Cinta Sebenarnya Relatif- Ulasan Filem Love Actually

love-actually-movie-poster-2003-1020189066

Oleh: Sadiq Jebat

 

Cinta dikatakan membahagiakan malahan semua manusia mengejar dan mencari makna kebahagian cinta. Sebut sahaja perkataan keramat ini membuatkan jiwa para manusia berbunga-bunga maka dibahaskan mereka apa erti cinta dengan melalui pengalaman dan perspektif bagi mencari hakikat tentang makna cinta. Masing-masing mengatakan cinta mereka itu lebih benar, jalan yang dilalui mereka lebih tepat dan perlu dilalui. Cinta semestinya memenatkan untuk dibahaskan, kerana ada pendapat merasakan cinta itu perlu dilalui oleh setiap sosok yang ingin mengetahuinya, jika dibahaskan maka tempanglah maknanya. Cinta kadangkala diibaratkan seperti secubit gula yang telah bercampur air, jika ditanya di manakah gula itu, jawapannya keseluruhan itu adalah gula dan keseluruhan itu adalah air. Jika pendapat ini diambil maka adakah cinta itu juga bermaksud kedukaan. Dalam kedukaan dan kesukaan mengamati perjalanan bercinta maka itulah CINTA. Apakah itu C-I-N-T-A?

Hambar dan begitu membosankan persoalan tentang cinta, kerana cinta jika dibahas sampainya kesitu juga. Alih-alih soal pengalaman dan perasaan yang sukar dipertuturkan. Tetapi apa beza abstraknya CINTA dan abstraknya KEADILAN? Membincangkan tentang sesuatu yang tidak tampak dideria mata ini semestinya sukar sekali mentelah itu jawapan tentang cinta sudah menjadi begitu tepu dengan filem-filem picisan tentang cinta plastik.

Di sini membuatkan perkataan CINTA tidak seagung perkataan lain, contohnya KEADILAN, KESEDARAN, KESATUAN TUHAN, dan et cetera.

Konsep dan makna cinta ini sudah dibahaskan oleh ramai manusia bermula daripada golongan bijak-pandai sehingga menjengah golongan anak kecil (budak weechat), daripada atas hingga menyentuh yang bawah tidak terkecuali walau sedikit daripada mereka. Hampir semua terperangkap dalam kerangka pengetahuan masyarakat tentang cinta. Maka kerana itu filem Love Actually membawa satu naratif bagi menghurai maksud cinta dengan membawa pengalaman cinta yang berbeza-beza dengan latar masyarakat moden dan bercirikan barat. Nah, mungkin sahaja wujud keadaan berat sebelah kerana tidak menyentuh cinta orang agama, cinta pada tuhan, cinta pada diri sendiri, dan et cetera. Tetapi semestinya jika ditayangkan semua cinta-cinta ini belum tentu anda sebagai penonton mampu menerimanya sebagai sebuah filem yang memberi makna bukan.

Filem ini dimulai di kawasan lapangan terbang yang mana menurut narator filem tersebut, kajian yang telah dibuat, dunia ini dipenuhi oleh sifat ketamakan dan kebencian antara satu sama lain tetapi bagi beliau perkara itu tidak benar sama sekali. Soalnya apa yang dilihat oleh beliau adalah cinta dan cinta itu ada di mana-mana. Cinta pasangan kekasih, suami isteri, anak dan ibubapa, sahabat dan sahabat. Latar tempat yang diambil oleh pengarah (Richard Curtis) pada pembukaan filemnya adalah mengsimbolkan tentang pertemuan dan perpisahan. Maka di situ cinta dapat dilihat dan dirasai.

Kawasan lapangan terbang melambangkan satu latar waktu yang menonjolkan masyarakat moden. Satu masyarakat yang melepasi kelompok komuniti kampung. Sekumpulan manusia yang hidup mereka tidak lagi berlandaskan soal kolektif. Jika dijengah tentang masyarkat moden, sifat dan peranan sosial masyarakat ini bersifat mementingkan diri sendiri.

Menurut Ferdinand Tonnies dalam buku beliau Gemeinschaft un Gesellschaft, masyarakat bandar (Gesellschaft) ini lebih bersifat mementingkan diri sendiri, tamak dan tiada nilai solidariti yang kuat. Berbeza sekali peranan mereka berbanding masyarakat pedalaman atau kampung (Gemeinschaft).

Ini kerana masyarakat bandar ini sudah berubah peranan-peranan sosial akibat kesan daripada faktor ekonomi, politik, institusi sosial, status peribadi, matlamat individu, dan et cetera.

World outlook mereka juga berlandaskan kurwille (rasionaliti) yang pada awalnya sudut pandang wesenwille (semangat kekitaan) sebagai cara pandang alam yang melandasi masyarakat awal.

Faktor perubahan ini adalah kerana perubahan sosial dan budaya setempat. Perubahan ini disebabkan beberapa faktor seperti kolonialisasi atau perubahan sistem politik yang mana akan merombak segala struktur budaya yang diterapkan dalam sistem politik terdahulu. Ini adalah faktor-faktor perubahan sistem masyarakat yang lama kepada yang baru. Maka perubahan budaya sosial menyebabkan pemahaman tentang cinta turut berubah.

