Marxisme untuk Bertatih: Teori Asas dan Kajian di Kolombia

maxresdefault

Oleh: Sadiq Jebat

 

Marxisme adalah satu teori yang mendominasi pembincangan intelektual masa kini dari sudut falsafah, ekonomi, politik sehingga menyentuh budaya pop. Teori yang terbentang luas di kalangan tokoh-tokoh marxis ini dilihat sebagai satu pembawakan baru untuk melawan teori liberalisme yang mana teori marxis bukan sahaja membincangkan politik per se tetapi juga mencuit beberapa bidang lain seperti psikologi seperti yang digagaskan oleh Sigmund Freud dengan teori psikoanalitik beliau yang turut dikembangkan oleh tokoh-tokoh marxisme yang lain iaitu Slavoj Zizek, Jacque Lacan, Jacque- Alain Miller, Jacque Derrida, dan Michel Foucault. Perkembangan falsafah Marx telah meresap sehingga tercetusnya revolusi di Russia dan China justeru teori beliau juga banyak digunakan untuk menelaah keadaan ekonomi dan politik di negara-negara dunia ketiga seperti Pakistan, Colombia, dan Indonesia.

Jika dilihat dari sudut perkembangan marxisme, jalur masa boleh diambil pada 1948 usai Marx dan sahabat-nya Engels menulis sebuah manifesto untuk golongan pekerja iaitu Komunis Manifesto. Marx yang lahir di Trier, Rhineland 1818 di mana anak kepada seorang keturunan Yahudi dan beragama Kristian Protestan Ayahnya seorang peguam yang dikenali, dan beliau pula diminta ayahnya untuk meneruskan susur galur keluarga itu tetapi Marx tidak pula mengikutnya. Marx hanya belajar bidang undang-undang di Bonn University tetapi bertukar bidang kepada falsafah selepas itu kerana minatnya. Di sinilah beliau mula berjinak-jinak dengan falsafah dan mengenali kelompok Young Hegelian.

Pada 1842 Marx telah menjadi editor di syarikat akhbar Rheinische Zeitung dan sewaktu itu beliau masih menerima idea liberalisme klasik yang dibawa oleh tokoh-tokoh Enlightenment seperti John Stuart Mill dan Jeremy Bentham. Kelantangan Marx mengakibatkan beliau telah dibuang negeri oleh kerajaan Prussia waktu itu, dan Marx beralih tempat ke Paris pada 1844 dengan menyertai syarikat akhbar Deutsch- Franzosische Jahrbucher. Di samping itu, beliau mula berjinak-jinak dengan pembincangan falsafah politik, sehingga beliau sempat menulis kritikan terhadap Hegel iaitu Critique of Hegel’s Philosophy of Right. Namun kritikan itu tidak disudahi oleh beliau dan pula pada tahun 1844 Marx menulis satu manuskrip ekonomi di Paris iaitu Economic and Philosophic Manuscript of 1844 juga dipanggil sebagai Manuskrip Paris. Tetapi manuskrip ini tidak diterbitkan pada zaman kehidupan beliau dan terbiar sehinggalah beliau meninggal dan terbitan manuskrip ini dibuat oleh rakan beliau iaitu Engels.

Di dalam manuskrip inilah Marx mula-mula menulis satu kritikan terhadap sistem kapitalisme dengan membawa hujah tentang Alienation (keterasingan). Di mana beliau melihat golongan pekerja ini terasing dengan empat perkara iaitu; (a) Keterasingan pekerja dengan produknya, (b) Keterasingan pekerja dengan aktiviti produk mereka sendiri, (c) Keterasingan pekerja dengan pekerja yang lain, (d) Keterasingan pekerja dengan potensi kemanusian sendiri. Empat keterasingan ini tercatat dalam penulisan manuskrip beliau tetapi kekurangan bukti emperikal dan analitikal. Oleh sebab itu, Marx mula beralih kepada persoalan yang lebih bersifat saintifik dan meninggalkan perbualan tentang falsafah pada akhir tahun 1844.

