Hudud dan “Homo-Islamicus”(Bhg.1)

Oleh: Abdul Rahman Shah

Estimated reading time: 6 minutes, 6 seconds. Contains 1222 words

Versi asal makalah ini pernah diterbitkan pada tahun 2015 dalam portal The Malaysian Insider yang kini sudah dimatikan. Tetapi isu berkaitan dengan apa yang dilihat sebagai konflik di antara undang-undang syariah dengan undang-undang sivil sentiasa relevan dalam negara ini selagi mana ia menjadi cogan kata dalam dunia politik. Makalah ini akan dibahagikan dalam tiga bahagian dan bahagian pertama akan dimulakan dengan sedikit pendahuluan bersama sub-judul pendefinisian.

Jika inginkan konteks betapa lama sudah berlaku apabila makalah ini ditulis, pada masa itu Parti Amanah masih belum wujud (masih GHB lagi) dan Dato’ Saifuddin Abdullah masih bersama UMNO.

Apa yang sentiasa menariknya tentang isu ini adalah fokus utama diberikan kepada hukuman hudud, yang hanyalah bahagian kecil dalam undang-undang syariah, di mana undang-undang syariah juga hanya sebahagian daripada konsep syariah yang lebih besar.

Kenapa tidak cuba membawa syariah dahulu, memberdayakan masyarakat dengan nilai-nilai Islam dan sambil itu membuat kajian untuk membina kerangka sistem perundangan yang praktikal untuk mengoperasi undang-undang syariah dengan lebih menyeluruh dan inklusif bersama undang-undang sivil yang sedia ada dalam Malaysia? Kenapa hanya melaungkan retorik hudud?

Kita akan kembali kepada persoalan-persoalan ini pada makalah bahagian terakhir nanti.
PendefinisianSyariah membawa maksud cara hidup berasakan nilai-nilai Islam yang menyeluruh berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, yang juga dikenali sebagai ‘ad-Din’ dalam konteks yang lain. Kita juga perlu melihat pandangan alam (worldview) kepada cara hidup ini melalui konsep tauhid, bahawa Tuhan adalah satu dan manusia sebagai hamba Tuhan mempunyai peranan-peranan dalam alam ini.

Peranan ini akan membawa kepada konsep homo-Islamicus, seperti dihuraikan oleh Dr. Maszlee Malik dalam buku ‘Menuju Sejahtera Meraih Bahagia: Satu Pandangan Baru Politik Islam (Siyasah Syar’iyyah)’ membawa makna melalui pandangan alam tauhid, manusia mempunyai dua pecahan peranan yang utama, iaitu (1) ibadah dan (2) imarah, yang membawa maksud “memakmurkan dan membangunkan dunia serta mengelakkan kemusnahan terhadapnya” (m/s 17).

Ini bermaksud homo-Islamicus secara pendefinisian sudah terlibat dalam ruang awam secara keseluruhan bukan sahaja untuk tujuan hubungan manusia dengan Tuhan (ibadah), tetapi juga dari segi hubungan manusia dengan manusia malah hubungan manusia dengan alam (imarah).

Adakah ini bermaksud mereka yang tidak memilih cara hidup, pandangan alam, dan tujuan hidup sebagai orang Islam, atau secara ringkas, rakan-rakan kita yang bukan-Islam, adakah mereka akan tidak diendahkan dan ditolak tepi dari segi keterlibatan ruang awam?

Langsung tidak, kerana kita masih boleh fokus pada nilai-nilai universal yang wujud antara cara hidup berlainan, terutama pada tujuan hidup manusia dari segi imarah. Ini antara sebab kita perlu berkenalan antara satu sama lain untuk mengenali dan memahami sudut pandang satu sama lain, terutama negara yang majmuk seperti Malaysia.

Wasatiyyah juga, sebuah terma popular dalam masyarakat sering kali ditafsirkan sebagai kesederhanaan atau moderat. Prof. Hashim Kamali (dalam makalah The Indicators of Wasatiyyah or Moderation in Islam Part 1) menerangkan nuansa wasatiyyah lebih tepat kepada konsep keadilan melalui nilai-nilai individu yang murni, beretika, bertanggungjawab dan lain-lain lagi.

Malah wasatiyyah boleh ditafsirkan sebagai sebuah wacana yang lebih bertujuan untuk membawa manusia dalam semangat mengenali satu sama lain dan berbeza pendapat secara berhemah.

Perkara ini boleh dimanifestasikan melalui dialog terbuka dan kerjasama awam untuk mencapai sebuah tujuan yang lebih besar dalam semangat maslahah dan mafsadah.

Fiqh secara literal bermakna kefahaman, kefahaman terhadap syariah tetapi terma fiqh sering kali berfungsi sebagai sebuah sistem praktikal yang dibina melalui usul fiqh. Di mana usul fiqh pula adalah sebuah kerangka kerja, metodologi yang diguna pakai untuk menterjemah syariah atau cara hidup supaya dapat dioperasikan melalui sistem fiqh.

Fiqh lebih berfokus kepada isu-isu halal dan haram, klasifikasi ibadah dan muamalat, isu ruang awam dan ruang peribadi, klasifikasi kes jenayah (bermaksud bukan semua yang haram dianggap sebagai kes jenayah) dan lain-lain lagi.

Dalam erti kata lain, wacana fiqh lebih berfokuskan kepada hal ehwal kesahan (legality), manakala syariah adalah lebih besar dari itu.

Maqasid Syariah merujuk kepada wacana objektif atau tujuan syariah yang membahaskan sebuah pendekatan yang pelbagai dimensi (multi-dimensional) yang berfokuskan kepada kebajikan sejagat (maslahah) dan mengelakkan kemudaratan (mafsadah).

