Sains Sosial Di Abad Pencerahan

Oleh: Muhammad Izzat

Pekembangan sains sosial telah berakar awal daripada mulanya kemunculan ilmu falsafah barat. Sains sosial ini merupakan satu disiplin yang mempunyai cabang yang pelbagai dan pecahannya. Perbincangan mengenainya menjadi lebih mendalam dan luas pada awal kurun ke 19 dan berkembang kepada beberapa pecahan seperti antropologi, geografi, sosiologi, sains politik dan psikologi. Sejarah sains sosial yang jelas dapat dilihat bermula sejak daripada zaman pencerahan lagi sekitar pertengahan abad ke-17 dan memperlihatkan perubahan dalam falsafah alamiah dengan kemasukan metodologi yang bersifat saintifik. Sains sosial timbul daripada falsafah moral yang dipengaruhi oleh zaman revolusi.

Falsafah alamiah adalah kajian berkenaan alam dan kejadian yang menjadi satu kajian yang luas sebelum perkembangan sains moden. Sains sosial berkembang dengan menggunakan eksperimen dan pengaplikasian metod secara sistematik. Malahan sains sosial dilihat mempunyai unsur-unsur positivisme yang berasaskan nilai positif daripada pengalaman sejurus spekulasi metafizik dielakkan. Pada zaman Pencerahan terdapat banyak sarjana telah menyumbangkan idea-idea dalam bidang sains sosial. Ketika itu sains sosial masih baru berjinak-jinak dengan metod saintifik dan masih tidak mempunyai pengkhususan disiplin yang jelas, tetapi intipati daripada disiplin itu telah banyak dibincangkan bersandarkan respon kepada masalah masyarakat ketika itu.

Selain itu pula telah mula wujud penekanan terhadap kaedah saintifik dan reduktionisme justeru timbul persoalan terhadap agama mentelah wujudnya gagasan sapere aude (berani bertanya) dalam esei Immanuel Kant yang bertajuk “Apa itu pencerahan?”.

Di sini ahli falsafah banyak mengkritik sosial termasuk menyumbang ilmu dalam kajian sains sosial seperti Francis Bacon, Rene Descartes , John Locke dan Baruch Spinoza.

Hal ini memperlihatkan ciri intelektual yang mana pemahaman mengenai apa itu intelektual juga mulai diketengahkan. Menurut Bullock dan Strombley intelektual adalah seseorang individu yang melibatkan diri dalam pemikiran kritis, kajian dan refleksi tentang realiti masyarakat dan menyarankan penyelesaian untuk permasalahan normatif dalam masyarakat justeru mereka ini mendapat autoriti sebagai intelektual awam.

Perkembangan sains sosial sehingga melahirkan bidang Psikologi yang merupakan bidang kajian mengenai sains tentang perlakuan dan minda manusia yang bersangkut paut mengenai pengalaman sedar dan separa sedar dalam pemikiran. Bidang ini merupakan disiplin yang penting dalam sains sosial bagi tujuan memahami individu dan juga sosial dengan mengeluarkan beberapa prinsip umum dan teori dalam penyelidikan. Bidang psikologi wujud pada penghujung abad ke-19 apabila Wilhelm Wundt mewujudkan makmal pertama yang mengkaji tentang psikologi di Universiti Leipzig di Jerman dan kemudian timbulnya jabatan psikologi di universiti-universiti di Amerika dan Eropah. Beliau seorang yang dikenali sebagai Bapa Psikologi iaitu William James juga telah menulis buku bertajuk Principle of Psychology pada 1890.

Walaupun begitu asal usul kewujudan disiplin ini telah bermula pada hujung abad ke-19 tetapi perbincangan mengenai topik dalam bidang ini telah bermula sejak daripada zaman Yunani lagi iaitu apabila ianya dibincangkan oleh Cladius Galen yang melakar teori soal 4 perlakuan personaliti.

Membawa kepada zaman pencerahan, antara kajian yang sangat memberi kesan dalam dunia psikologi adalah mengenai pemisahan diantara badan dan minda yang dibincangkan oleh Rene Descartes.

