Melihat sistem perundangan dari kaca mata rehabilitasi dan keadilan restoratif (Bhg.3)

Oleh: Abdul Rahman Shah

Estimated reading time: 4 minutes, 12 seconds. Contains 842 words

Bahagian ketiga adalah adalah sambungan kepada makalah bahagian pertama (Hudud dan “Homo-Islamicus”(Bhg.1)) dan bahagian kedua (Melihat sistem perundangan dari kaca mata rehabilitasi dan keadilan restoratif- Bahagian 2). Kepada yang belum membaca dua bahagian sebelum ini, baca dahulu dan kembali ke sini kerana bahagian ketiga ini berfungsi sebagai cadangan dan konklusi.

Membina Kerangka Perundangan Yang Lebih Holistik dan Inklusif

Saya sebenarnya percaya penggeseran undang-undang sivil dan undang-undang syariah boleh diselesaikan jika kita mempunyai kreativiti untuk merunding kedua-duanya melalui kefahaman syariah yang lebih besar dan pendekatan maqasid untuk mencipta sebuah sistem inklusif yang baharu. Masih lagi boleh mengekalkan sistem dua mahkamah untuk hal ehwal jenayah dan penjenayah yang spesifik.

Malah, jika kita cuba melihat undang-undang dari segi tujuan, dari perspektif yang lebih meluas dari dikotomi mahkamah dua sistem, rasanya tiada masalah untuk undang-undang sivil beroperasi sebagai sebahagian dari takzir dan juga ‘urf. Di mana perbahasaan undang-undang terkini yang lebih efektif untuk menggantikan undang-undang yang lama dibahaskan dengan lebih lantang dengan kajian-kajian baru dalam masyarakat.

Tidak perlu ada perebutan kuasa mahkamah mana lebih tinggi atau rendah, masing-masing mempunyai tujuan mereka tersendiri dalam proses ingin membawa keadilan.

Malah dari segi kerangka jugalah kita boleh melihat bagaimana kumpulan-kumpulan tertentu mentafsir syariah ke dalam sistem perundangan, adakah akan menjadi autoritarian, sehinggakan memerlukan pegawai pada setiap pusat membeli belah dengan kuasa yang arbitrari? Ataupun secara demokrasi di mana polisi-polisi ke arah kebajikan sejagat dan mengelakkan/pencegahan kemudaratan dirangka melalui kajian-kajian yang mendalam supaya sistem berfungsi lebih bertujuan dan secara wasatiyyah?

Di saat ini mungkin beberapa rakan-rakan Islamis akan berkata,

“Ini sudah lebih! Mahu mencairkan undang-undang syariah ke dalam undang-undang sivil, hilang identiti Islam, ini melanggar perlembagaan! Haram haram”, dan mungkin sesetengah rakan-rakan liberal akan berkata, “Cadangan ini sangat tidak progresif dan sedang kembali ke zaman gelap. Ini adalah usaha untuk mencairkan undang-undang sivil dan perlembagaan ke dalam undang-undang syariah. Ini adalah sebuah projek Islamisasi Talibanisasi!”.

Inilah masalah manusia yang masih melihat dunia dari segi kuasa dan bukan pada kedinamikan keadaan sosial dalam masyarakat abad ke-21. Wacana penggeseran antara kuasa adalah wacana yang kuno, tesis Huntington sudah dipatahkan. Ini adalah zaman kenal berkenalan dan menyertai ruang awam bukannya syok sendiri dalam kumpulan sendiri. Zaman wacana awam dan perundingan antara identiti.

Zaman perwakilan orang ramai bukannya kediktatoran. Zaman kita sebagai manusia bersama-sama bergerak untuk memakmurkan dunia dari golongan elit yang menghancurkannya untuk kepentingan diri.

Mungkin juga kepada rakan-rakan yang kreatif, boleh membawa perbahasaan wasatiyyah dalam sebuah kerangka baru bersama teori communicative action Jurgen Habermas, menolak konsepsi wacana awam yang eksklusif dan untuk menunjukkan siapa lebih berkuasa. Membawa wacana awam kepada sebuah perbahasaan yang inklusif bersama masyarakat yang lebih luas.

