan ini bukan kerana berlainan bidang tetapi pendekatan yang berbeza dalam memahami ekonomi itu sendiri.
 
Ekonomi politik menjurus kepada pendekatan kelas manakala ekonomi neo-klasik pendekatan bukan kelas (menolak idea kelas);
 
Ekonomi Politik :

  • Lebih menumpukan kepada hubungan kelas dalam masyarakat.
  • Mengutamakan interaksi kelas dengan aspek bukan kelas.
  • Interaksi kelas itu untuk menghasilkan perubahan dalam kelas sosial

Ekonomi Neo-klasik :

  • Menolak/menafikan kehadiran kelas dalam sosio-ekonomi.
  • Lebih menumpukan kepada sifat-sifat individu yang tetap.
  • Analisa masyarakat atau individu berfungsi dan berubah bergantung pada sifat-sifat individu terhadap pengeluaran (produktiviti).

 
 Teori Ekonomi Neo-klasik (Pendekatan Bukan Kelas)
 
Sebelum kita masuk kepada teori—sewajarnya kita mengetahui mengapa wujud idea ekonomi neo-klasik. Wujudnya pendekatan berdasarkan idea Marshall kerana beliau melihat kepada kebejatan idea Ricardo yang telah mewujudkan nilai lebihan. Penolakan idea Nilai Kerja turut sama menolak idea Marx.

Hatta begitu, ekonomi juga telah diubah kepada ‘permainan’ matematik oleh Marshall—ini juga disebut dalam teori Ekonomi neo-klasik bahawa dengan kaedah matematik manusia mampu memaksimumkan kepuasan dalam hidup.

Teori ini telah tersebar luas setelah pemikiran ekonomi politik terhapus. Bukan itu sahaja, bidang ekonomi juga telah dikhususkan [Kajian sains sosial dan ekonomi terpisah]. Ekonomi kini tidak lagi membincangkan soal kelas atau implikasi pembahagian kelas, eksploitasi, agihan lebihan dan perubahan kelas sosial.

Teori ini hanya membicarakan perihal individu dalam maksud titik tolak penerimaan, sifat-sifat manusia, gelagat dan ragam individu dalam keseimbangan pasaran dan kepuasan manusia (secara individu).

Malahan dalam teori ini ditetapkan tiga andaian utama yang dikatakan sebagai sesuatu sifat yang sedia ada dalam diri manusia;
 

  • Manusia akan membuat pilihan secara rasional untuk memaksimumkan kepuasan diri.
  • Manusia mampu (berdaya) mengubah alam sekitar bagi dijadikan barang-barang gunaan.
  • Manusia dianugerahkan akal atau kebolehan untuk menghasilkan barang-barang yang diperlukan.

 

 Jika diamati poin pertama—jelas kehadiran sistem ekonomi kapitalisme itu sendiri untuk membuka peluang untuk manusia mencari kepuasan hidup mereka.

Sistem ini memberi manusia seluas-luasnya jalan untuk mereka mengambil peluang yang tersedia ada sehingga melanggar etika dalam Islam sendiri. Seperti dilunakkan oleh pendukung kapitalisme; ‘Sistem ini untuk manusia berdaya saing dalam hidup’—sedangkan sudah terang lagi bersuluh sistem kapitalisme sememangnya menindas masyarakat bawahan.
 
Ini dijelaskan lagi oleh pemikir mereka yang lain bahawa manusia itu sendiri bersifat tamak dan ingin mengaut harta kekayaan bagi memuaskan kehidupan mereka—sedangkan jika diamati agama mengajar kita untuk hidup bersederhana bukan mengejar keduniaan semata-mata.

Jika makin dikejar, makin kelam lah jiwa seorang hamba itu. Maka di mana relevannya hujah mereka yang mengatakan sifat tamak adalah sifat semula jadi manusia? Membincangkan soal ekonomi tidak lari daripada pembincangan konsep keadilan, manakala pembincangan keadilan pula tidak lari daripada pembincangan falsafah.
 
Jika dimaksudkan kepuasan itu adalah berbentuk empirikal maka dimanakah batas sesuatu kepuasan itu?—Jelas ‘kepuasan’ berada dalam konteks pembincangan falsafah. Maka perlu kita ingat keadilan perlu diutamakan berbanding kepuasan.

Ini kerana jika kepuasan diutamakan maka aku boleh berhujah; ‘Aku puas dengan membunuh diri-mu’—sewajarnya permintaan aku itu harus ditunaikan untuk aku memperoleh kepuasan hidup. Jadi jelaslah di sini bahawasanya kapitalisme itu membuka peluang kepada kebobrokan sistem ekonomi hari ini.
 

Kapitalisme membuka peluang ini dengan membina polisi dalam institusinya iaitu;

  • Sistem pasaran bebas untuk semua jenis barang.
  • Kebebasan untuk memiliki dan menghasilkan harta kekayaan dalam bentuk sumber produktif dan semua jenis barang termasuk perkhidmatan.

Dalam pada itu, kapitalisme menjadi matlamat akhir dalam hidup yang mampu memberi kepuasan kepada setiap individu—hanya untuk opportunist. Pendekatan bukan kelas ini mementingkan aspek individualisme dan naturalisme.

Sekalipun begitu, wujud beberapa kesan buruk iaitu teori ini telah menyekat analisa ‘ragam pengeluaran’ (perubahan kelas sosial) kapitalis secara serius. Juga dengan sistem ini, status quo dan keadaan sosial yang tersedia ada mampu dipertahankan.
 
Malahan teori ini telah digunakan sehingga sekarang dalam dunia ‘ekonomi akademik’—Kerana pendekatan ini juga, perubahan dari sudut sosial dalam masyarakat tidak dapat difahami. Terdapat banyak kritikan terhadap pendekatan cara ini, turut yang mengkritik adalah Keynes terhadap sistem pasaran bebas dalam menghasilkan keseimbangan ekonomi.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s