Karya Realpolitik: Siapa Sangka Al-Ghazali Seorang Realis?

ghazali

Oleh: Azim the Taciturnus

Imam Al-Ghazali telah menulis pelbagai karya meliputi pelbagai aspek seperti akidah, tasawuf, feqah, falsafah dan termasuklah politik. Antara karya-karya atau kitab yang telah dihasilkan oleh Imam Al-Ghazali ialah:

Al Mankhul Fi Usul Al-Fiqh, Shifa’ Al-‘Alil Fi Usul Al-Fiqh, Mizan Al-Amal, Hujjat Al-Haqq, Maqasid Al-Falasifa, Miyar Al-‘Ilm Fi Fann Al-Mantiq, Al-Risala Al-Qudsiya, Ar-Radd Al-Jamil Ilahiyat ‘Isa Bi-Sarih Al-Injil dan sebagainya.

Terdapat lima karya Imam Al-Ghazali yang mengandungi perbahasan politik. Lima karya tersebut ialah Ihya ‘Ulum al-din, Nasihat al-Muluk, Kimiya Al-Saadat, al-Iqtisad Fi Iqtiqad dan Fada’ih al-Batiniyah wa-fada’il al-Mustazhiriyah. Memetik Russli (2014), dalam kelima-lima karya yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali, hanya terdapat dua karya sahaja yang memberikan fokus sepenuhnya kepada persoalan politik. Dua karya tersebut ialah Fada’ih al-Batiniyah wa-fada’il al-Mustazhiriyah dan Nasihat al-Muluk. Namun begitu, karya yang selebihnya tidak menyentuh aspek politik secara sepenuhnya termasuklah karyanya yang terhebat iaitu Ihya ‘Ulum al-din.

 

Nasihat al-Muluk

Kitab Nasihat al-Muluk telah ditulis oleh Imam Al-Ghazali ditujukan kepada ketua pemerintah pada ketika itu iaitu Sultan Saljuk Muhammad Ibn Malikshah. Karya ini ditulis oleh Imam Al-Ghazali dari tahun 1105M hinggalah pada tahun kewafatan beliau; 1111M. Kitab Nasihat al-Muluk ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama dalam kitab ini membahaskan soal kepentingan seseorang pemerintah itu menjaga amal kebaikan dalam kehidupannya dan hubungan seseorang pemerintah dan Tuhan.

Menurut Crone (1987), bahagian kedua buku ini pula membahaskan soal cara atau kaedah pemerintahan seseorang pemerintah dalam sesebuah negara. Selain itu, pada bahagian kedua ini turut membahaskan peranan wazir atau perdana menteri, para birokrat dan peranan wanita. Di samping itu Bagley (1964) mengatakan penekanan etika dalam pemerintahan dengan nilai-nilai kesufian turut ditekan oleh Imam Al-Ghazali.

Ketika penghasilan karya ini, situasi politik pada zaman yang ditempuhi oleh Imam Al-Ghazali berada dalam kucar kacir. Situasi penukaran pemerintahan daripada kekhalifahan Abbasiyah kepada pemerintahan Bani Saljuk telah menyebabkan tulisan Imam Al-Ghazali ini berbeza dengan karyanya yang lain. Memetik Lambton (1954), karya ini tidak menekankan soal birokrasi atau sistem pemerintahan yang digunakan, tetapi beliau lebih menekankan bagaimana keberhasilan pemerintahan seseorang pemerintah.

Menurut Bagley (1964):

Dalam kitabnya Imam Al-Ghazali telah menyatakan bahawa Allah S.W.T telah menurunkan dua golongan iaitu para rasul dan nabi serta para pemimpin di muka bumi ini. Allah S.W.T menurunkan para rasul dan nabi supaya mereka membimbing manusia ke jalan yang benar. Para pemimpin diturunkan di muka bumi ini bagi memastikan kesejahteraan para hambaNya yang lain terjaga.

Selain itu, Al Ghazali juga turut menyatakan bahawa Sultan merupakan bayangan Allah di muka bumi ini. Hal ini menunjukkan taraf seseorang Sultan itu lebih tinggi daripada hamba biasa. Beliau juga menambah juga bahawa setiap manusia perlu mentaati pemimpin sebagaimana suruhanNya di dalam Al-Quran. Namun begitu mengikut Lambton (1954):

Ketaatan kepada pemimpin hanyalah dalam perkara maaruf atau kebaikan tetapi dalam hal-hal yang melibatkan kemungkaran adalah sama sekali ditegah dalam mentaatinya.

