FALSAFAH ISLAM vs FALSAFAH MUSLIM? 

Oleh : Wan Ji Wan Hussain

Kalimah falsafah Islam dalam sebutan melayu, jika digunakan dalam bahasa arab ada dua sebutan;

  1. “al-falsafah Al-Islamiah”, 
  2. “Falsafah al-Islam”. 

Kedua-dua kalimah ini memberi maksud yang berbeda. 

(1) AL-FALSAFAH AL-ISLAMIAH

Sebutan “al-falsafah Al-Islamiah” memberi maksud Islam adalah sifat bagi falsafah. Apabila disebut sifat, ia terbahagi kepada dua pula;

  1. sifat yang boleh berenggang dari zat (al-Mujawir Lahu), seperti warna cat yang melekat pada kayu. Warna cat itu boleh dikikis buang dari kayu yang merupakan zat. 
  2. sifat yang tidak boleh direnggangkan dari zat (al-Lazim lahu), seperti warna coklat kayu pada kayu. Yang jika dikikiskan warna itu macam mana pun, warna tersebut tidak berenggang dari kayu tersebut.

Sebutan “al-Falsafah al-Islamiah”, jika diandaikan dalam kerangka (A), ia memberi maksud bahawa Islam itu adalah falsafah. Tetapi, falsafah itu boleh direnggangkan dari Islam. Makanya, sebarang elemen selain dari Islam boleh berlaku pada falsafah yang dilabelkan pada falsafah Islam. 

Namun, jika dilihat pada kerangka (B), Islam adalah sifat bagi falsafah yang tidak boleh direnggangkan kedua-duanya (falsafah – Islam), menjadikan selain dari elemen Islam, tidak dapat diterima dalam maksud bagi falsafah Islam. Bermakna, falsafah itu, sifatnya semestinya Islam.

(2) FALSAFAH AL-ISLAM

Yang lain pula, falsafah al-Islam, iaitu sandaran (idhafat) antara dua kalimah, iaitu falsafah dan Islam. Apabila disebut falsafah al-Islam, ia adalah dua kalimah berbeda yang masing mempunyai maknanya tersendiri. Lalu, dicantumkan menjadikan satu maksud yang baru.

Contohnya, kalimah kereta api. Kalimah kereta, memberi maksudnya tersendiri, iaitu sesebuah kenderaan yang bertayar empat dan mempunyai bentuk badannya kecil dari lori dan besar dari motor. Kalimah api pula, maksudnya juga tersendiri. Iaitu, sejenis yang panas dan mampu membakar. 

Namun, apabila disandarkan (idhafat) kalimah “kereta” dan “api”, ia melahirkan satu imaginasi (tasawwur) yang lain pula, iaitu sebuah kenderaan yang menggunakan tenaga api yang bersifat memanjang dan berjalan pada relnya sahaja.

Maka begitu juga kalimah “falsafah al-Islam”, iaitu kalimah falsafah itu punyai maknanya tersendiri dan kalimah Islam pula punyai maknanya tersendiri. Namun, apabila disandarkan (idhafat) kedua-dua kalimah itu, ia memberi imaginasi (tasawwur) yang lain pula.

HURAIAN

Apabila disebut falsafah Islam dalam sebutan (1)A, ia memberi maksud bahawa sesuatu falsafah itu tidak dapat tidak berasas dari sumber Islam. Tanpa Islam, maka tiada nilai falsafah. 

Namun, bagi sebutan falsafah Islam dalam sebutan (2)B, ia memberi maksud bahawa falsafah semestinya Islam. Bahkan, jika diambil dari kalangan yang lain pun, apabila ia masuk dalam neraka falsafah, maka ia boleh dianggap Islam. 

Berbeda dengan sebutan falsafah al-Islam. Ia memberi maksud, sebutan falsafah tidak semestinya bersifat Islam. Bermakna, wujud di sana falsafah yang menjadikan Islam sebagai rujukan. Disamping itu, mengakui ada falsafah yang tidak bersifat Islam, seperti kewujudan falsafah barat, falsafah konfusianisme dan banyak lagi.

FALSAFAH MUSLIM.

Falsafah Muslim pula adalah sebutan yang memberi maksud falsafah yang datang dari orang Islam. Contohnya, falsafah yang dikemukakan oleh Ibn Sina, Al-Biruni, al-Khawarizmi dan banyak lagi. Memandangkan mereka adalah muslim yang berfalsafah, makanya falsafah mereka disebut sebagai falsafah Muslim.

PADA SAYA;

Falsafah adalah falsafah, tanpa perlu disandarkan atau disifatkan kepada Islam, mahukan disifatkan atau disandarkan kepada muslim.

Ibn Sina itu, jika diandaikan tidak beragama Islam, beliau tetap berfalsafah walaupun tidak membaca teks-teks suci wahyu. Begitulah juga pada tokoh falsafah lain, seperti al-Biruni, Al-Farabi, al-Khawarizmi dan sebagainya.

Ini kerana, manusia berfalsafah untuk mengetahui hakikat dua perkara;

  1. Kebenaran
  2. Kebaikan

Dan mereka mengejar untuk ketahui dua perkara ini, hasil dari interaksi akal, pancaindera dan intuisi mereka ketika membaca. Membaca dalam maksud bukan sekadar bahan bertulis, bahkan cuba memahami alam, teks wahyu dan sebagainya. 

Justeru, sesiapa sahaja yang membaca sehingga sampai tahap untuk memahami secara mendalam dalam dua kerangka, iaitu memahami kebenaran dan kebaikan, maka ia sudah berfalsafah. Dan keadaan ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja, sama ada muslim atau tidak, ataupun dengan melihat wahyu atau tidak.

Pada saya, menilai dengan melihat wahyu tidak semestinya terus dianggap sebagai falsafah Islam. Ini kerana, orang bukan Islam yang menilai al-Quran dan Hadis, lalu cuba menilai dalam mencari kebenaran atau kebaikan menerusi wahyu itu, tidak pula diiktiraf Sebagai falsafah Islam, justeru jauh sekali nak dianggap sebagai falsafah Muslim.

Justeru, falsafah adalah falsafah, tanpa perlu disifatkan atau disandarkan kepada Islam, mahupun muslim. 

Wallahualam.

 


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s