Descartes menulis dalam bukunya De Homine mengenai dualisme iaitu minda dan jiwa yang menyatakan bahawa minda terletak di dalam pineal gland di dalam otak dan melaksanakan operasi berfikir manakala badan pula beroperasi seperti haiwan yang bergerak dan bereaksi daripada tindak balas dalam sistem saraf.

Idea ini telah dibawa oleh Galen dalam Teory of  Humour tetapi Descartes adalah yang pertama membincangkan soal ini dengan lebih mendalam tentang soal pemisahan minda dan jasad. Descartes telah menulis kepada Martin Mersenne seorang ahli falsafah Perancis dan menerangkan tentang tempat minda berehat iaitu di pineal gland kerana ianya tidak dapat dipisahkan. Soal Ini amat penting kerana baginya jiwa bukanlah sesuatu yang ada pada anggota tetapi ada pada roh. Setelah kematian Descartes pebincangan mengenai minda dan jasad ini diteruskan lagi apabila seorang ahli falsafah Inggeris-Ireland  bernama George Berkeley membuat suatu andaian bahawa badan ini merupakan hanya persepsi minda.

Selain itu bidang sosiologi pula membincangkan mengenai perlakuan masyarakat termasuk asal usul, perkembangan, organisasi dan institusi. Kebanyakkan ahli sosiologis membuat penyelidikkan yang berkenaan lansung dengan polisi sosial dan kebajikan yang mana menumpukan kepada fahaman menganai proses sosial secara teori. Ilmu sosiologi lahir apabila seorang ahli falsafah Perancis iaitu Auguste Comte yang menggunakan terma ini dalam memaparkan pandangannya terhadap masyarakat yang pada mulanya dipanggil sosial fizik. Comte memperlihatkan pengetahuannya tentang masyarakat hanya boleh dilihat melalui penyelidikan saintifik dan diperhati melalui kestabilan sosial dan perubahan sosial yang mana baginya sains boleh membina dunia yang lebih baik.

Perbincangan mengenai sosiologi bermula apabila Ibn Khladun menulis dalam bukunya, bertajuk Muqaddimah yang membincangkan tentang masyarakat di semenanjung arab. Kemudiannya pada zaman pencerahan antara tokoh yang memberi sumbangan dalam kajian sosiologi adalah Monstequieu sewaktu beliau menulis dalam bukunya The Spirit of Law yang membuat satu argumentasi berkenaan institusi politik yang perlu lahir daripada masyarakat yang bersifat komuniti.

Di zaman yang sama, seorang tokoh bernama Adam Ferguson mengariskan pandanganya di dalam bukunya Essay On The History of Civil Society di mana beliau menggariskan manusia selalu mengembara dan menetap, bersetuju dan bertengkar dalam kelompok dan berteman.

Walaupun begitu beliau dan seorang tokoh ekonomi moden, Adam Smith juga percaya bahawa dalam perkembangan komersil, manusia dipengaruhi dengan kepentingan diri sendiri. Adam Smith yang menulis buku The Wealth of Nation telah menganalisis masyarakat daripada kesan perkembangan berdasarkan nilai tradisi iaitu kerjasama dan berkomuniti yang diambil daripada idea ehormatan dan kesetiaan.

Tambahan pula, di Florence Italy, St. Antonie merupakan seorang ketua biskop yang menulis tentang perkembangan sosial dan ekonomi dan menyatakan bahawa kerajaan mempunyai hak untuk campur tangan  dalam urusan perdagangan bagi tujuan kebaikan bersama dan menjadi kewajipan  untuk membantu yang miskin dan memerlukan. Selain itu, dia juga menekankan bahawa harta sesorang itu adalah sepatutnya digunakan untuk kebajikan.

Dalam era serba moden ini bidang pembincangan politik sangat mengambil tempat di kalangan pendukung idealisme perubahan. Bidang kajian politik dikatakan sebagai sains (scientia: Ilmu) yang merupakan satu disiplin yang membincangkan sistem dalam kerajaan dan analisis dalam aktiviti, pemikiran, dan perlakuan politik.

Ianya berkaitan dengan teori praktis yang diamalkan dalam politik yang mana menjadi penentuan kepada pembahagian kuasa.

