Bahaya LIBERALISME John Locke! Sila Jauhi-nya.

glorious

Oleh; Ummu Cili Padi

 

John Locke merupakan seorang ahli falsafah dan pakar teori politik Inggeris yang dilahirkan di Wrington, sebuah desa di Inggeris Baratdi mana beliau hidup pada zaman negara yang bersandarkan pemerintahan absolutisme seperti yang digambarkan oleh Thomas Hobbes melalui anologinya Monster ataupun ‘kuku besi. John locke juga membesar pada zaman terjadinya peperangan antara kaum puritan dan Raja Charles I.

Beliau menekankan kepentingan pengetahuan berdasarkan bukti-bukti empirik dan eksperimen dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Selain itu, juga merupakan pelopor dalam perkembangan falsafah Liberalisme. Sumbangan beliau dalam pemikiran Liberalisme disifatkan sebagai pemikiran yang kritis dan tajam oleh Hegel, Marx dan Rousseau. Di Perancis, gagasan Liberal Locke dipertahankan oleh Voltaire melalui karya Letters Philosophique. Di samping itu, menurut Russel (1945) beliau juga sebagai penanda bermulanya zaman moden dan juga era pasca Descartes kerana kerana falsafah Descartes tidak lagi menjadi satu rujukan yang dominan pada masa itu.

Sebagai seorang yang mendalami ilmu perubatan, John Locke juga adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengutarakan bukti-bukti emperikal mengenai ‘Science Revolution’. Tambahan pula sewaktu hayatnya, beliau menulis banyak falsafah politiknya terutama dalam melawan pandangan Robert Filmer yang mana dasar pemikiran di Inggeris yang berpaksikan kepada pemikiran Robert Filmer sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan beliau terhadap sistem pemerintahan yang sewajarnya dilaksanakan. Selepas itu beliau bertemu dengan Anthony Ashley Cooper yang memperkenalkan ilmu ekonomi dan membuka minat beliau terhadap kajian-kajian teori politik dan wawasan luas. Perkenalannya dengan Cooper membawa kepada penentangan mereka terhadap pemerintahan Inggeris yang tirani dan zalim sehingga Locke kemudiannya mempelajari falsafah Descartes dan mulai terjun dalam kegiatan politik di Inggeris.

Glorious Revolution yang berlaku pada tahun 1688 menyaksikan pemerintahan absolutisme British diganti oleh William of Orange dan isterinya Mary. Situasi ini telah memberi kesempatan kepada Locke untuk menulis karya Two Treatises of Government berdasarkan peralihan pemerintahan yang berlaku. Mengambil Sabine (1993), John Locke disifatkan sebagai seorang pendukung revolusi yang intelektual menurut kerana pengalaman kehidupannya yang matang dan lahir dalam generasi sewaktu perang saudara bermula. Pada tahun 1700 beliau pencen daripada pekerjaannya sebagai seorang ahli politik dan menghabiskan sisa akhir hidupnya selama 4 tahun sebelum meninggal akibat penyakit asma. Beliau meninggal dunia pada 28 Oktober 1704 dan disemadikan di High Laver 21.

 

Falsafah Politik Liberalisme John Locke.

Sebagai seorang yang mengemukakan gagasan liberalisme, John Locke menentang pemerintahan secara absolute monarchy ataupun pemerintahan secara mutlak.

Menurut Locke Absolute Monarcy adalah pemerintahan yang berdasarkan kepercayaan bahawa kekuasaan mutlak raja bersifat suci dan tuhan yang menganugerahkan kekuasaan itu kepada seorang raja.

Sementelahan itu, absolute Monarchy berakar kerana autoriti paternal dan dikatakan bayangan tuhan di muka bumi. Selanjutnya pemerintahan mutlak ini adalah cerminan kekuasaan tuhan atas segala sesuatu di dunia. Sir Robert Filmer merupakan penyokong utama absolutisme dan atas sebab pandangan inilah yang menyebabkan permusuhan intektual di antara John Locke dan Robert Filmer.

Filmer mengatakan dalam karyanya Patriarcha bahawa kebebasan dan kemerdekaan merupakan suatu dosa ini kerana tuntutan kebebasan yang menyebabkan Adam dan Hawa dari syurga ke neraka dunia. Ini sebabnya hujah Filmer ditentang oleh John Locke dengan mengatakan bahawa manusia dilahirkan sedarjat dan merdeka. Sehingga Locke mengatakan Filmer gagal dalam menafsir kitab suci. Beliau turut mendakwa, terdapat perintah dan aturan tuhan dalam mengehadkan dan mengawal kuasa pemerintah.