Selepas itu beliau lebih menekankan kepada pembincangan ekonomi politik dalam banyak tulisan beliau dan sedikit tentang falsafah materialisme dalam buku beliau bersama Engels iaitu The German Ideology tetapi banyak pengolahan tokoh politik marxis terhadap teori beliau adalah berkenaan empat ciri penting iaitu; (a) Pertentangan kelas (baca; Class Struggle), (b) Nilai lebihan (baca; Surplus Value), (c) Revolusi, (d) Historikal materialisme. Teori ini digunakan dalam bidang sains politik dan banyak di bincangkan oleh tokoh-tokoh marxis.

Dalam sistem kapitalisme bahawa semua benda dilihat sebagai komoditi termasuk manusia itu sendiri. Manusia yang mempunyai tenaga kerja dilihat sebagai objek yang boleh digunakan untuk tujuan menambahkan kekayaan. Jika dilihat pada awal perkembangan kapitalisme itu sendiri, golongan pekerja ini ada yang terdiri daripada anak-anak kecil malahan mereka dibayar dengan gaji hamba (baca; Slavery Wages). Bukan itu sahaja, dalam sistem kapitalisme, pekerja dilihat sebagai objek yang hanya bertindak seperti mesin untuk tujuan pekerjaan. Sifat kemanusian dalam diri manusia dicabut dan mereka mula dipandang sebagai satu bentuk komoditi seperti komoditi yang lain yang boleh dimiliki untuk dibeli atau dijual. Oleh sebab itu, Marx mula membuat kesimpulan dalam tulisan beliau tentang empat perkara alienasi pekerja yang terbentuk dalam sistem kapitalisme.

 

Keterasingan Pekerja dengan Pekerja

Pasca revolusi industri sistem monarki mula dilihat sebagai satu sistem yang lemah dan tidak mempunyai sistem produksi (baca; Mode of Production) berbanding sistem produksi kapitalisme yang mampu menjana produksi berlipat kali ganda. Selain itu, keuntungan yang dibuat oleh sistem kapitalisme adalah lebih baik berbanding sistem monarki. Sistem kapitalisme dilihat sebagai hasil daripada konflik kelas dalam sistem monarki yang mana kelas borjuis menentang kelas bangsawan dan gereja. Penentangan kelas ini telah menghasilkan satu mod produksi yang baru. Perubahan daripada sistem pertanian (baca; serfdom) beralih kepada sistem pasaran.

Oleh sebab itu, wujud-nya banyak kilang-kilang besar, seperti kilang yang menggunakan teknologi stim dan arang batu telah berkembang sehingga memerlukan pekerja yang ramai untuk menguruskan kilang itu. Daripada sinilah ketarasingan pekerja dengan pekerja. Teori pengasingan kerja (baca; Division of labour) diperkenalkan dengan begitu meluas pada perkembangan kapitalisme. Sebelum ini praktikaliti pengasingan kerja telah wujud cuma tidak begitu ketara dalam sistem kapitalisme seperti mana dikonatasi oleh tokoh ekonomi Adam Smith dalam buku beliau The Wealth of Nation.

Keterasingan ini menyebabkan pekerja tidak berkomunikasi dengan pekerja yang lain sewaktu proses produksi dijalankan. Setiap daripada mereka hanya melakukan tugas mengikut apa yang telah ditugaskan, pekerja ini akhirnya akan berbalik kepada majikan mereka untuk tujuan pembayaran gaji manakala hubungan pekerja dengan pekerja tidak lagi dapat dibina atas nama memproduksi barang secara bersama. Walaupun produk yang dihasilkan itu memerlukan tenaga kerja yang banyak tetapi pemisahan kerja ini menyebabkan mereka tidak berinteraksi dengan manusia lain. Marx melihat sistem kapitalisme telah menghalang kapasiti hubungan manusia sesama manusia dalam kerangka pekerja dengan pekerja.

 

Keterasingan Pekerja dengan Produk

Pekerja adalah mereka yang menghasilkan produk. Mereka adalah orang yang mempunyai sifat yang kreaktif dalam menghasilkan apa jua produk. Dalam gerak kerja menghasilkan sesuatu, pekerja ini meletakkan satu perkara yang tidak ternilai dalam produk yang mereka hasilkan. Iaitu Nilai. Pembincangan Marx pada konsepsi ini adalah, pekerja tidak lagi memiliki hak terhadap produk yang mereka hasilkan. Walaupun mereka telah mencurahkan waktu bekerja yang sangat lama terhadap penghasilan produk tersebut tetapi pekerja hanya dibayar gaji oleh majikan.

