Benarkah al-Ghazali WALA’ dengan Pemimpin Zalim?

Oleh; Atul Sweet

 

Tokoh sarjana Islam Al-Ghazali yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang undang-undang Islam, teologi, falsafah dan tasawuf, juga adalah pemikir yang mendukung fahaman realisme dalam pendekatan politiknya. Realisme adalah aliran atau pendekatan yang cenderung melihat sesuatu persoalan itu sebagaimana wujudnya atau what is, dan bukannya sebagaimana sewajarnya atau what ought to be. Prinsip asas pendekatan ini mengandaikan bahawa matlamat utama aktor politik ialah kuasa, cara penggunannya dan bagaimana menambahkannya.

Corak pemikiran politik Imam Al-Ghazali dibelakangi oleh pengalaman kehidupan beliau atau menggunakan pendekatan emperik dalam menangani masalah politik yang tidak stabil. Beliau mengangkat agama Islam sebagai asas tapak poltik beliau, hal ini dapat dilihat melalui perlaksaan kanun Islam dan pendekatan beliau gunakan untuk mencapai keamanan di dalam sebuah negara yang mempunyai pemerintah.

Imam Al-Ghazali merupakan seorang tokoh islam yang dikenali dan dikagumi ramai termasuk Barat. Nama lengkapnya adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Beliau dilahirkan di suatu desa kecil yang bernama “Gazeleh” dalam wilayah kabuputen Thus, propinsi Khurasan, Republik Islam Iran sekarang.

Ayahnya dikenali sebagai seorang yang soleh dan pencinta ilmu pengetahuan yang memenuhi keperluan hidupnya dari hasil bertenun, kemudian beliau meninggal dunia semasa al-Ghazali masih kecil. Sebelum meninggal dunia, ayahnya masih sempat meninggalkan al- Ghazali kepada seorang sufi sahabat ayahnya sendiri supaya dididik dengan baik. As-Subky dalam kitabnya at- Tabaqat as-Syafi‘iyah menyatakan tentang harapan ayahnya terhadap kedua anaknya ini dalam sebuah wasiatnya:

“Aku menyesal sekali kerana tidak belajar menulis, aku berharap untuk mendapatkan apa yang tidak kudapatkan itu melalui kedua puteraku ini”

Beliau telah merantau ke pelbagai tempat untuk menuntut ilmu termasuk merantau juga ke Naisabur untuk memasuki Akademi Nizamiyah yang mempunyai tokoh ilmuwan agama yang termasyhur iaitu “Imam al – Haramain” (imam dari dua kota Makkah dan Madinah). Dari tokoh inilah beliau memperolehi ilmu pengetahuan agama yang pelbagai seperti imu fiqh, ilmu kalam dan filsafat sehingga mampu bertukar fikiran dengan segala aliran dan agama bahkan mula mengarang buku-buku ilmiah dalam berbagai disiplin ilmu.

Kemudian datangnya fasa baru bagi diri beliau yang mana, dikalangan para sarjana Barat dikenali dengan tempoh “skeptisisme”, iaitu zaman kesangsian dan keraguan dalam segala hal. Pada masa inilah al-Ghazali jatuh sakit selama enam bulan. Hal tersebut bermula dengan Al-Ghazali yang memiliki kemahuan yang kuat dalam menuntut ilmu pengetahuan. Beliau selalu berusaha keras dalam mencari hakikat kebenaran itu sendiri. Hal tersebut kita dapat lihat di dalam pengembaraannya demi memperoleh ilmu dan kebenaran yang dapat mententeramkan hatinya. Menurut Al-Ghazali untuk melepaskan keraguan dan mendapatkan kebenaran hakiki harus berpaling dari taqlid.

beliau mengembara ke pelbagai tempat untuk beruzlah dari khalayak ramai. Hidup menyendiri ini berlangsung selama beberapa tahun. Akhirnya, Al-Ghazali bebas dari kegoncangan jiwa setelah 10 tahun dideritanya. Al-Ghazali menjelaskan:

“Sepuluh tahun lamanya saya menderita krisis yang mengerikan itu, tiba-tiba saya jumpailah apa yang selama ini saya cari. Disini mengertilah saya bahawa tasawuf merupakan jalan khusus, perjalanan yang ditempuh orang sufi adalah jalan yang paling menguntungkan, jalan mereka adalah jalan yang paling baik, akhlak mereka adalah akhlak yang paling suci, sekalipun akalnya orang berpikir dikumpulkan, filsafatnya para filisof, ilmunya para fukaha digabungkan menjadi satu guna mengimbangi akhlak orang sufi, pasti belum akan sepadan. Sebab setiap gerak dan diam yang mereka lakukan, zahir mahupun batin, mereka disinari oleh cahaya kenabian, cahaya yang menyinari alam ini tanpa terkecuali”.

