Sejarah ditulis oleh sang gagalis

Oleh: T. Greer

Estimated reading time: 10 minutes, 18 seconds. Contains 2063 words

Tulisan ini asalnya diterbitkan sebahagian dari projek Mejabulat Thucydides di Zenpundit. Saya galakkan anda membacanya kesemua tulisan dari mejabulat tersebut.

Mari kenali Sima Qian. Saya sangat menyanjungi beliau. Sebagai seorang sejarawan, beliau mempunyai keberanian bukan kepalang.

Sima Qian kadang-kadang dikenali sebagai “Herodotus Timur”. Itu memang gelaran yang selayaknya. Herodotus merupakan salah seorang dari dua orang manusia yang layak mendakwa mereka mencipta “Sejarah”. Lagi seorang ialah Sima Qian.

Ini satu gabungan yang jarang berlaku. Ia dicapai di dua tempat yang berbeza. Herodotus di Greek manakala Sima Qian di China. Bagi tamadun-tamadun agung yang lain- Mesoamerian, Mesir, Summeria dan keturunannya, kerajaan Andean,  pemerintah terawal gurun Eurasia, empayar-empayar besar yang terbentang di sepanjang Sungai Indus dan Ganges, termasuk salelit budaya mereka sepanjang Asia Tenggara dan Selatan- tiada catatan sejarah yang boleh dijumpai.

Saya teringat  betapa terkejutnya saya apabila dapat tahu bahawa pengetahuan kita tentang India Purba bergantung banyak kepada sejarawan Greek Purba berbanding sejarawan India Purba. Tamaduan Indic tradisional tidak punyai apa-apa(catatan sejarah). Sewaktu India Purba, penulis drama, pemuisi, penulis lirik, ahli tatabahasa, ahli falsafah, penglipur lara, ahli matematik, pakar strategi tentera, autoriti agama, dan orang beragama kesemuanya menulis di pelepah kelapa; meninggalkan  khazanah kesusateraan Sanskrit untuk masa hadapan.

Ianya satu kesusasteraan yang kompleks dan bermakna. Walaupun diterjemah, karyanya tetap indah. Tapi carilah semampumu, tiada satupun dalam khazanah ini akan kamu jumpai sebuah karya sejarah. Seolah-olah untuk wujudnya seorang pemikir yang boleh memanfaatkan masanya untuk menyelak bukti-bukti, cuba menghubungkan sebab dan akibat, memilah kebenaran dari lagenda, dan membentangkan dapatan kajian dalam naratif sejarah bertulis- bagaikan sebuah idea yang tak pernah seorang pun terpikir di sepanjang sub-benua tersebut.

Hanya di Greek dan China perkara seperti ini muncul. Karya setiap sejarawan yang pernah hidup dimuka bumi ini tidak akan lari dari bermula dari salah satu dari kedua tempat ini dan diantara kedua manusia ini.

Sima Qian bukan sahaja disanjung kerana ideanya tentang sejarah. Malah beliau juga seorang sejarawan hebat yang berbakat. Skill beliau mengatasi Herodotus, seorang pembasmi lagenda dan pengumpul cerita dongeng isteri-isteri dan beliau setaraf dengan beberapa sejarawan hebat dari Barat yang lain seperti Polybius, Tacitus dan tentunya Thucydides.

Sima Qian mempunyai karakter yang sepadan dengan bakat beliau. Beliau merupakan ahli astronomi Diraja dan penjaga kalendar di zaman Emperor Han Wudi yang egois. Peranannya ini menyebabkan beliau sentiasa ada dalam perbincangan di Istana. Ada satu debat di mahkahmah yang meninggalkan parut terhadap seluruh hidupnya. Beliau menceritakan kisahnya dalam sebuah surat kepada kawan beliau , Ren An :

“Kejadian itu tak berlaku seperti yang aku rancang. Aku telah lakukan kesilapan yang besar.

Li Ling [seorang Jeneral yang baru sahaja kalah dalam pertempuran dan menyerah kalah kepada musuh Xiongnu] dan aku , dua-dua merupakan pegawai di istana, tapi kami tak berpeluang menjadi kawan. Tugasan kami meyebabkan kami sibuk dan terpisah oleh pejabat yang berbeza apatahlagi ingin menghirup secawan arak bersama atau menikmati sekelumit persahabatan yang indah. Tetapi saya perhatikan beliau sangat prihatin dalam memastikan kawalan diri. Beliau merupakan anak yang taat terhadap ibu bapa, sangat dipercayai dikalangan rakan-rakan, sangat amanah dalam urusan kewangan, jujur dalam percakapan, tidak berbelah bahagi terhadap perkara yang utama/penting, sangat menghormati, bersederhana dan merendah diri. Fikiran beliau sentiasa digambarkan dalam bentuk ketaatan tidak berbelah bahagi terhadap negaranya- inilah cara beliau, dan saya nampak pada diri beliau imej sebenar seorang negarawan. Seorang subjek yang sentiasa bersegera memberi bantuan terhadap rakyat, merisikokan puluhan ribu kematian tanpa memikirkan nyawa beliau sendiri apabila beliau kehadapan mempertahankan negaranya, itulah seorang lelaki yang sangat luarbiasa. Jadi apabila dia membuat satu kesilapan, penasihat-penasihat Raja yang keutamaannya hanyalah mejaga diri sendiri, isteri-isteri dan anak-anak mereka mengambil kesempatan untuk menyalahkan beliau, saya merasai kepedihan beliau dilubuk hati saya yang terdalam.

