Falsafah Skolastik sebuah Falsafah Kristian! Adakah Berbahaya?

Dispute_of_Queen_Cristina_Vasa_and_Rene_Descartes.png

Oleh; Ummu Cili Padi

 

Falsafah Eropah pada abad pertengahan terkenal dengan nama ‘Falsafah Skolastik”, yang membawa maksud falsafah yang diajarkan di sekolah-sekolah (A. Hanafi 1983:78). Falsafah Barat pada abad pertengahan (476M-1492M) dapat dikatakan sebagai abad gelap kepada masyarakat Eropah pada ketika itu. Pada waktu tersebut, penguasaan gereja begitu mendominasi kehidupan masyarkat Eropah sehinggakan mereka tidak dapat mengembangkan potensi diri mereka kerana gereja sentiasa mengawasi tindak-tanduk dan pemikiran mereka. Sekiranya terdapat ajaran atau sebarang penyebaran pemikiran yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa gereja maka orang yang mengemukakanya akan dikenakan hukuman yang berat (Sadali dan Mudzakir 1999: 80-81).

Perkara ini dapat kita tafsirkan bahawa pada zaman pertengahan ini teologi begitu berkuasa terhadap pemikiran dan kehidupan masyarakat Eropah. Pada waktu ini, falsafah barat terbahagi kepada dua masa iaitu, masa patristik dan masa skolastik. Perbezaan dua masa ini adalah di masa patristik yang membawa ajaran gereja dianggap sebagai falsafah sejati sekaligus sebagai wahyu. Pada waktu skolastik, berlaku pelbagai pertanyaan yang diuji secara tajam dan rasional serta tidak bergantung kepada ajaran gereja sahaja.

Istilah skolastik adalah kata sifat yang berasal dari kata school yang membawa maksud sekolah yang juga membawa maksud yang sama seperti ajaran atau persekolahan (Asmoro 2000: 80). Nama skolastik ini menunjukkan besarnya peranan sekolah-sekolah dan biara-biara pada waktu tersebut dalam mengembangkan pemikiran-pemikiran falsafah. Masa falsafah skolastik telah berkembang apabila berlakunya kegoncangan yang menimpa Roma dan kerajaan Romawi, sebagai akibat serangan bangsa Barbar dan pergolakan-pergolakan sosial yang menyebabkan rosaknya buku-buku. Pembesar-pembesar agama dan gereja menjadi satu-satunya pelindung buku-buku tersebut dan penyimpanan ilmu dan merekalah yang mendidik bangsa-bangsa baru (Barbar) dan bekerja untuk membina kebudayaan baru (A. Hanafi 1983:79).

Setelah Charlemagne berkuasa, ketenteraman mula kembali. Pada ketika ini ajaran gereja mulai tersebar luas di daratan Eropah dan juga telah muncul organisasi-organisasi yang berbau gereja. Sekolah-sekolah telah didirikan bagi calon pemimpin gereja, tetapi orang biasa juga dibenarkan mengikuti pembelajaran di gereja tersebut. Pelajaran yang diajarkan masih lagi pelajaran lama yang disebut sebagai artes liberales (seni merdeka). Seni ini merupakan pelajaran yang sudah lama diajarkan dan menjadi pelajaran utama di Yunani dan Roma yang terdiri daripada grammatical, dialetica, rhetorica, geometria, aritmatica, astronomia dan musica. Dialektika kini disebut sebagai logika dan kemudian meliputi falsafah.

PERKEMBANGAN AWAL FALSAFAH SKOLASTIK

Setelah runtuhnya kerajaan Romawi, suasana masyarakat Eropah pada ketika itu telah bertukar aman. Kekuasaan pada ketika itu telah bertukar kepada Karel Agung (742-814 M) yang telah membawa suasana yang aman dalam masyarakat Eropah. Suasana yang aman ini telah menyebabkan kebangkitan masyarakat Eropah di dalam bidang politik, kebudayaan, dan ilmu pengetahuan malah kehidupan manusia serta pemikiran falsafat juga turut mengalami kebangkitan. Kebangkitan inilah yang menjadi kunci kecemerlangan dan kemajuan masyarakat Eropah pada ketika itu. Pada mulanya skolastik ini muncul buat pertama kalinya di biara di selatan Itali dan pengaruhnya merebak sehingga ke Jerman dan Belanda. Kurikulum pengajarnya meliputi ilmu duniawi, tata bahasa, retorika, dialektika, ilmu hitung, ilmu ukur, ilmu astronomi dan muzik.