Sementalahan itu, disiplin sains politik mula terbentuk apabila ianya mula terasing daripada falsafah politik yang berakar daripada idea pemikir-pemikir Yunani seperti Aristotle, Plato dan Socrates. Oleh sebab itu, sains politik dilihat berkembang kerana di setiap zaman itu mempunyai pemerintah dan cara pemerintahan tersendiri mengikut budaya dan praktikaliti setempat. Kebanyakkan sarjana yang membincangkan ilmu sains politik akan mengkritik dan memberikan jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah mengikut zaman itu.

Pada zaman pencerahan pula, perbincangan mengenai sains politik mulai berkembang. Dunia pada waktu itu sarat dengan pelbagai pergolakkan dan kemunculan idea-idea baru sehingga memperlihatkan revolusi di kalangan rakyat yang besar seperti Revolusi Emas, Revolusi Perancis, dan Revolusi Amerika. Manakala pada waktu itu Eropah mengeluarkan ramai tokoh yang membincangkan tentang bagaimana untuk membentuk satu kerajaan yang ideal.

Contohnya, John Locke dalam bukunya Two Treatises of Goverment telah menekankan soal kebebasan dalam pentadbiran demi mengangkat keadilan dan menjadi perintis kepada idea liberalisme yang mempunyai pandangan yang jauh, berbeza pula dengan seorang tokoh konservatif iaitu Thomas Hobbes yang menulis dalam bukunya Leviathan, menggariskan nilai-nilai pemusatan kuasa demi mengekalkan keamanaan dan kestabilan.

Tambahan lagi seorang ahli falsafah Perancis yang bernama Jean Jacques Rousseau juga banyak menyumbangkan ideanya dalam bidang ini dan menjadi antara penyumbang besar kepada revolusi perancis. Rousseou ada menulis dalam bukunya The Social Contract  yang menggariskan tentang asas susunan politik di dalam kotak klasik republikanisme. Buku ini menjadi antara buku yang paling berpengaruh dalam tradisi barat sehingga membawa kepada dunia Amerika hari ini.

Di samping itu, Benjamin Flanklin yang berada di Amerika seringkali melawat Eropah dan menyumbangkan banyak ideanya hasil daripada perdebatan berkenaan saintifik dan politik sehingga membawa balik ideanya itu ke tempatnya. Lantaran daripada itu Thomas Jefferson telah mengikut beberapa idea daripada Eropah dan memasukkan beberapa idea pencerahan di dalam Deklarasi Kemerdekaan Amerika yang menjadikan perlembagaan Amerika pada 1787.

Pembicaraan tentang politik tidak lengkap tanpa melihat kepada strutur geografinya, maka bidang Geografi dilahirkan bagi mengkaji mengenai tanah kawasan, makhluk yang mendiami kawasan dan fenomena di bumi. Geografi bukan hanya membincangkan tentang keadaan geografi semasa tetapi merekod dan mengkaji setiap perubahan yang berlaku di suatu tempat itu dan soal perpindahan manusia. Antara sub-bidang yang wujud dalam geografi adalah geografi manusia dan geografi fizikal.

Menjengah kepada tahun 276-194 SM manusia yang pertama menggunakan perkataan geografi adalah Eratosthenes.

Ilmu ini dikenali apabila menjadi subjek di dalam kurikulum di Eropah pada abad ke 18 dan 19 lantaran disiplin ini dipengaruhi oleh Immanuel Kant, Carl Ritter dan Paul Vidal de La Blache yang merubah geografi daripada falsafah kepada subjek akademik.

Jika dijengah pada zaman pencerahan banyak peneroka-peneroka dan penjelajah dunia merantau dan belayar keserata dunia. Pada abad ke-16 seorang penjelajah dunia bernama Christoper Columbus telah belayar ke barat dan menemui benua Amerika yang disangkakan India, di mana beliau bertujuan untuk menyebarkan ajaran Kristian. Keghairahan para penjelajah dalam mencari dan melukis satu peta yang ideal dan sempurna merancakkan lagi ekplorasi dan perkembangan ilmu geografi pada zaman ini. Pada waktu ini lahirlah penjelajah terkenal seperti Marco Polo dan James Cook.

Antara permasalahan dan cabaran yang ditempuhi penjelajah masa ini adalah menentukan longitud dan latitud dalam kedudukan geografi. Kemudian akhirnya pada tahun 1760 John Harrison menyelesaikan masalah ini dengan mencipta krometer H-4 dan kemudian menetapkan Greenwich sebagai meridian kosong.