Latar waktu yang diambil oleh Curtis pula adalah lima minggu sebelum Krismas. Di dalam filem tersebut Krismas dilihat sebagai waktu untuk mereka beragama Kristian menyebarkan cinta dan juga bercakap benar. Curtis cuba untuk membawa mesej penyatuan masyarakat moden ini adalah kerana cinta, bukan lagi soal budaya, adat resam dan agama seperti yang wujud dalam masyarakat komuniti kampung. Pembawakkan hubungan kisah cinta ini dilihat dari perspektif yang berbeza:

  1. Kisah anak kecil yang mencintai seorang gadis Amerika.
  2. Kisah suami yang kematian isterinya.
  3. Kisah penulis novel yang jatuh cinta kepada gadis Portugis.
  4. Kisah wanita yang mencintai suami yang curang
  5. Kisah seorang bos yang punya hubungan cinta dengan setiausahanya.
  6. Kisah remaja lelaki yang mencari cinta (seksual) hingga ke Amerika.
  7. Kisah Perdana Menteri Britain yang jatuh cinta dengan pekerjanya.
  8. Kisah lelaki yang mencintai isteri sahabatnya.
  9. Kisah wanita yang terpaksa memilih antara cinta atau manusia sekelilingnya.
  10. Kisah lelaki dan wanita yang jatuh cinta sewaktu bekerja.

Kesepuluh-puluh cerita ini membawa naratif cinta, kerana cinta menghubungkan mereka bersama. Curtis cuba mengambil perspektif yang berbeza-beza agar maksud cinta yang ingin disampaikan itu adalah berkenaan hubungan kemanusian. Dengan tersebarnya cinta, hubungan kekeluargaan dan kebersamaan dapat dimunculkan kembali dalam masyarakat moden. Di mana solidariti sosial dalam masyarakat moden sangat lemah akibat segala tujuan dan tindakkan adalah berasaskan individualistik. Akibat daripada itu kadar kematian bunuh diri dalam masyarakat moden meningkat berbanding kadar bunuh diri di kawasan masyarakat pedalaman dan kampung. Kajian ini dilakukan oleh Emile Durkhiem dalam buku beliau iaitu Suicide. Tetapi adakah dengan cinta masyarakat individualistik ini mampu kembali meraikan solidariti sosial?

Permasalahan Curtis adalah kerana mengambil cinta sebagai bahan penyatunya. Dalam melihat cinta tidak terlepas daripada kita untuk turut melihat apa-apa yang mendasari sebuah C-I-N-T-A. Perspektif manusia yang melihat cinta adalah bergantung kepada identiti yang mereka punyai dan juga idealogi yang mereka anuti. Mungkin sahaja sudut cinta kebaratan dilihat sebagai jauh terpesong dan tidak mampu diadaptasi oleh masyarakat yang beragama Islam. Maka atas nama CINTA juga manusia masih tidak mampu bersatu.

Menakala Abraham Twerski, seorang rabbi melihat cinta dari sudut ‘memberi’. Twerski memberi satu analogi paradoks tentang cinta iaitu “Cinta Ikan”– tentang seorang lelaki yang memakan ikan kerana kecintaan beliau kepada ikan tersebut.

Ironinya, lelaki itu membunuh ikan tersebut dan memakan ikan itu atas nama CINTA! Padahal yang sebenarnya kerana rasa ikan tersebut yang ingin diambil maka lelaki itu merampas apa yang ikan itu ada untuk dirinya. Apakah itu cinta menurut lelaki tersebut? Twerski melihat perkara itu bersifat paradoks dalam memaknai maksud cinta.

Cinta sebegitu dimaksudkan sebagai sebuah cinta kedirian yang ingin memenuhkan keperluan diri masing-masing manakala apa yang dituturkan atas nama cinta itu semata objek kegembiraan.

Cinta adalah soal memberi apa yang kita sukai agar sebahagian yang kita sukai menjadi cinta untuk menerima. Maka itulah cinta bagi beliau. Nah, maka tidak dapat tidak makna sebuah cinta yang dimaksudkan beliau sangat cocok dengan kondisi masyarakat gemeinschaft yang matlamat hidup mereka adalah soal kolektif. Segala gerak kerja berlandaskan kebersamaan. Bergerak atas nama cinta yang memberi. Hal ini yang ingin dibawa oleh Curtis dalam babak Mark yang mencintai Juliet isteri kepada rakannya Joe. Mark hanya mampu menyimpan perasaan cinta itu tetapi untuk menonjolkan rasa cinta tersebut, dia melakukan banyak pengorbanan seperti memeriahkan lagi suasana majlis perkahwinan, merakam bibit manis majlis perkahwinan itu.

Pada perspektif ini, Twerski dilihat benar, cinta yang sebenar (bagi-nya) adalah memberi apa yang kita sukai agar cinta itu menjadi sebahagian dari mereka yang menerima. Babak Mark mengungkapkan rasa cintanya kepada Juliet adalah saat yang akan memilukan hati para penonton. Di mana atas dasar Krismas, bercakap benar dan menyebarkan cinta, Mark tidak lagi merahsiakan rasa cintanya kepada Juliet tetapi tidak mengharapkan sebarang harapan. Mungkin sahaja ini benar mungkin tidak. Itu hanyalah satu daripada sepuluh perspektif cinta yang dibawa oleh Curtis.

Secara keseluruhan, filem ini mempunyai beberapa adegan seksual yang mungkin sahaja tidak menyenangkan hati para islamis berkopiah dan berjubah labuh. Selain itu, babak curang dilihat sebagai maksud cinta juga mungkin akan dipandang sebagai satu perkara bodoh. Walaupun begitu, Curtis tetap berjaya membawa mesej-mesej penting seperti cinta itu adalah soal keberanian dan kesungguhan. Filem ini wajar ditonton oleh mereka yang mencari maksud cinta.

“Love is reckless; not reason.

Reason seeks a profit.

Love comes on strong,

consuming herself, unabashed.”- Rumi


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s