Beliau juga beranggapan bahawa seorang pemerintah itu perlulah berlaku adil dalam pemerintahan, mahir dalam taktikal perang, berani, pandai menunggang kuda dan melaksanakan segala amal ibadat.

Di samping itu, Al-Ghazali turut menekan bahawa pentingnya peranan ulama dalam menasihati pemerintah. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang telah disahihkan oleh Al-Albani tentang kepentingan ulama iaitu:

Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya Nabi tidaklah mewariskan dinar dan tidak pula dirham. Barangsiapa yang mewariskan ilmu, maka sungguh ia telah mendapatkan keberuntungan yang besar.”

Berdasarkan hadis di atas menunjukkan bahawa ulama merupakan pewaris nabi yang menjadi tunjang utama yang akan memastikan agama terus terbela. Imam Al-Ghazali berpandangan bahawa pemerintah seharusnya mendekati ulama agar nasihat dan teguran yang bermanfaat dapat diperolehi. Tambahan pula, manfaat lain yang boleh didapati apabila seseorang pemerintah mendekati ulama ialah beliau dapat mengetahui kesalahan yang dilakukan dan mengingati kembali amanah yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa pentingnya pemerintah mendekati ulama yang alim dan tawaduk serta tidak mementingkan hal-hal duniawi dalam meminta nasihat. Russli (2004) menyatakan, Al-Ghazali juga melarang sama sekali meminta nasihat daripada ulama yang suka mengadu domba, membodek pemerintah dan mempunyai kepentingan tertentu seperti mahukan kekayaan dan pangkat dalam kerajaan. Hal ini bagi memastikan pemerintah itu mendengar nasihat yang betul agar pemerintahan yang dilaksanakan dilakukan secara adil dan saksama.

Dalam karyanya ini, Imam Al-Ghazali turut membahaskan peranan wazir atau perdana menteri dalam pemerintahan sesebuah negara. Secara umumnya peranan wazir dalam sesebuah pemerintahan negara ialah menasihati Sultan dalam urusan pemerintahan negara bagi melicinkan pentadbiran negara. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa wazir atau penasihat Sultan yang baik akan membolehkan pemerintahan sesebuah negara itu akan berjalan dengan sebaiknya tetapi kemusnahan akan menimpa pemerintahan sesebuah negara apabila wazir yang dilantik tidak menjalankan tugas dengan sebaiknya.

Imam Al-Ghazali juga turut meletakkan beberapa ciri-ciri seorang wazir yang baik dalam membantu Sultan melaksanakan pemerintahan. Menurut Bagley (1964), antara ciri yang disebut oleh beliau ialah seseorang wazir itu mestilah seorang yang berilmu. Hal ini bagi memastikan beliau dapat membezakan kebaikan dan keburukan. Imam Al-Ghazali juga menambah bahawa seseorang wazir itu mestilah berpandangan jauh, mampu melihat segala peluang dan ancaman yang dihadapi oleh negara.

Selain itu, ciri lain yang perlu dimiliki oleh seseorang wazir ialah kejujuran. Hal ini bagi memastikan wazir tersebut bersikap jujur dan adil terhadap setiap orang. Seorang wazir juga perlu mempunyai sikap berani dan tidak takut menghadapi segala cabaran dan rintangan yang mendatang. Ciri yang terakhir yang ditekan oleh Imam Al-Ghazali ialah seorang wazir itu mestilah sentiasa menyimpan segala rahsia Sultan sepanjang hidupnya sehinggalah ajal menjemputnya.

 

Fada’ih al-Batiniyah wa-fada’il al-Mustazhiriyah

Selain daripada Kitab Ihya’ Ulum al-din, kitab Fada’ih al-Batiniyah wa-fada’il al-Mustazhiriyah merupakan antara karya Imam Al-Ghazali yang tersohor. Selepas Kitab Nasihat al-Muluk, kitab Fada’ih al-Batiniyah wa-fada’il al-Mustazhiriyah merupakan kitabnya yang memfokuskan secara penuh terhadap aspek politik. Kitab ini secara umunya dikenali sebagai Kitab Al-Mustazhiriyah.