Kebetulan aku dipanggil untuk memberikan pendapat, dan seperti ini jugalah aku memuji pencapaian Li Ling. Harapanku untuk meluaskan perspektif pemerintah dan menghalang mata penuh dengki para penaasihat raja itu. Akan tetapi penjelasanku sendiri tidak jelas dan pemerintah tak memahami maksudku..dan baginda percaya yang aku menyebelahi Li Ling dan memutuskan untuk menghukumku. Tidak kesemua nilai kesetiaan mampu mempertahankan diriku dihadapan para penyoal siasat. Aku didakwa bersalah kerana cubaan memesongkan pemerintah dan hukuman itu menerima pengesahan imperial.

…Dengan menyerah diri (dalam pertempuran), Li Ling telah memusnahkan reputasi keluaganya. Ketika aku mengikut jejak langkahnya ke “bilik ulatbulu” (bilik panas yang disediakan kepada tahanan yang telah dipotong anu-nya), aku juga menjadi bahan ketawa. Sangat memalukan! Ini kisah yang aku takkan sanggup cerita kepada mana-mana manusia biasa…lelaki itu mati hanya sekali. Kematiannya boleh jadi seberat (semulia) Gunung Tai atau seringan (sehina) bulu ayam. Ia semua bergantung kepada sebab kematiannya. Insan yang terbaik itu mati untuk mengelakkan nenek moyangnya terhina; seterusnya ialah mereka yang mati untuk elakkan diri mereka terhina; seterusnya yang mati untuk elakkan maruah mereka terhina; seterusnya yang mati untuk elakkan kata-katanya terhina. Kemudian ada yang sengsara kerana terhina dirantai; lebih teruk lagi yang terhina memakai baju banduan; lebih teruk lagi yang digari; lebih teruk lagi yang disebat; lebih teruk lagi yang dibotakkan kepalanya dan besi dililit dileher mereka ; lebih teruk lagi yang dipotong anggota badannya dan disunatkan. Dan yang paling menghinakan sekali ialah yang dipotong anu-nya.

…Bagaimana mungkin aku membiarkan diri dirantai dan diikat untuk dimalukan dihadapan orang ramai? Hamba perempuan yang ditangkap pun mampu mengambil nyawanya sendiri, dan tentunya aku juga boleh buat perkara yang sama, jika itu satu-satunya jalan yang benar. Satu sebab mengapa aku sanggup  bertahan untuk hidup, dan tidak mahu melepaskan diri dari tercampak dalam kehinaan, ialah rasa penyesalan yang teramat untuk meninggalkan hasil kerja yang aku sayangi dalam keadaan tidak lengkap, dan meninggalkan dunia seolah aku tidak pernah wujud tanpa mendedahkan adikarya seluruh hidupku untuk tatapan generasi akan datang.”

(Oleh Sima Qian, Surat Untuk Ren An, terjemahan Ingerris oleh Burton Watson)

Kalau diungkapkan kembali pengalaman Sima Qian dari nada yang kurang emosional : Atas sebab prinsip, Sima Qian dihukum potong anu kerana berbeza pendapat dengan pemerintah yang ditemani penasihatnya. Hukuman ini sama saja seperti hukuman mati- semua manusia terhormat di zamannya lebih sanggup bunuh diri dari melalui hukuman tersebut. Semua orang ingat Sima Qian juga begitu. Tapi akhirnya, Sima Qian memutuskan untuk menjalani hukuman dan hidup seluruh hayatnya dalam keadaan terhina, kerana jika tidak,  dia tidak dapat menyempurnakan karya sejarah yang telah dimulakan.

Tidak semua sejarawan punyai keberanian untuk berdepan bertatap muka dengan pemerintah diktator.Kerana untuk seorang diktator seperi Wudi- apa lah sangat memotong anu Sima Qian berbanding dengan perkara lain yang mampu beliau lakukan sebelum pemerintahannya berakhir. Ia merupakan salah satu episod ngeri permerintahan beliau, satu calitan hitam dalam potrait seorang tirani.