Terdapat beberapa tokoh yang harus kita tahu dan perhatikan pengaruh mereka terhadap perkembangan falsafah skolastik pada waktu ini:

 

Augustinus (354-430 M)

St. Augustinus dilahirkan di Tagaste, Numidia (sekarang Algeria). Ayahnya tidak beragama, tetapi ibunya seorang kristian yang telah mendidik anaknya untuk mencintai Nabi Isa al-Maseh. Pengetahuannya yang mendalam tentang bahasa Latin telah melayakkan ia membuka sebuah sekolah Retorik di Cartage, kemudian menjadi guru retorik di Rom dan Milano.

Diantara karyanya yang terpenting ialah Confession yang telah menjadi buku kesusasteraan antarabangsa kerana gaya bahasa dan penghuraiannya yang teliti tentang kejiwaan dan fikiran-fikiran falsafah yang mendalam. Selain itu, karangan beliau yang bertajuk De Civitate Dei atau The City of God yang berisi kritikan terhadap agama yang menyembah berhala, baik kepercayaannya, akhlak-akhlaknya mahupun pandangan-pandangan falsafahnya yang juga berisi sejarah umum (A. Hanafi 1983: 90-91).

 

Boethius (480-524 M)

Anicius manlius Severinus Boethius adalah seorang filsuf dari Rom. Lahir di Kota Rom sekitar tahun 480. Boethius pernah menjawat jawatan sebagai pegawai tinggi di bawah pemerintahan Kaiser Theodorik dan ia dituduh sebagai pengkhianat lalu dibuang ke tempat pengasingan. Akhirnya, Boethius dihukum mati pada tahun 524 M ketika berusia 44 tahun (P.A Van 2000: 71-76). Dia telah dihukum mati dengan tuduhan dia dianggap sebagai filsuf Romawi dan filsuf pertama Skolastik.

Pemikiran Boethius memiliki pengaruh penting terhadap falsafah pada akhir era Falsafah Klasik dan juga awal masa abad Pertengahan. Selain itu, terjemahan dan komentar Boethius terhadap karya-karya Aristotels juga amat mempengaruhi seluruh sejarah falsafah selepas itu. Karya Boethius yang paling terkenal berjudul “Penghiburan dari Falsafah” yang ditulis sewaktu dia di dalam buangan. Isi karya tersebut adalah refleksi terhadap hakikat kebahagiaan manusia, serta mengenai masalah kejahatan. Selain itu, karya itu juga telah membincangkan tema-tema seperti takdir, kesempatan, kehendak bebas manusia dan sebagainya.

 

PERKEMBANGAN SKOLASTIK EMAS

Perkembangan skolastik emas merujuk kepada mercu kejayaan pada zaman pertengahan ketika itu. Skolastik emas mula berkembang pada abad 12-13 Masihi. Perkembangan skolastik emas ini, melalui beberapa kejayaan yang dicapai pada waktu itu. Secara asasnya, kejayaan kepada skolastik emas mempunyai tiga faktor. Faktor yang pertama, terhasilnya beberapa buah universiti pada awal abad 12 Masihi. Kedua, terdapat pelbagai aliran baru yang muncul hasil daripada pemikiran ahli falsafah. Ketiga, pertembungan peradaban agama dimana hasil karya Aristotle ditemukan oleh falsafah Arab dan Barat menyebabkan karya tersebut semakin meluas dikaji.