Menurut Whittingham (2003), melalui Kitab Al-Mustazhiriyah inilah, Imam Al-Ghazali mengkritik Syiah Ismailiyah dan mengiktiraf kekhalifan Khalifah Al-Mustazhir pada ketika itu. Memetik Che Zarina (1999), karya ini dihasilkan oleh beliau atas arahan Khalifah Al-Mustazhir bagi menghalang gerakan Syiah yang pada ketika itu cuba untuk mengancam empayar Khilafiah Abbasiyah pada ketika itu.

Imam Al-Ghazali telah melakukan kritikan terhadap Syiah Ismailiyah dalam kitabnya ini. Hellenbrand (1988) merumuskan, hal yang disebabkan golongan Syiah Ismailiyah yang menguasai pemerintahan Mesir, dan mereka menyatakan bahawa kekhalifahan mereka adalah yang paling benar. Imam Al-Ghazali juga menggunakan pendekatan silogisme bagi mengiktiraf Kekhalifahan Al-Mustazhir. Beliau menyatakan bahawa:

 

Perlunya kepada seorang Imam yang memerintah pada setiap zaman

Namun begitu, hanya beliau(Al-Mustazhir) sahaja yang layak memerintah

Maka, beliaulah selayak-layak Imam yang memerintah

(McCarty, 1980)

 

Dalam kitabnya ini, Imam Al-Ghazali menyatakan terdapat dua faktor utama yang menyebabkan golongan Syiah Ismailiyah ini tidak layak memegang pucuk pemerintahan khalifah Islamiyah pada ketika itu. Mengambil Russli (2004), faktor yang pertama ialah disebabkan golongan Syiah Ismailiyah ini telah melakukan bid’ah dengan melakukan ibadah-ibadah baharu yang bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah sehingga membawa kepada kekufuran.

Faktor kedua yang menyebabkan golongan Syiah Ismailiyah ini tidak layak menjadi Imam dalam kekhalifahan Islam ialah disebabkan penolakan dan penafsiran agama yang bertentangan dengan ajaran Ahl Sunnah wal Jamaah. Berdasarkan faktor-faktor ini, Imam Al-Ghazali menolak kelayakan golongan Syiah ini disebabkan penolakan terhadap akidah yang benar. Beliau berpandangan sebegini disebabkan akidah yang benar sahaja akan menyebabkan undang-undang Islam dapat dilaksanakan.

Bagi memastikan sokongan yang kuat terhadap Khalifah Al-Mustazhir, Imam Al-Ghazali mengiktiraf tentera Turki atau Bani Saljuk pada ketika itu bagi mendapatkan sokongan yang kuat. Tentera Turki yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang kuat pada zaman itu sememangnya mampu menggugat kekuasan empayar Khalifah Abbasiyah.

Imam Al-Ghazali memuji kekuatan ketenteraan dan kepahlawanan tentera Turki. Pengiktirafan Imam Al-Ghazali terhadap kehebatan dan kekuasaan tentera Turki ini telah menyebabkan tentera Turki pada ketika itu memberikan taat setia kepada Khalifah Al-Mustazhir. Melalui sokongan yang diberikan, sokongan terhadap Khalifah Al-Mustazhir semakin kuat. Pendekatan yang diambil oleh beliau  ini bagi memastikan pengaruh Syiah yang kuat dapat dibendung.

Imam Al-Ghazali telah menyenaraikan sepuluh ciri yang perlu dimiliki oleh seseorang Imam. Enam ciri semula jadi yang seharusnya dimiliki oleh seorang Imam ialah kematangan, berakal, bebas, lelaki, berketurunan Quraisy dan baik pendengaran serta penglihatan. Empat ciri yang diperolehi ialah keberanian, kemampuan, berilmu dan warak. Imam Al-Ghazali berpandangan bahawa keenam-enam sifat semula jadi seorang pemimpin sememangnya ada pada Khalifah Al-Mustazhir. Di samping itu, beliau juga turut berpandangan bahawa ciri-ciri yang diperolehi oleh seorang Imam juga turut terdapat pada sosok tubuh Khalifah Al-Mustazhir.

Imam Al-Ghazali juga menekankan bahawa terdapat dua tugas penting seseorang khalifah. Pertama ialah seseorang khalifah perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Kedua, seseorang khalifah itu perlu mengamalkan segala ilmu pengetahuan yang telah dipelajari dalam bentuk praktikal. Tugas seseorang khalifah yang ditekankan oleh Imam Al-Ghazali berkait dengan empat aspek ilmu pengetahuan.