Tetapi tidak ramai untuk cuba memahami pembincangan beliau tentang politik di mana seperti yang telah dinyatakan politik beliau berlandaskan realisme yang melihat realiti sebagai padang kajian. Beliau tidak menggagaskan idea setinggi langit seperti Philosopher King, Plato atau sempurna sistem Politea Aristotle tetapi melihat kepada apa yang diluar sana manakala mencari penyelesaian sewaktu itu dalam keadaan itu berlandaskan penekanan kepada dua aspek utama dalam pendekatan idea-idea politik beliau iaitu pertama perundangan Islam dan kedua ialah kestabilan politik.

Pada umumnya, penguatkuasaan undang-undang syariah adalah sesuatu yang wajib diwujudkan bagi negara Islam, Al-Ghazali sangat mementingkan penguatkuasaan Undang-undang Syariah. Perlaksanaan undang-undang syariah ini digunapakai dalam perlantikan Imam dan Qadi ia juga mempunyai kredibiliti dan ciri-ciri penting untuk mewujudkan negara yang aman mengikut Al-Ghazali. Menurut Craig (2008), keamanan dapat dicapai jika undang-undang Islam ini dapat dilaksanakan dengan sistematik dan menyeluruh supaya rakyat dapat melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dengan aman dan tanpa ada sebarang pertelingkahan politik.

Kesepakatan pemerintah untuk melaksanakan undang-undang syariah ini memainkan peranan yang sangat penting. Lantaran itu, Al-Ghazali mempunyai preskriptif yang tersendiri dalam mensihati pemerintah agar sentiasa berada pada landasan yang betul. Menakala menurut Dhiauddin (2001), kestabilan agama yang dimaksudkan ialah perlaksanaan undang-undang Syariah dalam sesebuah negara yang dapat menjamin kestabilan poltik. Kestabilan agama dan politik hanya dapat dilaksanakan jika seorang imam itu ditaati ini merupakan satu amanah yang sangat ditekankan oleh Imam Al-Ghazali dalam menyeru rakyat untuk mentaati seorang imam yang secara tidak langsung dapat menjadi kestabilan politik negara.

Al-Ghazali mengatakan perlu adanya imam untuk setiap zaman, dan ini dipersetujui oleh semua umat Islam serta ia bersandarkan kepada dua perkara. Yang pertama ialah selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. dan yang kedua ialah tanggungjawab untuk mempertahankan agama serta membela agama adalah perlu dan wajib ke atas orang Islam untuk menjaga kestabilan. Dhiauddin (2001) mengatakan mesti ada manusia yang bertanggungjawab membimbing manusia dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bahaya sewaktu keadaan anarki menempa. Agama Islam adalah yang wajib dipertahankan menurut al-Ghazali.

Dalam mengatasi masalah yang berlaku pada zaman sebelumya Al-Ghazali melakukan pendekatan empirikal agar Syariah ini dapat dilakukan dan dilaksanakan. Beliau mempunyai rasional yang tersendiri dalam mewajibkan rakyat mematuhi seorang sultan yang zalim dan jahil. Kepatuhan seorang sultan itu terhadap Syariah mencerminkan kepatuhan mereka kepada Islam dan itu memastikan kelangsungan perlaksnaan Syariah dalam institusi Khalifah. Lantaran itu, menurut Russli (2002), Al-Ghazali menyeru supaya umat Islam perlu patuh kepada pemerintah walaupun jahil dan zalim.

Menurut Dhiauddin (2001), jika pemerintah itu masih mengambil tahu tentang kebajikan dan keperluan ilmu bagi rakyatnya tetapi dari sudut negatif pemerintah itu melakukan kezaliman dan tiada displin moral, al-Ghazali menganggap bahawa pemerintah itu masih berada pada posisi yang betul dan masih menjalankan tanggungjawab. Ini kerana menurut al-Ghazali jika pemerintah dijatuhkan maka keadaan huru-hara yang akan menimpa masyarakat Islam itu lebih buruk akibatnya. Oleh sebab itu, al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulum al-adin beliau menyatakan perlunya rakyat taat kepada sultan (pemerintah).

Wujud perbezaan antara pemerintah (sultan pada waktu itu) dengan khalifah atau Imam (menurut beliau), ini kerana jawatan khalifah hanya boleh dipegang oleh mereka yang berketurunan Quraisy manakala sultan pada waktu itu bukan berketurunan Quraisy tetapi Turki. Walaupunbegitu, sultan ini mempunyai kuasa tentera. Malahan menurut Suhelmi (2007), al-Ghazali berpendirian undang-undang Islam wajib diwujudkan supaya rakyat dapat menunaikan ibadat mereka dan menuntut ilmu mengenal tuhan dengan harmoni. Sekiranya undang-undang Islam tidak dilaksanakan rakyat akan hidup dalam keadaan yang kacau bilau dan mereka tidak dapat menuntut ilmu dan beribadat, hal ini akan menyebabkan rakyat tidak akan mendapat kebahagiaan hidup di akhirat kelak.