Selain itu, produk yang dihasilkan pekerja itu kian lama terpisah dalam bentuk-bentuk yang kecil tanpa melihat penghasilan penuh produk. Dari sinilah berlakunya keterasingan pekerja dengan produk yang mereka hasilkan. Dari sudut ini, pekerja tidak lagi berasa gembira dengan hasil yang mereka lakukan sehingga hari ini pekerja itu dilihat sama tarafnya seperti sebuah mesin yang mengeluarkan beribu-ribu produk setiap hari.

 

Keterasingan Pekerja dengan Aktiviti Produk

Pekerja yang sepatutnya memiliki hak terhadap produk yang mereka hasilkan telah dirampas hak itu atas nama pembayaran gaji masakan gaji yang dibayarkan pula tidak setimpal seperti yang sewajarnya. Dalam kosep yang ketiga ini, Marx melihat pekerja juga terasing dengan aktiviti produk yang mereka hasilkan. Ini kerana pekerja yang diasingkan tugas-tugas mereka hanya melakukan kerja yang diminta, hasil keseluruhan produk itu tidak lagi dapat ditelaah oleh pekerja seperti mana produk yang dihasilkan sebelum wujudnya sistem kapitalisme. Ambil contoh pembuatan keris. Dalam kerja pembuatan keris, seorang pekerja itu mempunyai kemahiran dalam membuat sebuah keris, malahan bukan itu sahaja, seorang pekerja itu mengetahui setiap proses awal hingga akhir pembuatan keris.

Tetapi dalam perkembangan teknologi hari ini, pekerja tidak lagi ‘dipaksa’ mengetahui kesemua proses pembuatan produk. Contohnya proses pembuatan sebuah kereta. Kilang A bertindak sebagai tempat pembuatan enjin, manakala kilang B diminta untuk membuat bahagian luar kereta, kilang C betindak membuat bahagian dalam kereta manakala kilang yang terakhir iaitu kilang D diminta untuk membuat pemasangan kereta. Pemisahan ini menyebabkan pekerja-pekerja tidak lagi berinteraksi secara penuh dengan produk yang mereka hasilkan.

 

Keterasingan Pekerja dengan Potensi Kemanusian

Keterasingan pekerja dengan potensi kemanusian ini mengakibatkan pekerja itu dilihat sebagai satu objek komoditi yang boleh dijual beli dan dimiliki. Pekerja tidak lagi dilihat sebagai sebuah esensi yang mempunyai nilai kemanusian tetapi satu bentuk objek komoditi baru di zaman kapitalisme. Kapitalisme telah menyebabkan pekerja ini tidak bersikap kreaktif. Sejak zaman berzaman manusia hidup dengan berinteraksi dengan alam dan melahirkan idea baharu saban zaman tetapi kerana penyekatan ini manusia tidak lebih sebagai satu bentuk objek untuk keuntungan kapitalis.

 

Teori Asas dalam Marxisme

Marx cuba memahami sejarah dengan meletakkan perubahan sejarah itu bermula oleh pergerakkan perubahan material. Teori ini dipecahkan kepada pembincangan base dan superstructure. Base atau sub-struktur ini dilihat sebagai yang dominan dalam proses perubahan sistem masyarakat. Sistem masyarakat itu boleh dipanggil sebagai superstruktur. Dalam sub-struktur ini Marx membincangkan tentang mod produksi iaitu sistem produksi setiap sistem pemerintahan. Contoh pada zaman pemerintahn monarki, mod produksi bersifat pertanian dan pengutipan cukai oleh bangsawan. Rakyat diberikan tanah untuk bercucuk tanam dan mereka akan mengusahakan tanah mereka sehingga cukup tempoh-nya pihak kerajaan akan mengutip cukai. Selain itu ekonomi negara juga diambil daripada cukai perdagangan. Oleh sebab itu di dalam sistem monarki, wujud dua sistem ekonomi klasik iaitu golongan fisiokrat dan perdagangan.

