Demokrasi lebih dekat dengan saranan Al-Quran

Oleh: Shukri Mokhtar
Gambar oleh : theeconomist.com

Estimated reading time: 3 minutes, 18 seconds. Contains 662 words

Jika kita menonton filem Tiga Abdul, babak ketika Ismet Ulam Raja sedang nazak, secara senyap dua beradik iaitu Abdul Wahib dan Abdul Wahab sedang berdiskusi tentang pembahagian harta yang bergunung-ganang yang bakal ditinggalkan oleh ayah mereka. Di situ timbullah cadangan Abdul Wahab yang akan mengambil kesemua harta kerana beliaulah anak yang sulung.

Namun hal ini telah dibantah oleh Abdul Wahib anak kedua dalam keluarga dan menuduh abangnya sebagai diktator (kuku besi) kerana ingin merampas kesemuanya. Lalu beliau memperkenalkan sistem demokrasi dalam pembahagian harta kepada abang pertamanya.

Katanya kerana Abdul Wahab merupakan anak sulung maka dia harus mengalah. Lagi-lagi “yang tua akan mati awal” dan harus memberikan semua harta kepadanya dan “inilah demokrasi terpimpin”, tegas Abdul Wahib.

Demikianlah perjuangan manusia dalam ketamadunan dimana akan sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam pembahagian kuasa. Kini kita dalam era permodenan, hampir semua kerajaan seluruh dunia menggunakan konsep demokrasi dalam pemerintahan mereka.

Disebabkan oleh sistem monarki yang digunapakai selepas zaman Khulafa’ ar-Rashidin dan bukannya sistem demokrasi maka timbulnya persoalan apakah hukum sistem demokrasi? Apakah ia haram, halal, harus ataupun makruh?

Ketika keempat-empat Khulafa’ ar-Rashidin dilantik, semuanya di atas kapisiti yang berbeza dan tidak seragam. Abu Bakr khalifah yang pertama dilantik melalui persetujuan lima orang iaitu Umar bin Khattab, Abu Ubaidah bin Jarrah, Basyir bin Saad, Asid bin Khudair dan seorang khadim bernama Salim.

Sebelum meninggalnya Abu Bakr as-Siddiq, beliau telah memohon agar Umar al-Khattab dilantik sebagai khalifah dan ini sangat jauh daripada unsur-unsur demokrasi. Lupakah kita lantikan Abu Bakr sebagai khalifah adalah juga merupakan cadangan Umar al Khattab semasa peristiwa di Saqifah Bani Saadah.

Perlantikkan setiap khalifah atau Khulafa’ ar-Rashidin dengan cara yang berbeza-beza menunjukkan itulah keadaan sistem pemerintahan yang digunapakai ketika itu. Hal ini jelas menunjukkan bahawasanya perkara yang menjadi muamalat tidak dihalang oleh agama, persis dengan hadith riwayat Muslim “Kamu lebih mengetahui hal dunia berbanding aku” sabda nabi Muhammad kepada sahabat-sahabatnya.

Kita mungkin terlepas pandang atau lupa bahawasanya sistem syura itu adalah satu sistem jahiliyyah yang baik tetapi diambil dan digunapakai oleh nabi Muhammad mahupun sebelum dan selepas kemenangan Islam.

Ia adalah satu mekanisme yang diguna oleh kaum Quraisy dalam membuat keputusan mengenai hal ehwal negeri. Jika kita teliti dengan betul, sistem khalifah atau syura itu tidak dinyatakan secara terperinci oleh al-Quran mahupun hadth.

Ditambah lagi dengan cara perlantikkan Khulafa ar-Rashidin yang berbeza-beza, maka ini adalah bukti jelas bahawasanya Islam mengalu-alukan pelbagai mekanisme yang baru mahupun lama asalkan ia memberi kesejahteraan kepada rakyat mengikut keadaan, masa dan tempat. 

Dalam perspektif al-Quran, surah an Nisa ayat 59: 

يأيهاالذينءامنواأطيعواالله وذأطيعواالرسول وأولى الامرمنكم”

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin daripada kalangan kamu”.

Perkataan “منكم” itu merujuk kepada “daripada kamu”, hal ini boleh ditafsirkan dalam pandangan demokrasi iaitu perlantikan wakil rakyat ke parlimen. Begitu juga dengan Surah al-Baqarah ayat 30:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”.Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Akumengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Persoalan yang timbul, bagaimana anak-anak Adam dijadikan khalifah sedangkan perkataan khalifah “خليفة” itu bermaksud secara harfiyyah-nya adalah wakil? Apakah semua bani Adam dapat menjadi ketua?

Daripada sudut demokrasi, inilah yang dimaksudkan iaitu kuasa terhadap pemerintahan dibahagikan kepada rakyat. Oleh itu, pemerintahan “kepada”, “untuk” dan “oleh” rakyat akan dijaga dengan baik. Rakyat yang berkuasa terhadap kerajaan dan bukannya pemerintah. Amir dalam pemerintahan sesebuah negara dilantik oleh rakyat.