Di antara empat aspek yang ditekankan, memetik Russli (2004), seseorang khalifah perlu mengetahui tujuan penciptaan manusia oleh Allah S.W.T di muka bumi ini. Selain itu, seseorang khalifah juga perlu memikirkan soal akhirat dan tahap ketaqwaan diri untuk di bawa ke akhirat kelak. Ketiga, Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa seseorang khalifah itu perlu mengetahui tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Hal ini disebabkan seseorang khalifah itu bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kepada dirinya sendiri tetapi juga perlu memastikan kesejahteraan yang terbaik terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Aspek yang terakhir ialah seorang khalifah itu perlu mengenal pasti keupayaan dan kualiti yang dimiliki oleh seseorang manusia.

Tugas seorang khalifah yang berkait dengan pengamalan atau praktikaliti terhadap ilmu pengetahuan yang dipelajari juga ditekankan oleh Imam Al-Ghazali. Beliau berpandangan bahawa seseorang Imam atau pemerintah itu perlunya melaksanakan tanggungjawab dengan seadilnya terhadap rakyatnya. Perlaksanaan sesebuah undang-undang yang dilaksanakan oleh Imam dalam sesebuah kawasan pemerintahan perlunya kepada nasihat daripada ulama. Hal ini bagi memastikan tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa pemerintah terhadap rakyat jelata.

Imam Al-Ghazali juga turut menekankan peri pentingnya seseorang Imam itu hidup dalam keadaan yang zuhud. Beliau juga menegaskan bahawa pakaian dan makanan seharian seseorang Imam itu cukup dalam keadaan yang sederhana tanpa perlunya kepada sifat berlebih-lebihan atau bermewah-mewahan.

Hal ini bagi memastikan bahawa seseorang Imam itu dapat memahami denyut nadi kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dan menghalang diri dari mengambil harta rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh Umar Abdul Aziz. Imam Al-Ghazali juga melakukan penegasan bahawa jawatan Imam merupakan satu tanggungjawab yang besar. Hal ini disebabkan, seseorang Imam itu akan diganjari pahala yang besar sekiranya melaksanakan amanah yang dijalankan dan dihukum dengan dosa yang besar sekiranya menyalahgunakan kuasa

.

Al-Iqtisad fi Iqtiqad

Al-Iqtisad fi Iqtiqad merupakan salah sebuah karya yang Imam Al-Ghazali ketika beliau memegang jawatan yang tinggi dan berprestij di Baghdad. Karya ini ditulis oleh beliau sejurus sahaja lengkapnya karya Tahafut al-Falasifa. Walaupun penumpuan kitab ini terhadap soal teologi, tetapi terdapat juga persoalan yang berkaitan dengan aspek politik yang dibahaskan.

Menurut Hillebrand (1988), dalam karya ini juga, Imam Al-Ghazali telah membahagikan persoalan pemerintahan seorang Imam yang dibincangkan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, Imam Al-Ghazali membahaskan kepentingan untuk melantik seorang Imam. Bahagian kedua pula, Imam Al-Ghazali membahaskan kualiti seseorang Imam yang dilantik. Bahagian ketiga pula membicarakan kaedah melantik pemerintah yang mampu memerintah dengan sebaiknya.

Pada bahagian pertama:

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa pentingnya untuk memiliki seorang Imam yang mentaati perintah Tuhan. Hal ini disebabkan apabila seseorang pemimpin itu mentaati suruhan Tuhan, makanya Imam tersebut akan menjalankan tugas dengan amanah yang akan menyebabkan negara menjadi sejahtera.

Pada bahagian kedua:

Imam Al-Ghazali menyatakan seseorang Imam itu perlulah mempunyai sifat yang berwibawa yang berbeza dengan insan lain. Bagi memastikan sesebuah pemerintahan itu dapat berjalan dengan sebaiknya, seseorang Imam itu perlulah merupakan seorang yang berkemampuan, berilmu, warak dan seorang yang berketurunan Quraisy.

Pada bahagian ketiga:

Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa terdapat beberapa cara perlantikan seseorang Imam. Pertama, melalui perlantikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Kedua melalui perlantikan oleh seorang Imam. Contohnya, lantikan Umar Al-Khattab menjadi khalifah pada era Khulafa’ Ar-Rasyidin oleh Abu Bakar As-Siddiq.