Tetapi saya yang mewarnai potrait tersebut? Tidak lain dan tidak bukan ialah sejarawan agung Sima Qian. Kita kenal Wudi seperti apa yang digambarkan Sima Qian. Kalaulah Wudi sedar pengaruh seorang ahli astronomi Diraja terhadap generasi akan datang, pastinya layanan terhadap Sima Qian berbeza. Tapi Wudi langsung tak sedar akan hal ini. Sima Qian dimalukan dan dihina secara umum dengan kejam. Beliau seorang yang kalah.

Tapi akhirnya, dendam sang gagalis itu terbalas.

Kita kata sejarah ditulis oleh orang yang menang. Ya, kadang-kadang ianya benar. Kita tidak ada rekod sejarah tulisan Carthaginian tentang perang mereka dengan Rom; jarang sekali sejarawan hari ini yang bersimpati terhadap Hitler. Akan tetapi tali benang yang menghubungkan banyak sejarah hebat pra-moden dunia ialah semuanya ditulis oleh sang gagalis.

Dalam sebuah tulisan mejabulat “Treason Makes The Historian”, Lynn Rees menyenaraikan sejarawan-sejarawan ini. Herodotus menulis sejarah hanya selepas dibuang negeri dari Halicarnassus; Xenophon menulis memoir hanya selepas kumpulannya dibuang keluar dari Athens. Polybius yang dahulunya Jeneral Liga Archean hanya menulis sejarah ketika menjadi tebusan di Rom. Pemusnahan Judea ditulis oleh Josephus, seorang yahudi.

Orang-orang ini meninggalkan negara dan rakyat mereka untuk kemenangan dimasa hadapan. Tetapi membuat pakatan dengan negara penjajah bukan satu-satunya jalan untuk kalah dan terkenal dalam sejarah. Kesetiaan Tacitus terhadap Rom tak pernah berubah- begitu juga kesetiaan beliau terhadap kelas senator Rom, sebuah kumpulan yang kuasanya perlahan-lahan hilang semasa Tacitus menulis sejarahnya.

Sima Guang, sejarawan kedua paling penting dalam sejarah Cina, hanya siap menulis Zizhi Tongjian setelah pertelingkahan Istana memaksa beliau untuk bersara. Sejarah orang Mongol ditulis hampir seluruhnya oleh musuhnya yang kalah. Ibnu Khaldun pula dikaitkan dengan banyak regim-regim yang gagal hingga menimbulkan tanda tanya, bagaimana beliau dapat mencuri masa menulis sejarah.

Saya pasti banyak lagi contoh yang boleh diambil.Contoh paling sesuai diambil dalam mejabulat ini ialah Thucydides, anak lelaki Olorus. Dalam Buku 4, kita akhirnya dapat mengenali siapakah insan disebalik tabir :

“Laluan Brasidas merupakan satu kejutan terhadap ramai orang-orang di pekan; rakyat yang ditangkap diluar dan kesengsaraan rakyat yang lain disebalik dinding kota, menyebabkan huru-hara yang dasyat terhadap rakyat ; lebib-lebih lagi mereka tidak percaya antara satu sama lain…Manakala mereka yang melawan pengkhianat ternyata lebih ramai lantas menghalang gerbang utama dari dibuka dan bersama-sama dengan General Eucles, yang datang dari Athens untuk mempertahankan tempat itu, mereka dihantar ke seorang komander di Thrace, yakni Thucydides, anak lelaki Olorus, (penulis sejarah ini), yang pada ketika itu di kepulauan Thasos, sebuah koloni Parian, dengan jarak setengah hari pelayaran dari Amphipolis, dan meminta pertolongan beliau. Setelah mendapat mesej tersebut, beliau berlayar dengan tujuh buah kapal dengan harapan untuk sampai ke Amphipolis tepat pada masanya sebelum mereka menyerah diri, atau dalam erti kata lain, untuk menyelamatkan Eion.(4.103)

Jadi, bahagian-bahagian karya Thucydides mula nampak kaitannya. Sangat sedikit sekali nama orang Spartan yang disebut dengan panggilan nama; apatah lagi yang disebut dengan nama berulang-kali. Kecuali Brasidas. Brasidas, insan berani pelindung Methone dan lantas “orang pertama dalam peranng ini yang mendapat pangkat kehormat secara rasmi dari Sparta” (2.25).

Bradsidas, strateginya hampir mengalahkan para Athenian di laut.(2.86-87). Brasidas, ketua berani yang hampir mengalahkan kubu di Pylos.(4.12).Brasidas, penyelamat Megara (4.70-4.73). Brasidas, satu-satunya Spartan yang bijak dalam membesarkan Thessaly untuk melakukan revolusi (4.84). Brasidas,seorang general yang mengalahkan Thucydides.