Pada akhir hidup nya, Marx mula mengkaji sistem ekonomi politik kapitalisme secara lebih sistematik dan membawa satu teori nilai lebihan yang mana sehingga kini ahli ekonomi masih membahaskan berkenaan teori nilai lebihan ini dalam kerangka marxisme. Walaupun begitu, neo-klasikal ekonomi sudah tidak lagi mengendahkan tentang teori nilai yang dibangunkan oleh Adam Smith pada awalnya diteruskan oleh David Ricardo dan akhirnya dibina teori nilai yang baharu oleh Karl Marx. Beliau mengatakan bahawa kapitalis yang memiliki sumber produksi (baca; mean of production) telah merampas nilai lebihan kaum pekerja. Nilai lebihan ini dalam bahasa mudahnya adalah keuntungan, menurut kiraan formula Marx, pekerja yang bekerja menyumbang sesuatu nilai dalam produk yang mereka hasilkan. Sewajarnya nilai lebihan perlu diberikan kepada pekerja kerana itu adalah milik mereka tetapi dirampas oleh golongan kapitalis menggunakan sistem kapitalisme.

Marx melihat dengan teori ekonomi dan teori kelas sosial beliau akan menjelaskan perkembangan sejarah. Eksploitasi yang dilakukan oleh golongan kapitalis itu akan menyebabkan golongan proletariat bangkit dan tercetusnya revolusi yang tidak terelakkan. Kapitalis tidak mampu menahan revolusi ini daripada tercetus, kerana perkembangan sistem kapitalisme itu menurut Marx jualah yang membangkitkan revolusi seperti dalam sistem-sistem yang sebelumnya. Revolusi ini kata Marx akan dibangkitkan oleh kelas yang ditindas iaitu golongan pekerja, di mana kebangkitan revolusi itu berlaku kerana kesedaran kelas pekerja dengan kondisi ekonomi yang terus menerus menindas mereka.

Dalam buku beliau Manifesto Komunis, Marx membuat teori yang meletakkan setiap sistem masyarakat pada perkembangan sejarah itu akan mempunyai dua kelas yang paling besar iaitu kelas pemerintah dan kelas yang diperintah di mana kelas penindas dan kelas yang ditindas. Pada zaman monarki/feudalisme kelas pemerintah adalah golongan bangsawan yang menguasai sumber produksi (baca; mean of production) dan kelas borjuis adalah kelas yang ditindas tetapi setelah berlakunya revolusi maka dalam sistem masyarakat kapitalisme kelas penindas adalah kapitalis atau borjuis yang mengawal sumber produksi manakala kelas proletariat pula ditindas oleh golongan borjuis ini. Maka kebangkitan kelas pekerja akan tidak terelakkan seperti kebangkitan kelas borjuis seketika dahulu.

 

Pengaplikasian Teoritikal

Teori Marx ini telah menjadi satu teori yang digunakan untuk memahami kondisi sosial, ekonomi dan politik di Kolombia. Teori Marx tentang mod produksi, historikal materialisme tentang teori formasi sosial juga digunakan untuk menilai perkembangan masyarakat di Kolombia mentelah teori tentang teori dan praktik yang dipanggil sebagai praxis turut dipakai untuk mengkaji tentang praktikaliti teori di perubahan masyarakat Kolombia. Ketiga-tiga teori ini digunakan untuk menilai keberkesanan teori marxisme yang diaplikasikan di dunia ketiga. Ini kerana, dunia ketiga dilihat sebagai sebuah dunia yang berbeza dengan dunia pertama, dari sudut perkembangan sejarah material dan juga tatanan politik mereka.

Mod produksi di Kolombia tidak melalui masyarakat Asiatik dan juga feudal, tetapi lebih kepada masyarakat primitif. Masyarkat Kolombia dilihat sebagai sebuah negara yang tidak sangat seperti primitif, ini kerana mod produksi di Kolombia sudah maju sebelum datangnya penjajah. Oleh sebab itu tokoh marxis Kolombian melihat: mod produksi di Kolombia tidak lah sepenuhnya berdasarkan primitif kerana mereka sudah mempunyai pembahagian kerja yang kompleks. Mereka juga punya kesenian yang tertentu sebelum diletakkan sebagai sebuah negara yang feudalistik.

