Misi Kenabian Ali Shariati

Oleh: Sadiq Jebat

Estimated reading time: 6 minutes, 24 seconds. Contains 1281 words

Pemikiran Ali Shariati telah menjadi pencetus revolusi melawan regim Shah Pahlavi dengan kebangkitan rakyat yang sungguh-sungguh menolak kezaliman pemimpin monarki Iran itu. Pemikiran Ali Shariati ini telah membawa satu nafas baru kepada ramai pelajar beliau yang ingin melihat perubahan dalam tatanan politik Iran. Pemikiran beliau tidak sahaja diangkat di Iran malah telah diangkat juga di negara-negara dunia ketiga yang ditindas oleh Kolonial.

Pada 8 April 2017 yang lalu, IRF telah menganjurkan satu seminar pemikiran reformis Ali Shariati yang dibentangkan oleh Dr Maszlee dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga Dr Azhar Ibrahim dari National University of Singapore (NUS) di mana kedua-dua pembentang mengambil sudut pandang yang berbeza dari sisi Ali Shariati.

Dr Maszlee melihat daripada penulisan The Hajj oleh Ali Shariati yang menceritakan makna dan nilai sesuatu haji itu dilakukan. Manakala Dr Azhar pula mengambil sisi pandang revolusioner beliau yang berlandaskan Intelektualisme Profetik.

Menurut Dr Maszlee, antara tokoh awal Malaysia yang membawa pemikiran Ali Shariati pada 80-an adalah Ahmad Shabery Cheek. Ali Shariati dalam buku beliau The Hajj membawa hujah kerelevanan haji dilakukan, estetika disebalik ritual haji termasuk sudut pandang yang jauh berbeza dari kebiasaan yang hanya menyentuh soal sejarah, legalistik dan pengalaman.

Tetapi berlandaskan sudut pandang sosiologikal dibalik ritual haji. Beliau cuba membawa satu perbahasaan Teologi yang bersifat perlawanan– Teologi Pembebasan. Bagi Ali Shariati tonggak terpenting untuk muslim itu mengerti erti kebebasan adalah:

1- Tauhid

2- Jihad

3- Haji

Dalam buku The Hajj beliau menggambarkan makhluk ini adalah bebas sesama manusia, dan tidak wujud perhambaan manusia antara manusia tetapi hamba itu adalah wujud dalam ruang lingkup manusia dan tuhan. Menurut Dr Maszlee karyawan hari ini sudah lesu dan lemau kerana tidak lagi mempunyai nilai estetik dalam puisi, lagu, sajak dan cerita yang ditulis mereka.

Ini menyebabkan seni di by Advertise” href=”#34270849″> Malaysia dilihat tidak mampu membawa masyarakat-nya keluar dari kemelut perhambaan ini. Menariknya buku ini Ali Shariati melihat haji dalam konteks teater iaitu ada beberapa watak yang perlu dimainkan oleh pelakon. Watak atau karakter itu seperti Nabi Ibrahim, Siti Hajar, Nabi Ismail, Syaitan, dan lain-lain.

Manakala Pelakon-nya adalah mereka yang menunaikan haji dan tuhan sebagai sutradara. Menurut Dr Maszlee, Ali Shariati melihat ummah itu bukan pada dasar individu tetapi dalam bentuk kolektif yang hidup di atas dasar kemanusiaan yang inklusif.

Haji ini bertujuan untuk mengetuk jiwa manusia melalui tiga unsur penting iaitu ilmu, kesedaran rasional dan kecintaan.

Tiga unsur ini akan melengkapkan manusia itu tetapi menurut Ali Shariati manusia perlu juga membuang tiga berhala yang memerangkap jiwa manusia selama ini iaitu menurut beliau Firaun, Qarun dan Bal’am yang menopang pemerintahan Qabil yang tirani.

Dalam jiwa manusia menurut Shariati punya tiga berhala ini yang harus dibuang terlebih dahulu untuk menjadi manusia (insan) itu.

Menarik-nya The Hajj apabila Shariati melihat keteguhan cinta Siti Hajar menghadapi ujian tuhan. Hajar dikonatasi sebagai seorang wanita yang berkulit hitam, isteri kedua Nabi Ibrahim mentelah dibenci pula oleh Siti Sarah. Bukan itu sahaja, Hajar juga terpaksa menjaga anak nya iaitu Nabi Ismail. Lambang ini dibangkitkan bagi mengkritik soal kelas dan diskriminasi kaum.

Setiap manusia perlu mengorbankan apa yang mereka cintai, seperti mana Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anak-nya Nabi Ismail. Ini menunjukkan kecintaan Nabi Ibrahim dan keluh kesah yang dialami oleh seorang Nabi itu tidaklah mudah mengatasi godaan berhala dalam jiwa mereka.

Ini tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika kita mengatakan persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Ali Shariati ini berupa profetik (wahyu) kerana melawan penindasan, kezaliman, ketidakadilan adalah suruhan para rasul dan juga anbiya.

Menurut Dr Azhar, memetik Eric Fromm menjadi Nabi itu adalah menunjuk jalan alternatif kepada pembebasan yang terus menerus protes dan menentang penindasan terhadap mereka yang tertindas.

Ali Shariati melihat pertembungan yang berlaku ini sebagai satu pertembungan antara Mutakabbirin (penindas) dan Mustadafin (ditindas).

Mereka yang mutakabbirin inilah yang dikatakan Ali Shariati mempunyai berhala-berhala dalam jiwa mereka kerana itu Ali Shariati mahu mengangkat Teologi masyarakat iaitu teologi yang membicarakan soal-soal pembebasan.