Kejayaan skolastik emas yang pertama, terhasilnya beberapa buah universiti di sekitar Perancis. Universiti ini ditubuhkan melalui pengumpulan beberapa sekolah serta hasil daripada kerjasama mahasiswa dengan guru, atau ianya dipanggil sebagai magistorum et scolariuin. Pembentukan universiti ini berlaku apabila academia mula ditutup. Academia adalah sebuah tempat pengajian yang ditubuhkan oleh Plato. Setelah academia ditutup, penubuhan univesiti yang mengumpulkan beberapa sekolah telah dibina supaya pengajian tidak terhenti disitu sahaja. Di Paris, universiti ini adalah universiti pertama yang bekerjasama dengan sekolah. Melalui penubuhan universiti ini, muncul masyarakat yang lebih berintelektual. Oleh itu, penubuhan universiti ini dipanggil sebagai faktor kejayaan skolastik emas pada waktu itu. Perkara ini telah menjadikan Paris sebagai contoh universiti yang terbaik apabila negeri lain juga mencontohi cara pelaksanaan universiti-sekolah ini. Antara negeri yang terlibat ialah, Oxford, Bogona dan Cambridge di Inggeris. Universiti yang ditubuhkan ini, secara asasnya mempunyai empat fakulti iaitu fakulti perubatan, undang-undang, sastera dan teologi iaitu yang berkaitan dengan agama, kepercayaan dan kerohanian.

Kejayaan kedua skolastik emas apabila muncul aliran-aliran baru dari puak pemikir falsafah ini. Secara langsungnya, aliran ini mempengaruhi perkembangan hidup masyarakat pada waktu itu, dimana ianya menjadikan masyarakat cerdik pandai. Aliran yang terkenal pada waktu itu adalah Aliran Fransiscan yang ditubuhkan oleh St. Francisc of Asisi pada tahun 1209 Masihi. Aliran ini berpegang kepada ajaran agama Kristian. Pemerintahan Franciscan yang terkenal dengan pendakwah dan mubaligh ini telah mengkaji dengan  menggunakan pengimejan otak untuk menentukan litar yang aktif dan menyambung apabila Tibet Buddha bermeditasi dan biarawati Franciscan berdoa. Seterusnya, kemunculan aliran Dominican yang diasaskan oleh St. Dominic telah ditubuhkan pada tahun 1215 Masihi. Aliran Dominican ini ialah suatu ajaran agama untuk wanita yang diasaskan pada prinsip yang sama. Ianya melalui proses pengumpulan pesanan ataupun khutbah oleh sami dan biarawati. Kemunculan aliran-aliran baru ini kerana terdapat banyak perhatian terhadap ilmu pengetahuan sehingga menimbulkan dorongan yang kuat sehingga tercetusnya aliran baru.

Faktor kejayaan yang ketiga adalah penemuan para falsafah Yunani terhadap karya Aristotle. Penemuan karya Aristotle menjadi faktor terpenting dalam perkembangan ilmu pengetahuan pada zaman kejayaan skolastik emas. Karya Aristotle sangat besar dimana karyanya dikaji oleh para falsafah ilmuan yang lain. Karya yang dikaji adalah logik, etika, metafizik, politik, sains tulen, dan fizik. Disebabkan karyanya yang meluas, ajaran ini masuk melalui Arab dengan tokohnya seperti Ibnu Sina (980-1037M), dan Ibnu Rushd (1126-1198M). Dari ini, dapat dilihat bahawa antara faktor kejayaan skolastik emas kerana penemuan karya Aristotle oleh falsafah Arab dan Barat.

