Melihat sistem perundangan dari kaca mata rehabilitasi dan keadilan restoratif- Bahagian 2

Oleh: Abdul Rahman Shah
Gambar oleh : http://www.carolynhowardpc.com

Estimated reading time: 6 minutes, 3 seconds. Contains 1211 words

Bersambung dari pengakhiran bahagian pertama (link bahagian pertama) yang lebih berfokuskan isu-isu dalam pendefinisian. Bahagian dua ini pula adalah sebuah pengenalan kepada ‘kenapa manusia membuat jenayah dari perspektif kriminologi dan konsep rehabilitasi bersama keadilan restoratif.

Kerana tajuk artikel ini diubah dari “Melihat sistem perundangan dari kaca mata rehabilitasi dan keadilan restoratif” ke “Hudud dan Homo-Islamicus” pada bahagian pertama oleh editor Purana School, pembaca mungkin akan terkeliru sedikit dengan sambungan di sini yang bukan mengenai hudud mahupun konsep homo-Islamicus.

Rehabilitasi dan keadilan restoratif ini adalah dua konsep utama yang sebenarnya ingin diketengahkan kepada pembaca untuk merenung semula pada dunia yang sedang kita duduki ini. Di sinilah “kaca mata” pada tajuk asal artikel terletak.

Manusia, Jenayah dan Tujuan Sistem Perundangan

Melalui kajian-kajian psikologi forensik dan kriminologi yang dilakukan seluruh dunia, kita sebagai manusia makin memahami kenapa manusia lain membuat jenayah, terutama jenayah-jenayah berat yang melibatkan nyawa.

Jenayah berlaku akibat interaksi banyak faktor, antaranya faktor kesihatan mental, faktor keadaan sosioekonomi, faktor kesihatan, faktor cara penjagaan ibu bapa, galakkan rakan sebaya, sub-budaya jenayah dalam komuniti, dadah, alkohol dan banyak lagi. Interaksi antara faktor biologi dan faktor persekitaran yang memaksa, ketidakadilan yang berleluasa, ketidakpuashatian kepada sistem – semua ini adalah resipi untuk jenayah.

Kita perlu berhenti melihat jenayah itu sebagai satu keputusan yang dibuat kerana mereka ‘jahat’, atau orang ‘jahat’ sahaja akan melakukan jenayah. Kita perlu melihat jenayah dan penjenayah dengan lebih teliti, memahami bagaimana mereka wujud dan cuba memastikan faktor yang mewujudkan mereka tidak membentuk penjenayah baru, dan membantu mereka untuk kembali menjadi manusia yang berfungsi dalam komuniti mereka supaya mereka tidak menjadi penjenayah berulang.

Sambil itu aku tidak menolak jenayah itu boleh berlaku akibat kepentingan diri dan tidak lahir dari keadaan yang terpaksa, atau wujudnya penjenayah yang ‘profesional’ – dan ini menunjukkan kenapa kita perlu melihat jenayah dari sudut yang lebih dinamik supaya benar-benar dapat memahami jenayah dengan lebih menyeluruh.

Mungkin ada yang bertanya, “kenapa mahu susah-susah memahami penjenayah semua, hukum sajalah, dah buat salah, terima lah pembalasan”, ya, aku setuju, ada proses hukuman, tetapi pada masa yang sama kita mahu mencegah jenayah untuk berlaku. Untuk mencegah kita perlu memahami kedinamikan jenayah dan penjenayah, dan kajian saintifik diperlukan untuk hal ini.

Terutamanya apabila tujuan sesebuah sistem keadilan jenayah adalah untuk menegakkan undang-undang melalui

  1. hukuman,
  2. pemenjaraan/pengasingan,
  3. rehabillitasi
  4. pencegahan. pencegahan di sini bukan sahaja dari segi penjenayah berulang (recidivist), tetapi juga dari segi percubaan mencegah dari berlakunya jenayah itu sendiri.

Rehabilitasi dan Keadilan Restoratif

Rehabilitasi merujuk kepada sebuah usaha untuk mengembalikan sesuatu kepada keadaan awalnya, bermaksud keadaan sebelum menjadi rosak. Dalam konteks penjenayah, rehabilitasi membantu mereka untuk kembali kepada hidup seharian sebagai ahli masyarakat yang berfungsi untuk kebaikan semua. Idea rehabilitasi untuk penjenayah sebenarnya adalah sebuah idea yang popular, malah juga dipraktikkan dalam Malaysia.

Pusat Pemulihan Akhlak (sebelum ini Pusat Serenti), Sekolah Henry Gurney, semua ini adalah usaha dalam proses rehabilitasi, dan baru-baru ini (pada tahun 2015) sahaja Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa Jabatan Penjara Malaysia akan menggerakkan program rehabilitasi yang lebih menyeluruh untuk mengurangkan penjenayah berulang termasuk program pendidikan ke Open University Malaysia (OUM).

Kita juga mempunyai Bahagian Agama dan Kaunseling yang di bawah institusi Polis Diraja Malaysia, tetapi keberkesanan kaedah yang digunakan dan kajian-kajian dalam negara sukar didapati. Selain badan kerajaan, kita juga mempunyai badan bukan kerajaan seperti Pengasih Malaysia yang mempunyai program yang sangat baik dalam menyeluruh untuk membantu rehabilitasi mereka yang menyalahgunakan dadah.

Mungkin juga kita boleh mengadaptasi sistem penjara Norway yang dikatakan penjara paling berperikemanusiaan? Kerana mereka bukan sahaja memberi peluang dan ruang untuk penjenayah dalam penjara mereka, tetapi juga akan melalui proses rehabilitasi melalui terapi-terapi psikologi. Teknik ini terbukti berkesan apabila peratusan penjenayah berulang di Norway adalah paling rendah dengan 20% sahaja (data dari laporan Incarceration and Recidivism: Lessons from Abroad oleh Carolyn W. Deady, Mac 2014).