Obsesi Thucydides terhadap Brasidas sangat mudah difahami jika kita tahu hubungan peribadinya dengan Thucydides. Gambaran beliau tentang Brasidas bahawa dia seorang yang berani, bijak, karismatik, cerdik tidak terbanding, sudah boleh kita fahami yakni – semakin hebat sejarah Brasidas diangkat, semakin kita faham betapa layaknya Thucydides tewas di tangan beliau.

Pendekatan Thucydides terhadap Brasidas tidaklah unik. Kita boleh lihat pendekatan ini dalam mana-mana aspek penulisan Sejarah oleh Thucydides, dari sikapnya terhadap demokrasi Athen (yang mengundi beliau supaya dibuang negeri) kepada gambaran buruk beliau terhadap Cleon (yang menggantikan tempat beliau). Thucydides kalah pertarungan dengan mereka semua. The History of Peloponnesian War ditulis oleh sang gagalis.

Mengapa banyak tulisan sejarah agung ditulis oleh gagalis?

Saya suka cadangan Encik Rees :

“Orang-orang ini mungkin tidak mengikuti jejak langkah Vidkun yang penuh tumpah darah. Mereka kekal setia terhadap komuniti politik tempat lahir mereka, akan tetapi tidak kepada darah daging komuniti politik kelahiran mereka. Mereka mengangkat sumpah terhadap negara seperti berlayar di persisiran Scapa Flow dalam imaginasi mereka, menunggu Der Tag (the day) saat berlakunya perubahan politik.”

Ini mungkin berkesan terhadap sejarawan Quisling (pengkhianat yang berpakat dengan negara penjajah) tetapi tidak untuk gagalis tegar seperti Sima Qian. Saya cadangkan sesuatu yang lebih mudah. Kekalahan memberikan insan agung seperti Thucydides dua perkara untuk menjadi sejarawan yang hebat : Masa dan Motif.

Mereka yang memerintah tidak ada masa menulis sejarah. Kadangkala sejarah melahirkan seorang Caesar atau Mao, yakni orang yang boleh memimpin sejumlah besar rakyat untuk perang, dalam masa yang sama menjadi propagandis prolifik untuk agenda mereka sendiri.

Tapi kebanyakan manusia tidak berbakat seperti itu. Sima Guang takkan pernah dapat meyiapkan sejarahnya jika beliau tidak gagal dalam politik Istana Song. Kalaulah Thucydides berjaya mengalahkan Brasidas, sudah tentu beliau takkan dikenali sebagai sejarawan, tetapi seorang strategis tentera, seorang strategis yang tiada masa untuk mengembaran dan mengumpul bahan yang diperlukan untuk menulis sejarah.

Sejarawan yang menang pun perlukan masa-masa mereka ditewaskan untuk menulis sejarah- jika party Churchill tidak diundi keluar oleh pengundi British selepas berakhir Perang Dunia ke-2, catatan sejarah perang Churchill yang terkenal takkan pernah tertulis.

Apabila jawatan yang tinggi dirampas dari anda, dan akses terhadap kekayaan dan kuasa dinafikan, tiada yang mampu seseorang lakukan – selain menulis. Sejarah jarang sekali “senjata orang lemah”.

Pandangan sejarawan tidak membantu mereka yang terpinggir. Malah sejarah mereka tidak membantu rakyat sekalipun. Sejarah adalah senjata bagi elitis-elitis gagalis, suara-suara orang lelaki dan wanita yang sepatutnya memegang kuasa, tetapi gagal.

Apa yang benar pada zaman Thucydides juga benar pada zaman kita. Penjelasan paling mudah kebencian para akademik kurun ke-21 terhadap struktur kekuasan kapitalism ialah kerana mereka tersisih dari sistem tersebut.

Inilah motif kegagalan. Walau cerdik untuk memerintah tetapi tiada harta dan kedudukan yang diperlukan untuk memimpin, maka sejarawan meneruskan perjuangan di satu-satunya medan yang mereka boleh yakni : helaian mukasurat.

Di medan ini, sejarawan memegang kuasa mutlak. Cukup saja waktu, kuasa itu mungkin meleleh keluar dari helain dan menjadi realiti. Siapa yang mendengar nama Cleon, terus saja terfikir betapa teruknya beliau; manakala tatkala terdengar nama Brasidas, terus terfikir tentang seorang yang bijak berani.

Saya pasti, tiada yang mampu membuatkan Thucydides gembira melainkan ini. Seperti yang beliau harapkan, pandangan sang gagalis ini telahpun menjadi “khazanah sepanjang zaman”.

Terjemahan oleh : Megat Hanis.
Kredit gambar : BBC
Tulisan asal boleh rujuk di sini


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s