Pembahasan maqasid klasik adalah pada pecahan hierarki keperluan:

  1. keperluan asas (daruriyyat/essentials), yang mempunyai lima (atau enam) dimensi, iaitu melindungi/menjaga ad-Din, nyawa/jiwa, akal, keturunan, dan harta (serta yang keenam, maruah, mengikut tafsiran pakar yang lain),
  2. keperluan penting (hajiyat/needs), dan
  3.  keperluan tambahan/lebihan (tahsiniyyat/luxuries).

Manakala perbahasan maqasid moden membawa pembahasan klasik ke masa kini dan menambah perbincangan seperti hak asasi manusia, hak wanita, pembaharuan dari segi politik, sosial dan ekonomi, dan lain-lain lagi.

Siyasah Syariah merujuk kepada polisi berasaskan syariah (shariah based), bukannya sekadar tidak melanggar undang-undang syariah/Islam (shariah compliant) seperti yang ada sekarang. Nuansa kedua-dua terma ini sangat berbeza dari segi konsep lagi, dan akan membawa cara beroperasi dalam sistem yang berbeza.

Undang-undang syariah/Islam tradisional merujuk kepada sebuah sistem undang-undang yang menggabungkan persoalan kesahan dari fiqh bersama undang-undang mengikut budaya setempat atau juga dikenali sebagai ‘urf dalam bentuk undang-undang bertulis (kanun).

Dr. Jasser Auda dalam buku ‘Maqasid Al-Shariah as Philosophy of Islamic Law: A Systems Approach’ menerangkan bahawa kita perlu melihat soal undang-undang dari rangka maqasid yang akan membawa pendekatan yang menyeluruh dan lebih dinamik.

Soal kedinamikan juga hadir bersama wacana ’urf yang selama ini dilihat sebagai peraturan budaya yang statik, kepada sistem yang boleh berubah mengikut dinamik keperluan keadaan sosial, masa, geografi dan zaman melalui kerangka maqasid.

Sistem perundangan pula merujuk kepada keseluruhan sistem dari perlembagaan dan undang-undang sedia ada, pembahas undang-undang untuk masuk rang undang-undang (parlimen), pelaksana undang-undang secara individu mahupun sistem (polis, peguam, hakim, sistem kepolisan, sistem mahkamah, sistem penjara, warden penjara, pegawai penjara, pegawai forensik, pegawai psikologi, sekolah juvana, pusat pemulihan akhlak, dan entiti-entiti lain yang terlibat sama), dan pengkaji undang-undang yang akan mengkaji dan mencadangkan sebuah polisi atau sistem baru untuk dibahaskan dalam parlimen.

Jadi dimanakah hukuman hudud, takzir, qisas dan dhiyat terletak? Empat konsep ini merujuk kepada jenis hukuman, bukan undang-undang, jenis hukuman yang boleh disabitkan kerana sesebuah pihak melanggar undang-undang tertentu dan hukuman boleh berubah-ubah mengikut kriteria hukuman.

Masih banyak debat tentang pengkategorian dalam fiqh jenayah sendiri, terutama pada jenayah rogol dan penderaan seksual kanak-kanak (jika ingin berhipotesis di sini, yang mungkin kategori hirabah lebih tepat dari zina sebab sesuatu yang berharga diambil secara paksa dan ganas, menghancurkan diri) serta pembakaran harta secara sengaja (dalam sambungan situasi hipotesis dari atas, yang mungkin boleh dipertimbangkan dalam kategori sariqah/hirabah kerana penjenayah itu secara teknikal ‘mengambil’ barang berharga orang lain).

Dan lain-lain hal teknikal lagi seperti kebolehpercayaan saksi, penggunaan teknologi, pembacaan literal lawan pembacaan berkonteks, dan lain-lain lagi.

Kerana hudud dipolitikkan, wujud banyak salah faham dalam masyarakat tentang konsep-konsep ini, terutama pada status sakralnya (sacredness), yang membuat orang ramai anggap jika hudud tidak dibuat, akan ditimpa bala, atau juga menganggap hudud itu adalah kriteria untuk sebuah negara Islam.

Jika ingin membawa perkataan sakral, semua yang diwahyukan dalam al-Quran adalah sakral, jadi berbuat baik, menderma, membantu anak yatim, membantu orang miskin, berhemah, berbudi bicara, adab, berlaku adil, berdebat dengan cara yang baik, mencari ilmu, ruang untuk ijtihad, kenal mengenal dengan satu sama lain, tundukkan pandangan, kesederhanaan, ihsan– semua ini dan yang lain, juga adalah sakral, jadi kenapa semua ini jarang ditengahkan dan diperjuangkan?

Syariah (rujuk definisi di atas) adalah sakral, absolut– tetapi apabila diterjemahkan, diaplikasikan, dibawa oleh manusia untuk tujuan yang praktikal, perkara ini tidak lagi sakral.

Dalam erti wujudnya campur tangan manusia, dalam perbezaan interpretasi, perbezaan dalam metodologi, perbezaan ilmu dan cara mentafsir apa itu syariah terutama apabila mengikut kondisi masa, zaman, dan keadaan masyarakat, ia akan menjadi relatif.

Syariah sebagai teori tidak berubah, tetapi penterjemahan teori dalam kerangka yang praktikal serta operasi sistem yang terhasil adalah relatif mengikut kondisi zaman, masa dan keadaan masyarakat. Harap pembaca faham nuansa ini.


One thought on “Hudud dan “Homo-Islamicus”(Bhg.1)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s