Walaupun konsep rehabilitasi boleh dilihat lebih berfokus kepada penjenayah, tetapi boleh jadi lebih menyeluruh dalam bantuan rehabilitasi kepada mangsa, dan juga pegawai dalam sistem perundangan termasuk polis yang mengalami tekanan stres dan masalah dari segi mental, fizikal dan sosial yang lain.

Konsep keadilan restoratif pula merujuk kepada usaha mengenal pasti dan mengambil langkah untuk memulihkan ‘kerosakan’ yang berlaku di antara pihak penjenayah, mangsa/keluarga mangsa dan komuniti melalui pelbagai kaedah dari segi perjumpaan, pengembalian/pembayaran semula, dan lain-lain lain dalam usaha untuk mengubah bagaimana sebuah komuniti dan kerajaan melihat jenayah dan kesan-kesan jenayah.

Kebiasaannya perjumpaan dan komunikasi antara penjenayah dan mangsa akan berlaku selepas penjenayah itu dibebaskan – iaitu kalau konsep rehabilitasi wujud, semua pihak yang terlibat dapat melalui proses memahami kenapa jenayah itu berlaku, proses bermaaf-maafan dan perbincangan bagaimana kesalahan masa lampau boleh dibetulkan, salah sebuah proses untuk kembali ke masyarakat sebagai individu yang berubah, dan sebuah proses perundangan yang lebih inklusif antara semua pihak yang terlibat termasuk ahli komuniti yang lain. Keadilan restoratif adalah langkah seterusnya dalam konsep rehabilitasi, dan data-data dari negara-negara yang mengamalkan sistem ini menunjukkan keputusan yang positif.

Rehabilitasi untuk membantu terutama penjenayah dan mangsa/keluarga mangsa untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang berfungsi dan keadilan restoratif untuk membantu penjenayah, mangsa/keluarga mangsa untuk bersemuka dan memahami satu sama lain bersama komuniti setempat, di samping proses bagaimana si penjenayah boleh membayar/mengembalikan semula apa yang diambil dari mangsa/keluarga mangsa secara logik dengan bantuan kerajaan/pegawai undang-undang.

Negara juga boleh membantu menolong mangsa/keluarga mangsa jika penjenayah tidak dapat membayar gantikan rugi yang ditetapkan, dan kemudiannya si penjenayah membayar ‘hutangnya’ kepada negara balik.

Pada masa yang sama aku tidak menolak di luar sana ada golongan yang antisosial (atau terma lamanya psychopath) dan mereka dalam situasi-situasi yang tertentu yang memerlukan pendekatan yang berlainan, di mana kajian-kajian dari bidang kriminologi dan psikologi forensik akan membantu dalam model dan kaedah intervensi berlainan untuk penjenayah berlainan secara lebih spesifik dalam hal ini.

Kajian yang lebih juga diperlukan dalam hal budaya polis, budaya mahkamah, budaya penjara, sistem pembebasan bersyarat, faktor sosioekonomi dan psikologi dalam jenayah, faktor tekanan dan stres terlampau yang dihadapi polis/warden penjara/pegawai undang-undang, Prosedur Kendalian Standard yang lebih berkesan untuk siasatan dan kendalian
Mungkin ada yang tertanya lagi, “Ini tentang undang-undang sivil bro, bukan tentang undang-undang Islam, atau syariah ke apa, apa kena mengena?”

Seperti mana untuk mempromosi dan menegakkan nilai-nilai Islam tidak memerlukan label ‘Islam’, sama juga dengan konsep-konsep yang dinyatakan sebenarnya sudah wujud dalam konsepsi syariah, hanya wacana konsep-konsep ini tidak dikembangkan dalam negara-negara ‘Islam’, serta penggunaan terma dan bahasa yang berlainan.

Rehabilitasi sebenarnya boleh dilihat sebagai usaha dakwah dan tarbiah, mentarbiahkan semula penjenayah untuk kembali ke masyarakat sebagai seorang ahli masyarakat yang baik (baik di sini bermaksud dapat berfungsi dan menyumbang semula dalam komuniti/masyarakat setempat). Sebagai peluang kedua, peluang untuk berubah diri dengan bantuan pakar psikologi dan sokongan sosial dari polis dan komuniti.

Keadilan restoratif juga boleh membawa sebuah dimensi baru kepada terma adil dan ihsan, malah konsep dhiyat dalam fiqh, iaitu pembayaran kepada keluarga mangsa dalam kes bunuh secara sengaja atau tidak sengaja adalah salah sebuah dimensi dalam keadilan restoratif.

Konsep ini hanya akan menguatkan sistem perundangan kita di samping memberi peluang untuk penjenayah, mangsa/keluarga mangsa, dan komuniti untuk memahami satu sama lain (dalam erti kata lain, taaruf), keadilan melalui semangat ihsan supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

Melihat definisi wasatiyyah yang dibawa oleh artikel ini, bukankah ini juga sebuah proses wasatiyyah ke arah pendemokrasian yang lebih telus, efektif dan dinamik?

Bersama penerapan nilai-nilai melalui proses rehabilitasi dan kajian bersama polisi-polisi efektif untuk membantu mereka yang terpaksa memasuki dunia jenayah seperti faktor-faktor yang telah dinyatakan, secara teoretikal, kita dapat mengurangkan bukan sahaja penjenayah, tetapi juga jenayah spesifik secara keseluruhan.


One thought on “Melihat sistem perundangan dari kaca mata rehabilitasi dan keadilan restoratif- Bahagian 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s