Perlu diingatkan semula bahawa manusia yang menggerakkan sistem dan manusia mempunyai kecenderungan untuk membuat kesilapan. Kalau kita lihat pada korupsi dalam sistem perundangan, institusi polis, guaman dan mahkamah yang korup boleh membuat pesalah bebas, dan yang tidak bersalah dihukum.

Maka penerapan nilai-nilai syariah dari segi individu melalui kefahaman pandangan alam Islam dan konsep homo-Islamicus sangat penting. Terutama pada konsep maslahah dan mafsadah yang berinteraksi dengan sistem perundangan perlu dipelajari dan difahami.

Kita perlu memanusiakan manusia dahulu, kerana tidak kira betapa canggih sistem baru, kalau elemen manusia korup, hancur kesemuanya. Atau contoh yang lain, sistem boleh dirangka dari sudut pandang sekular dan manusia yang menggerakkan sistem bersikap inklusif serta tidak memisahkan nilai-nilai kemanusiaan dari tanggungjawab mereka akan membuat pentadbiran sistem menjadi lebih efektif – ini bukannya sekular dalam aspek kebudayaan/tradisi, mereka yang membawa agenda sekular dalam budaya sebenarnya bukan dari golongan liberal/sekular sangat, tetapi dari golongan agamawan yang terpisah dari realiti dan menganggap agama itu magis sambil menjual produk sains pseudo, harap golongan Attassian juga lantang melawan golongan sains pseudo ini.

Juga pada pendekatan syariah yang rahmatan lil ‘alamin, kerana syariah bukan sahaja hubungan antara ‘manusia dengan Tuhan’ dan ‘manusia dengan manusia’, tetapi juga hubungan ‘manusia dengan alam’, dan bagaimana semua ini berinteraksi antara satu sama lain. Adakah siyasah syariah lebih “hijau” akan diusulkan? Mempromosi penggunaan tenaga solar, memantau aktiviti pembalakan – malah hentikan terus jika boleh, menjaga hutan-hutan simpan dari dimakan “pembangunan”, bantuan untuk mengkaji teknologi hijau, undang-undang untuk penyeksaan binatang, penjagaan haiwan liar, penjagaan haiwan terancam, institusi zoo yang lebih mesra binatang, dan sebagainya. Semua ini perlu difikirkan dan dikaji, penjagaan alam sekitar bukan hal main-main.

Kita memerlukan wacana kepimpinan ekologi dan soal-soal yang lebih futuristik, terutama apabila dunia moden kini di ambang penjelajahan angkasa lepas. Ya, hal manusia dengan manusia pun sudah kompleks, ini pula hal manusia dengan alam.

Ini baru pada badan kehakiman dan sedikit pada badan legislatif, belum masuk interaksi syariah dengan badan eksekutif, dengan institusi-institusi seperti institusi pendidikan, kesihatan, ekonomi, komuniti, kebajikan, dengan hubungan luar negara, dalam negara, isu makro dan mikro, dan lain-lain lagi. Perlukan kerangka kerja dan polisi yang berkesan juga.
Konklusinya, penulisan ini bersifat sudut pandang gambaran besar (bigger picture) dan berfokus lebih pada konsep dari operasi.

Butiran-butiran dan kerangka kerja yang lebih tersusun perlukan kajian dan perbincangan yang lebih. Saya berharap kumpulan-kumpulan yang serius akan membuat kajian-kajian mereka bersama para pengkaji dari pelbagai bidang untuk memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dan pada masa yang sama inklusif.

Kerana sebagai warganegara yang ingin berpartisipasi dalam sistem demokrasi negara, saya memerlukan wakil-wakil politik terutama untuk hadir dengan sesuatu yang lebih konkrit dan yang lebih praxis, tiada siapa mahukan undi mereka hilang dalam lautan retorik dan doublespeak politik.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s