Menurut Russli (2001), al-Ghazali hidup dalam era pemerintahan Khalifah Abassiyah yang politiknya amat kucar- kacir sehingga khalifah sudah hilang kuasa dan ia dianggap sebagai boneka atau simbol sahaja. Kuasa sudah beralih tangan kepada sultan, Sultan Saljuq yang menguasai tentera dan juga mempunyai pengaruh politik telah menyebabkan kuasa Khalifah menjadi terhad dan terbatas. Selain daripada ini, kestabilan politik zaman Abassiyah ini turut diganggu-gugat oleh ancaman daripada kehadiran kerajaan Fatimiyah.

Oleh sebab itu, al-Ghazali menggunakan pendekatan realisme dalam menanggani masalah politik yang tidak stabil. Contohnya masalah perselisihan paham dalam melantik khalifah, iaitu sepatutnya dilantik oleh satu jawatankusa yang digelar “ahl hall walm ‘aqd” iaitu yang mengikat dan melerai. Menurut Saliha Hassan (1999), al-Ghazali telah memutuskan bahawa tugas untuk melantik khalifah itu diberi kepada seorang sultan yang memiliki ‘Shawkah’ iaitu kekuatan tentera dan peribadi.

Walaupun Sultan yang memiliki kuasa ini bukan bertaraf ulamak, zalim dan jahil, baginda adalah wajib ditaati sekiranya usaha menentang dan menggulingkan baginda akan menimbulkan pertumpahan darah atau perang saudara kerana keengganan sultan untuk turun daripada takhta. Pada pandangan al-Ghazali, seseorang sultan yang mempunyai kekuatan mampu menjamin kestabilan politik kerana baginda ditaati oleh rakyat dan perlantikan yang dibuat akan dipersetujui oleh rakyat tanpa bantahan dalam konteks realpolitik.

Walaupun penyelesaian ini dilihat bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam menentang segala bentuk kezaliman tetapi penyelesaian yang beliau cadangkan adalah merupakan hasil daripada pengamatan dan pendekatan empirik, beliau menyaksikan sendiri situasi politik pada masa itu yang huru-hara dan tidak teratur kerana perebutan kuasa. Al-Ghazali memandang kuasa yang ada pada sultan itu penting maka sultan adalah individu penting dalam memastikan kestabilan politik.

Walaubagaimanapun, menurut Craig (2008), pandangan realisme beliau yang menghalalkan seorang sultan yang zalim dan jahil ini ditaati rakyat ini adalah berteraskan Islam sendiri. Ini kerana, menurut beliau, kejayaan yang sebenar ialah kejayaan di akhirat iaitu memastikan aman didunia walau dengan apa cara sekalipun supaya rakyat dapat menuntut ilmu dan beribadat dengan bebas supaya dapat mencapai kebahagian yang hakiki di akhirat. Kestabilan politik dapat menjamin keamanan di dunia untuk melakukan ibadat dengan aman. Tegasnya, untuk mencapai agama perlu diutamakan kerana ibadat merupakan faktor utama untuk mecapai kebahagiaan di akhirat. Keamanan adalah sangat penting untuk kelangsungan kehidupan rakyat kerana dengan adanya keamanan rakyat akan bebas menuntut ilmu dan beribadat.

Walaupun begitu, tindakkan beliau bukan sahaja meminta ketaatan rakyat kepada sultan yang zalim dengan membabi buta. Jika sultan itu menghalang ibadat rakyatnya maka secara absahnya sultan itu wajar dijatuhkan. Ini kerana sudah melanggar perihal yang pertama iaitu soal agama. Selain itu, dalam buku beliau, Nasita al-Muluk, al-Ghazali menggagaskan satu idea tentang institusi Imam di mana pemerintah itu harus didekati oleh para ulama. Ini bertujuan untuk sultan mendapat nasihat daripada para ulama dalam menjalankan tugas berlandaskan ajaran Islam mentelah lagi bagi beliau sifat-sifat Imam itu ada pada para ulama.

Kesimpulannya, al-Ghazali berkompromi dengan pemerintah yang zalim kerana ianya dilihat masih belum menggugat agama dan ibadat rakyat. Jika sekilas pandang seperti agama itu candu kepada masyarakat tetapi al-Ghazali mengambil langkah serampang dua mata dengan turut menasihati sultan agar mengikut dan berjalan pada jalan-jalan Islam sewaktu menjalankan tanggungjawab sebagai pemerintah. Itu adalah tindakkan yang sangat realistik oleh beliau sendiri dalam keadaan huru-hara pada zaman itu. Tetapi jika dijengah pada waktu ini, rakyat sendiri sudah dapat mengetahui dosa-dosa dan tindakkan pemerintah melalui saluran media massa. Maklumat dihujung jari telah menyebabkan rakyat lebih peka tentang mainan dan tipu daya pemerintah, oleh sebab itu kerelevanan falsafah politik al-Ghazali perlu ditelusuri kembali.

 

*Atul Sweet adalah pelajar jurusan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah dengan senyuman. Pastinya senyumannya itu manis sekali!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s