Tokoh Skolastik Emas

Perkembangan skolastik emas juga didorong oleh tokoh-tokohnya yang tersendiri. Tokoh-tokoh yang ada inilah antara penyumbang terbesar kepada kejayaan skolastik emas ini. Tokoh yang pertama adalah Albertus Magnus (1193-1280M). Beliau adalah seorang biarawan daripada aliran Dominican. Beliau menjadi terkenal kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan berpotensi mendamaikan antara para ilmuan dan agama. Beliau seorang ahli falsafah Jerman dari segi bidang teologi. Beliau menghasilkan karya dengan menulis tentang ilmu geografi, sosiologi dan astronomi. Karyanya yang terkenal berjudul De Meteororibus yang membahaskan tentang komet, asal usul sungai dan sebagainya. Albertus menyentuh semua ilmu pengetahuan berkaitan alam sehingga diberikan gelaran doktor antarabangsa kerana sifat dalam ilmu secara menyeluruh. Albertus merupakan guru Thomas Aquinas yang dianggap sebagai ahli falsafah yang menandai masa kejayaan skolastik.

Thomas Aquinas adalah pelajar kepada Albertus Magnus. Beliau juga seorang ahli falsafah dalam bidang teologi yang sangat berpengaruh. Karya beliau yang terkenal adalah Summa Theologica (1273M). Buku ini berkaitan kesimpulan dari falsafah Aristotles dan ajaran Gereja Kristian. Pada tahun 1879, ajarannya dijadikan sebagai ajaran agama dalam Gereja Katolik Roma oleh Paus Leo XIII. Thomas dianggap sebagai ahli falsafah yang menandai kejayaan skolastik disebabkan ilmu teologi yang sangat tinggi. Thomas berusaha membangunkan satu perpaduan realism antara logik dan iman, serta falsafah dan teologi. Ilmu yang disampaikan oleh Thomas lebih kepada penerimaan terhadap pengetahuan yang bersumberkan intelektual atau dikenali sebagai intellectus agens, serta pengetahuan berdasarkan kebenaran dan kepastian. Thomas juga menganggap manusia mempunyai keterbatasan ilmu pengetahuan tetapi mempunyai potensi mencapai ilmu lebih tinggi kerana sifat ilmuan yang tidak terbatas.

ZAMAN AKHIR SKOLASTIK

 Zaman akhir skolastik adalah pengakhiran skolastik pada akhir abad 13 yang memasuki abad 14. Faktor penyebab berakhirnya skolastik ini kerana ahli falsafah yang tidak mempunyai idea baru atau malas untuk berfikir lebih mendalam dalam sesuatu perkara. Hal ini menjadikan zaman itu berada pada tahap yang sama. Ianya menyebabkan tiada pembaharuan dalam segi pencarian ilmu baru atau mengkaji ilmu yang baru. Seterusnya, berlaku terlampau banyak kelompok diantaranya aliran Thomisme, Scotisme, Skolastik Kuno dan Skolastik Moden. Aliran Skolastik Kuno merupakan kelompok lebih kecil dan lemah kerana tidak memiliki pemikiran yang baru iaitu pemikiran asli. Berbanding dengan aliran Skolastik Moden yang menolak pemikiran metafizik yang konstruktif. Skolastik Moden lebih menekankan kepada perkara yang bersifat sainstifik dan positif, bukan kepada persoalan falsafah. Tokoh Skolastik Moden adalah William Ockham.

Pada tahap akhir skolastik, terdapat ahli falsafah yang berbeza pandangan dengan Thomas Aquinas. Iaitu William Ockham (1285-1349M). Tulisannya menyerang kekuasaan gereja dan agama Kristian. Hal ini menyebabkan, beliau tidak begitu disukai dan kemudian dipenjarakan oleh Paus. Namun, beliau berjaya melarikan diri dan meminta suaka politik daripada Kaisar Louis IV, hal ini menyebabkan beliau terlibat dengan konflik berpanjangan dengan gereja dan negara. William berpendapat dengan tindakan mempertahankan agama, melalui pemisahan ilmu dari teologi. Beliau menyatakan bahawa kepercayaan terhadap Tuhan haruslah berdasarkan keimanan seseorang, bukan dengan pembuktian. Hal ini kerana kepercayaan terhadap agama tidak boleh disangkal oleh sesiapa.

 

*Ummu Cili Padi adalah pelajar jurusan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Minat pada dunia sastera dan mahir dalam melukis potret. Mengapa Cili Padi: kecil-kecil orangnya tetapi pedas kata-katanya


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s