Pada zaman ini juga seorang penjelajah Capten James Hook telah berjaya belayar sejauh ribuan batu dan melukis peta daripada New Zealand ke Hawaii dengan lukisan yang terperinci yang tidak pernah dilukis sebelumnya. Hasil daripada penjelajahannya dia akhirnya berjaya menemui beberapa kepulauan di kawasan eropah. Cook yang telah diserang dan dibunuh dalam pengembaraannya di lautan Pasifik pada 1779 telah meninggalkan legasi pelayaran yang luas secara sainstifik mentelah pengetahuan geografi beliau banyak mempengaruhi penggantinya pada abad ke-20.

Manakala bidang Antropologi pula merupakan bidang pengkajian mengenai aspek manusia sebelum dan selepas di dalam masyarakat. Terdapat antropologi sosial dan antropologi budaya yang terkandung pengkajian tentang norma dan nilai masyarakat. Linguistik antropologi pula mengkaji tentang bagaimana bahasa mempengaruhi bahasa dan memberi kesan kepada sosial dan fizikal manakala antropologi-biologi mengkaji tentang perkembangan biologi didalam manusia.

Kebanyakkan sarjana berpandangan bahawa antropologi merupakan perkembangan daripada era pencerahan yang mana ramai sarjana mengkaji tentang perlakuan manusia secara sistematik. Seorang ahli falsafah Jerman, Immanuel Kant mengambil masa selama 25 tahun untuk menulis satu daripada bukunya tentang antropologi iaitu Anthropology From a Pragmatic Point of View. Namun, Kant bukanlah seorang ahli antropologi moden kerana beliau tidak pernah mengkaji budaya masyarakat lain selain Jerman. Walaubagaimanapun beliau pernah mengajar tentang antropologi pada tahun 1772.

Mentelah lagi pada tahun 1756 Voltaire telah menulis di dalam karyanya Essay of The Human and Spririt of Nation tentang pengenalan mengenai falsafah sejarah dan Duchet juga ada menyarankan ilmu-ilmu antropologi yang dibawa oleh Voltaire, Buffon, Rousseou, Helvetius, dan Diderot.

Mereka ini menyambung legasi perkembangan antropologi daripada keperluan kehidupan kepada perkembangan intelektual melalui  teologi kepada metafizik dan keperingkat empirikal. Di zaman moden ini anthropologi berkembang terus dengan perkembangan seni budaya dan pelbagai skop kerana antropologi sendiri mempunyai pecahan bidang yang banyak. Selain itu, perkembangan seni dari segi muzik misalnya  dilihat telah tercetus sejak dari zaman pencerahan lagi apabila ada komposer seperti John Sebastian Bach, John D. Pechelbel, dan Joseph Haydn.

Manakala daripada segi seni lukisan pula dapat ditoleh kepada karya-kaya agung yang dilukis oleh Jacques Louis David, Pablo Picaso, dan sebagainya. Mereka ini banyak mencerminkan budaya masyarakat ketika itu melalui karya seni.

Kesimpulannya, kajian sosial ini perlu dititik beratkan oleh pelajar-pelajar sains sosial di Malaysia. Ini kerana dengan masalah sosial yang melanda masyarakat Malaysia hari ini memerlukan penjelasan yang konkrit agar pencarian solusi ke arahnya lebih baik dan mampan.

Bidang sains sosial seringkali dilihat seperti bidang picisan sehingga kerajaan hanya menumpukan kepada penghasilan graduasi kejuruteraan, medikal, farmasi dan soal-soal pengurusan dan perniagaan. Ini menyebabkan pelajar-pelajar sains sosial seperti dilihat terkebelakang dan tidak penting malahan pelajar-pelajar sains sosial pula terpaksa mengikut rentak penghasilan produk ini. Sedangkan tugas mahasiswa dan graduasi sains sosial adalah mencari punca dan masalah kepada kejadian sesuatu fenomena tersebut.

*Muhammad Izzat adalah co-founder kepada PSYouth dan masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dipanggil sebagai Mahasiswa Buas kerana seringkali melawan kepada status quo.

 


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s