John Locke berhujah dalam Second Treatise bahawa:

‘’humans beings have obligations, in accordance with divine and natural moral law, to preserve their mankind,’’

Manusia menurut John Locke merupakan makhluk ciptaan tuhan, mempunyai tugas secara rasional untuk memelihara diri mereka sendiri dan tiada individu yang berhak menganggu hak individu lain terutamanya berkaitan kebebasan, kesihatan dan nyawa.  Menurut beliau lagi, politik merangkumi masalah supreme power (kekuasaan politik) , civil society (masyarakat sivil) property right (hak pemilikan) serta religious tolerance (toleransi agama). Bagi Locke, kekuasaan bukan dari tuhan dan tidak datang dengan cara turun-temurun dan bukan juga atas dasar teks kitab suci. Kekuasaan merupakan hasil perjanjian Social Contract. Kekuasaan merupakan hasil perjanjian sosial di antara masyarakat dan pemerintah dan tidak bersifat mutlak, oleh sebab itu, kuasa perlu ada batasan.

Kekuasaan juga merupakan daripada kesepakatan warga dengan penguasa yang dipilihnya secara absah apabila memiliki consent. Consent ataupun ‘keizinan’ ialah merupakan dasar utama absahnya kekuasaan negara yang mana dasar atau gagasan ini dikemukakan oleh Locke dalam Two treatises Government. Sehingga karya Two Treatises Goverment dikatakan banyak mempunyai idea yang menyerupai karya Das Kapital yang ditulis oleh Karl Marx.

Menurut Locke, keadaan alamiah (State of Nature) mendahului kewujudan negara dan manusia memiliki hak yang sama untuk menggunakan kelebihan yang ada pada mereka iaitu hak pemilikan itu akan menjamin keamanan dan mendorong manusia untuk membuat perjanjian sosial dengan pemerintah sebagai bagi mendapat keperluan perlindungan (protection) daripada pihak yang berjanji. Locke berpendapat pembentukan masyarakat politik tidak boleh terjadi dengan paksaan melainkan dengan kemahuan mereka sendiri. Persetujuan berdasarkan majoriti merupakan alat untuk menjamin pembentukan masyarakat. Beliau juga menolak sekerasnya kekuasaan yang berdasarkan warisan keluarga seperti mengikut pendapat Filmer.

Filmer berhujah bahawa kekuasaan memerintah diberikan kepada Adam dan selanjutnya kekuasaan itu diturunkan kepada pewarisnya. Hak dan kekuasaan raja adalah sama dengan kekuasaan ayah terhadap anaknya.

Oleh itu, menurut Filmer rakyat tidak bebas daripada raja seperti juga anak-anak tidak bebas daripada kekuasaan ayahnya. Locke menyanggah hujah Filmer bahawa kekuasaan ayah tidak berkait dengan masalah hidup dan mati si anak. Harta si anak itu di bawah kewajiban sendiri bahkan diperoleh melalui usaha sendiri. Tujuan kekuasaan ini dibentuk juga untuk menjaga kebebasan civil society  yang mana demi melindungi kebebasan tersebut, negara perlu menggunakan undang-undang bagi melahirkan kebajikan bersama.

Masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu menurut tradisi liberal. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat sivil merupakan ciri yang penting bagi demokrasi. Masyarakat sivil juga bertujuan meminimakan kuasa kerajaan dan meluaskan ruang persendirian. Dalam hal ini Locke kembali menghidupkan istilah masyarakat sivil dengan merujuk kepada masyarakat dan politik. Beliau mendefinisikan masyarakat sivil ialah masyarakat politik yang disandarkan kepada state of nature. Menurut Russel (1945) Keadaan alamiah menurut Locke ialah manusia secara alamiah-nya baik dan memiliki keinginan untuk berdamai manakala cenderung mengenal akan hubungan-hubungan sosial. Selain itu, beliau menekankan akal sebagai Voice of God dan tindakan kejahatan itu pula dapat dikenal sekiranya seseorang itu melawan hukum alam.

Selain itu, dalam masyarakat sivil juga diperlukan autonomi moral di mana autonomi moral adalah merujuk kepada keharusan manusia memiliki autoriti yang setara. Ringkasnya, manusia memiliki kemampuan yang sama untuk mengetahui hukum moral dan hal ini penting untuk mewujudkan kepercayaan dan memelihara kebajikan.

Menurut Locke, harta kekayaan merupakan ekspresi keperibadian yang unik dan merupakan material bagi mengagumi bentuk kehidupan yang hedonis.

Adanya perbezaan harta kekayaan bagi Locke adalah merupakan tanda perbezaan dalam hal kebajikan. Jelas beliau lagi, manusia tidak boleh memanfaatkan semua harta di alam ini dengan rakus dan tamak ini kerana dalam sistem ekonomi, menurut teori beliau, nilai sesuatu barang perlulah sama dengan harga sesuatu barang tersebut. Namun begitu, sekalipun masyarakat memegang kepada aktiviti ekonomi, hartanya tidak akan mendapat jaminan selamat selagi tidak bergantung kepada negara dan pentadbiran.

Berdasarkan karya Two treatises of government karya Locke, kekuasaan negara dibentuk untuk menjaga hak pemilikan individu. Di sini beliau menyebut hak-hak ini dengan istilah inalienable rights (hak-hak yang tidak terasing) dan negara berperanan untuk melindungi hak-hak asasi tersebut. Misalnya, terbentuknya kerajaan yang sah iaitu untuk memelihara hak yang merangkumi hak nyawa, kebebasan, kesihatan dan penduduk. Menurut beliau ini jelas merupakan hak amaliah dalam kehidupan individu manusia.