Bagi beliau, tafsir terhadap teks-teks Al-Quran itu mestilah berlandaskan sebuah teologi yang membebaskan manusia daripada kemelut perhambaan di mana teologi itu harus mendepani masyarakat. Seperti mana di Indonesia, menurut Dr Azhar punya beberapa tokoh agama yang mengangkat tinggi teologi kiri ini seperti Tjokroaminoto, Ahmad Dahlan dan Haji Misbach.

Dr Azhar juga membincangkan soal sudut pandang Ali Shariati yang menegaskan kepada umat Islam untuk meluaskan cakupan ilmu iaitu melihat sesuatu yang kritis di Barat. Seperti beliau sendiri, ada sesuatu yang umat Islam perlu belajar dengan barat, tetapi beliau bersikap selektif dalam membezakan antara yang kritis dan jahil.

Ali Shariati melihat teologi itu dalam korpus sosiologi yang mana melawan kepada gerakkan mullah yang hanya membicarakan agama dalam kalangan mereka tidak di ruang massa.

Bagi beliau tokoh pembebasan di zaman Nabi Muhammad adalah Abu Zhar. Bacaan teks klasik beliau sangat meluas. Abu Zhar itu diangkat seperti melebihi daripada Imam Husain kerana banyak dalam tulisan beliau memuji perjuangan Abu Zhar satu sosok yang menentang golongan mutakabbirin ini bagi membela mustadafin.

Ali Shariati juga membincangkan Islam sebagai ideologi yang melawan kepada sebarang bentuk kekuasaan yang mengarah kepada perhambaan. Tauhid itu bagi beliau adalah melawan pemberhalaan.

Tetapi tauhid yang dimaksudkan Shariati itu adalah tauhid yang telah diperbaharui bukan berdasarkan tafsiran para mullah jahat. Seorang yang membawa sisi intelektual iaitu rausyanfikir menurut Ali Shariati adalah mereka yang berpihak kepada golongan yang tertindas, tidak bersikap hipokrasi dan tidak bersifat neutral terhadap isu-isu penindasan.

Ini banyak kali kita lihat di kalangan ahli akademik yang hanya melihat permasalahan itu dalam korpus akademik yang telah dibentuk sang penguasa. Bersikap neutral itu adalah satu penipuan, bagi Ali Shariati, intelektual sebenar itu perlu bersama mereka yang tertindas.

Menurut Dr Azhar, Ali Shariati ini tidak boleh dilihat sebagai seorang sosok ahli politik, atau orang agama atau juga ahli akademik sahaja, tetapi melepasi kesemua tahap itu iaitu seorang religius-intelektual. Seorang sosok yang membawa agama atas nama ilmu tetapi membumi.

Nah inikan sifat-sifat para rasul yang membawa wahyu tuhan terus kepada manusia-manusia yang tertindas. Dr Azhar mengambil Indonesia sebagai satu tempat berkembangnya pemikiran Ali Shariati ini.

Beliau melihat gerakkan reformis di Indonesia sangat mendapat sambutan malah bukan itu sahaja, gerakkan reformis ini bukan sekadar pembaharuan tetapi juga bersifat profetik. Intelektualisme Profetik ini adalah mereka yang berjuang sejajar dengan jalan-jalan praktikal para rasul dan anbiya, contohnya Kiyai Ahmad Dahlan di negara seberang.

Ahmad Dahlan bukan sekadar berceramah atau berbicara soal tetek bengek agama tetapi turut mewujudkan sekolah, hospital, klinik kemudahan awam untuk orang-orang tertindas ini.

Bagi beliau ini adalah satu bentuk teologi pembebasan. Teologi yang menurut Dr Azhar adalah satu bentuk kita mengonsepkan makna-makna agama itu. Rausyafikir itu harus bergerak bersama rakyat atau ummah dan harus mempunyai ciri-ciri kemanusiaan.

Di Indonesia menurut Dr Azhar, pemikiran Ali Shariati ini sudah berkembang sejak 80-an salah sorang daripada tokoh terkenal adalah Kuntowijoyo yang menggunakan pendekatan profetik ini.

Ada beberapa ciri penting dalam membawa wacana pendekatan profetik ini iaitu wacana itu harus muncul dalam hal-hal budaya masyarakat. Jika kita jengah sebentar di by Advertise” href=”#89000148″> Malaysia persoalan-persoalan seni di sini sudah lesu, seperti yang dinyatakan oleh Dr Maszlee seni di Malaysia sudah tidak tajam lagi. Hilang-nya sisi-sisi estetika itu menyebabkan masyarakat terus menerus terperangkap dengan pemberhalaan.

Seorang rausyafikir itu haruslah terarah dan terpanggil untuk membebaskan manusia daripada perhambaan dan semestinya tindakkan mereka tidak mengikut trend atau sentimen.

Menjadi seorang reaksionari adalah satu jalan yang langsung bercanggah dengan sifat-sifat intelektualisme profetik. Wacana berupa pembebasan perlu diwujudkan dalam kondisi setempat bersama-sama mereka yang tertindas.

Nah sekali lagi ini menunjukkan intelektualisme profetik ini adalah jalan-jalan yang turut diambil oleh para rasul dalam membawa risalah kebenaran.

Akhir kata, dapat kita lihat jalan yang diambil oleh Shariati ini berupa jalan yang kritis, kriti sosial dan tidak semata-mata sekadar berwacana di warung-warung tetapi juga turun bersama massa.

Di Malaysia kita perlukan lebih ramai tokoh seperti beliau yang menekankan kepada wacana melawan penindasan dan menolak sebarang hegemoni terhadap pendidikan. Jelas gagasan Shariati ini mencakupi nilai-nilai kemanusiaan yang berpaksi kepada tuhan yang satu; Perhambaan hanya kepada Tuhan!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s