Cara perlantikan seorang Imam yang ketiga pula ialah apabila seseorang itu dilantik berdasarkan kepada kekuatan ketenteraan. Seseorang Imam itu dianggap berkuasa walaupun beliau hanya disokong oleh seorang panglima tentera sahaja. Hal ini disebabkan seorang panglima tentera mempunyai kekuatan ketenteraan yang mampu membantu sesebuah pentadbiran yang dipegang oleh seorang Imam.

Selain itu beliau juga menyatakan bahawa terdapat beberapa masalah yang akan berlaku apabila sesebuah negara itu tidak mempunyai seorang pemerintah atau Imam. Antara permasalahan yang akan berlaku ialah pentadbiran sesebuah negara akan lumpuh, tiada hakim yang akan melaksanakan keadilan, perkahwinan yang berlaku tidak akan sah, ekonomi akan terjejas dan sebagainya. Beliau juga turut menegaskan bahawa sekiranya ciri-ciri ideal seseorang Imam itu tidak dapat dipenuhi, kekuasaan Imam yang dilantik itu perlu diiktiraf. Hal ini bagi memastikan mudarat yang akan terbentuk menjadi lebih ringan.

 

Ihya Ulum al-Din

Ihya Ulum al-Din merupakan salah sebuah karya Imam Al-Ghazali yang telah mengangkat diri beliau sebagai salah seorang tokoh dan ulama Islam yang terbilang. Karyanya ini merupakan karyanya yang paling terbilang. Memetik Watt (2014), dalam Kitab Ihya Ulum al-Din membicarakan soal peribadi yang harus dilakukan oleh seorang Muslim untuk menjadi Mukmin yang baik.

Karya ini telah disiapkan oleh beliau dari tahun 1096M hingga 1102M. Walaupun karya ini lebih tertumpu kepada penyucian jiwa dan peribadi Muslim, tetapi terdapat juga perbahasan yang berkaitan dengan isu politik. Pada Jilid ke-14, Bab 5 Kitab Ihya Ulum al-Din membahaskan tentang hubungan antara pemerintah atau imam dengan panglima perang.

Imam Al Ghazali menyatakan bahawa jawatan Imam bagi Kerajaan Bani Abbasiyah adalah berasaskan kepada sistem monarki. Russli (2014) menghujahkan, para Sultan atau panglima perang ketika itu diberikan kawasan-kawasan tertentu untuk dijaga. Sebagai tanda taat setia kepada Imam, para Sultan akan memberikan bantuan ketenteraan untuk mempertahankan negara.

Imam Al-Ghazali juga berpandangan bahawa sesiapa yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang kuat dan besar mampu memberikan taat setia kepada Imam atau pemerintah yang dimahukan. Sebagai balasan, Imam perlu memberikan pengiktirafan kepada para Sultan dengan memberikan kuasa dan mandat kepada mereka untuk melaksanakan apa jua bentuk arahan terhadap kawasan yang dipegang. Beliau juga menekankan bahawa hanya para Sultan berkelayakan untuk memilih seorang Imam. Hal ini disebabkan kekuatan ketenteraan yang dimiliki oleh mereka mampu menggulingkan dan menaikkan mana-mana kerajaan yang dimahukan.

Kesimpulan nya Al-Ghazali juga menggagaskan politik dari sudut pandang yang lebih realistik dan tidak idealistik. Cara pandang beliau ini boleh digunakan untuk melihat pergolakkan politik tanah-air di Malaysia ini. Persoalan yang harus kita ajukan adalah, adakah relevan politik ketaatan kepada pemerintah yang digagaskan oleh Imam Al-Ghazali. Selain seorang filasuf, beliau juga seorang pemerhati dan penasihat politik yang baik. Pengamatan realpolitik beliau sewaktu hidupnya tidak disia-siakan begitu sahaja tetapi digunakan untuk membantu kepada pembangunan pemerintahan Islam. Sewajarnya pemikiran (politik) beliau ini perlu diperbahaskan lagi pada masa kini.

 

*Azim the Taciturnus pelajar jurusan Sains Politik di UKM,  seorang yang mesra tetapi pemalu orang-nya. Tidak begitu banyak berbicara perkara-perkara yang sia-sia. Cita-cita nak jadi Policy-maker kerana nak ubah negara dari dalam katanya!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s