Hakikat asas ini hanya sedikit difahami. Hal ini terlihat pada perubahan politik dunia dalam era modernisme dan disebabkan umat Islam terdahulu berada dalam satu sistem politik yang berlainan maka banyaklah perbincangan dan keraguan tertimbul.

Bagaimanapun kita tidak harus dengan mudah mengetepikan fenomena baru yang sejarah lama tidak dapat memberi jawapan kepadanya. Akan tetapi sejarah dapat dihayati bersama permikiran baru untuk digandingkan dalam pencarian jawapan.

Kita harus sedar agama Islam itu bersifat universal atau dalam bahasa Arabnya ‘alamiyyadan apa sahaja yang membawa kepada kebajikan, keadilan, dan kesejahteraan itulah Islam walaupun tidak ada sepanduk atau perkataan berjenama Islam.


4 thoughts on “Demokrasi lebih dekat dengan saranan Al-Quran

  1. Sistem demokrasi dah ada sejak tamadun yunani dan rom. . kenapa nabi tak guna sistem demokrasi? Adakan pilihanraya untuk rakyat melantik menteri2 kabinet . . .semasa nabi masih hidup, umat islam diketuai oleh nabi sahaja setelah dibaiat oleh kepala2 kaum ansar dan muhajirin. . .nabi yg memutuskan segala urusan selepas mengadakan syura bersama para sahabat. Selepas nabi wafat, sistem yg sama diguna pakai bagi menggantikan rasullah(khalifah). Dlm islam, kepala2 atau ketua2 yg mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas masyarakatnya yg berbaiah untuk melantik khalifah. Saidina umar r.a telah membatalkan cara pelantikan khalifah yg dibuat oleh saidina abu bakar r.a dgn menyerahkan pelantikan khalifah seterusnya melalui majlis syura dgn alasan tiada org yg setanding dgn abu bakar r.a (hanya abu bakar r.a boleh memilih pengganti beliau tanpa majlis syura). Selepas khalifah telah dilantik, rakyat haram untuk menjatuhkan khalifah melainkan khalifah telah kafir atau meninggalkan solat berjemaah. Khalifah kekal berkuasa sehingga ke akhir hayat. Org bukan islam juga tidak diberi kuasa untuk melantik khalifah. Ini bertentangan dgn demokrasi yg memberi semua rakyat untuk mengundi memilih pemimpin. Rasuah dihalalkan untuk mendapatkan dana bagi pilihanraya dan bagi meraih undi. Fitnah berleluasa untuk mengalahkan parti lawan. Dan jawatan2 yg diperoleh digunakan semaksima mungkin untuk menjana keuntungan peribadi selama berkuasa dalam tempoh 5 tahun itu. . .

    Like

  2. Melalui demokrasi sesuatu undang-undang tidak boleh dilaksanakan melainkan mendapat sokongan majoriti rakyat. Berbeza dgn sistem khalifah, seorang khalifah berkuasa penuh membuat undang2 yg berdasarkan al quran, hadis,ijma. . .semua pendapat setelah khalifah telah membuat keputusan tertolak. Ini memelihara perpaduan dan kekuatan ummat supaya tidak berpecah belah.sistem khalifah juga tidak sama dgn sistem beraja yg mewariskan pemerintahan dikalangan keluarga diraja sahaja. . .sistem demokrasi telah ditolak penggunaannya oleh nabi dan khalifah2 al rashidin walaupun sistem demokrasi telah diamalkan oleh tamadun yg lebih berkuasa dan lebih dahulu daripada tamadun islam

    Like

  3. Lagipun benarkah amerika dan british yg sanggup mengorbankan berjuta-juta tenteranya dlm beberapa peperangan dunia demi menerapkan sistem demokrasi, sistem kapitalis dan undang2 mereka di setiap negara memang ikhlas demi kebaikan manusia??? Atau sebahagian agenda iblis untuk menjauhkan manusia drp kebenaran. Sistem demokrasi adalah sebahagian cara hidup kaum rom dan yunani bagi pemilihan pemimpin. Maka jgnlah kita, sebagai org islam mengikut cara hidup org2 kafir itu. Ikutkah sunnah nabi dan sunnah khalifah-khalifah al rashidin supaya kita umat islam tidak disesatkan oleh iblis dan kuncu-kuncunya.

    Like

  4. يأيهاالذينءامنواأطيعواالله وذأطيعواالرسول وأولى الامرمنكم”

    “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin daripada kalangan kamu”.

    Pemimpin daripada kalangan kamu ialah khalifah kerana khalifah dilantik melalui syura diantara individu-individu berpengaruh, berilmu tinggi dan berkuasa dikalangan orang-orang yg beriman sahaja.

    Bukannya bermaksud YB wakil rakyat dlm sistem demokrasi yg dilantik oleh org bukan islam dan juga org islam.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s