Manusia juga mempunyai hak untuk makan, minum dan mendapatkan perlindungan dan bagi memperolehi hak-hak tersebut, individu perlu mendapatkannya dengan berusaha selanjutnya memanfaatkan alam yang merupakan rezeki daripada tuhan. Di samping itu, Locke amat menitik beratkan perbezaan hak pemilikan melalui penilaian terhadap usaha individu.

Selain itu, Locke juga menulis mengenai toleransi agama dalam Letters Concerning Toleration selepas peperangan antara agama di Eropah. Memetik Henrich (1960), Locke percaya semua manusia diberi kebebasan dan kemerdekaan sejak lahir di dunia ini dan tuhan tidak boleh bersikap pilih kasih atas dasar keturunan, agama dan pemilikan kekayaan oleh sebab itu ndang-undang dibuat berdasarkan keyakinan manusia serta persetujuan banyak orang dengan akal yang rasional. Oleh sebab itu gereja tidak boleh membuat manusia patuh kerana gereja hanya berperanan dalam memberikan nasihat dan dorongan. Manakala jika rakyat atau mana-mana pihak yang membuat fahaman yang berlainan daripada gereja maka mereka hanya boleh disifatkan ‘sesat’ dan gereja hanya boleh mengasingkan mereka daripada kehidupan masyarakat dan tidak boleh membuat hukuman lain.

Beliau juga membahaskan perihal doktrin pengasingan kuasa tetapi tidak begitu mencapah. Locke berpendapat akal merupakan hakim yang tertinggi dalam menilai sesuatu perkara kerana berdasarkan akal, kebenaran itu sesuatu yang sulit untuk ditetapkan. Namun begitu akal yang boleh membuat kesimpulan berdasarkan kemungkinan sahaja bukan bersifat mutlak menurut Locke. Locke juga meletakkan pembincangan tentang kekuasaan Eksekutif, yang melaksanakan undang-undang. Rakyat boleh melancarkan perang terhadap lembaga ini jika lembaga ini menyalah guna kedudukannya dan rakyat juga berhak menjatuhkan lembaga eksekutif dengan menggunakan kekerasan. Eksekutif mempunyai kuasa bagi melakukan tindakan yang melampau jika negara berada dalam keadaan darurat. Namun begitu, lembaga Eksekutif perlu tunduk juga kepada kekuasaan legislatif.

Manakala legislatif pula adalah lembaga yang merumuskan atau menggubal undang-undang serta hukum fundamental negara. Kekuasaan legislatif adalah menifestasi delegasi rakyat terhadap negara dan merupakan hukum yang diciptakan untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat. Legislatif tidak boleh membuat undang-undang bagi menghilangkan kebebasan, melanggar hak individu termasuklah apabila melibatkan urusan pajak memajak yang tidak mendapatkan keizinan daripada rakyat. Menurut beliau lembaga legislatif perlu merumuskan undang-undang melalui proses yang betul selagi tidak menganggu hak asasi manusia dan undang-undang juga perlu dibuat berdasarkan kebaikan umum.

Menurut Locke, kekuasaan federatif pula berhubung kait dengan urusan hubungan luar negera, kekuasaan menentukan perang, perdamaian mahupun liga. Kekuasaan federatif dimasukkan dalam kekuasaan eksekutif. Hal ini bagi menjamin pentadbiran yang praktikal. Bagi menjaga institusi ataupun lembaga berjalan dengan baik, Locke beranggapan bahawa institusi dan lembaga tersebut mestilah diuruskan oleh individu yang berbeza. Hal ini sebenarnya bagi membataskan kekuasaan pada pemerintah.

Kesimpulannya falsafah liberalisme Locke lahir kerana pengalaman beliau menghadapi krisis peperangan pada waktu itu. Analisa emperik beliau menunjukkan agama telah didominasi oleh golongan tertentu yang jongos sehingga kekuasaan itu dilihat sebagai alat untuk merampas kebebasan manusia. Sedangkan menurut Locke, agama tidak pernah mengambil atau merampas kebebasan manusia itu bahkan mengurniakan kebebasan dengan wujudnya akal. Walaupunbegitu, jika ingin dibandingkan dengan Islam, agama ini lebih menumpukan kepada keharmonian akal dan wahyu dan inilah yang terlepas pandang oleh Locke. Mungkin sahaja sisi-sisi baik dan buruk liberalisme itu perlu dilihat semula dan wacana tentang idealogi liberalisme perlu ditelaah dengan lebih teliti lagi pada hari ini.

 

*Ummu Cili Padi adalah pelajar jurusan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Minat pada dunia sastera dan mahir dalam melukis potret. Mengapa Cili Padi: kecil-kecil orangnya tetapi pedas kata-katanya.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s