Amerika Latin sebelum menjengah kondisi masyarakat feudal telah diserang oleh penjajah. Ini menyebabkan keadaan kondisi masyarakat feudal di Amerika Latin tidak begitu jelas seperti yang berlaku di feudal eropah. Akibat daripada penjajahan itu berlaku transisi budaya, ekonomi, politik dan sosial daripada pihak penjajah dan menggangu perkembangan sejarah material Kolombia. Penjajah telah megenalkan hacienda iaitu perternakan lembu dalam kuantiti yang besar. Selain itu mengenalkan institusi yang baru di mana menggangu perkembangan politik feudal Kolombia pada waktu itu.

Dalam tulisan magnus opus Marx, Das Kapital, beliau menunjukkan setiap masyarakat itu mempunyai formasi sosial mereka yang tersendiri. Sebuah masyarakat itu akan difahami dengan melihat artikulasi mod produksi yang pelbagai. Formasi sosial adalah hubungan ideologi, politik, dan ekonomi yang wujud dalam sistem masyarakat seperti kapitalisme, feudalisme, primitif, atau asiatik. Teori ini dikembangkan oleh Louis Althusser yang melihat keterkaitan tiga perkara asas ini dalam menilai perkembangan sejarah kapitalisme.

Di Kolombia, keadaan formasi sosial mereka seakan sama dengan formasi sosial di Rusia pada waktu sebelum revolusi. Teori ni digunakan di Kolombia untuk melihat keterkaitan antara daerah di Kolombia dengan komuniti penduduk setempat. Dengan teori ini, analisis terhadap daerah serantau di Kolombia dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian bertujuan untuk mengkaji proses perubahan mod produksi yang baru. Ternyata analisa formasi sosial ini membantu pengaturan mekanisme produksi di Kolombia berkembang dengan lebih baik.

Selain itu, Orlando Fals-Borda adalah seorang tokoh Amerika Latin yang membangunkan teori Participatory Action Research dengan mengaplikasi praksis sebagai teori dasarnya. Praksis dilihat sebagai satu teori yang meletakkan teori dan praktikal itu seiring. Dalam melihat sesebuah masyarakat, satu-satu teori itu hendaklah praktikal untuk sesebuah masyarakat dan juga keadaan waktu itu. Tokoh sosiologi Amerika Latin itu melihat masyarakat Kolombia dengan menggunakan teori PAR ini dan membongkar tatanan hidup masyarakat Kolombia mengikut perkembangan sejarah material. Bagi beliau Marx telah membuka satu jalan yang baru kepada kajian sesebuah masyarakat.

Kesimpulannya, teori marxisme telah digunakan dengan begitu meluas oleh ramai tokoh sains politik, sosiologis, filasuf, psikologis, dan juga ahli ekonomis. Perkembangan ilmu marxisme bukan sahaja membawa dunia intelektual berkembang tetapi cara memandang sesebuah sistem sosial itu turut berubah. Kajian Marx terhadap sistem kapitalisme dengan cara yang lebih sistematik membongkar banyak perkara yang buruk terhadap sistem kapitalisme. Sehingga kini sistem kapitalisme ini masih dilihat tidak mampu membawa konsep keadilan kepada manusia sejagat. Tidak dapat untuk kita membungkam idea marxisme walaupun ada beberapa andaian Marx yang tersasar seperti akan berlaku revolusi di dunia pertama kerana perkembangan teknologi yang pesat.

Walaupun begitu, tokoh-tokoh ekonomi dan sains politik Demokrasi Sosial seperti Eduard Benstein juga menerapkan beberapa teori Marx ke dalam analisa politik dan ekonomi. Jelaslah teori marxisme tentang mod produksi, keterasingan pekerja, nilai lebihan dan juga historikal materialisme membawa satu paradigma yang baru dalam dunia akademik sains sosial.

Bahkan kerana teori marxisme jugalah revolusi di Rusia dan China menjadi satu revolusi yang berjaya mengubah sistem feudalisme yang sudah korup kepada sistem yang lebih baik. Kegagalan sistem sosialisme di Rusia, China, Chile, Cuba dan beberapa negara lain tidak menandakan bahawa marxisme itu gagal dan tidak terpakai. Tetapi menunjukkan wujudnya perlawanan kelas yang terus menerus dalam sistem masyarakat itu. Tuntasnya teori politik marxisme membawa satu sudut pandang yang baru untuk ditelaah oleh ahli akademik.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s