Islamisasi Ilmu Syed Naquib al-Attas: Sekadar Pengantar!

al utas

 

Oleh: Azmina Nordin

Gagasan islamisasi pengetahuan dibawa oleh Syed Naquib al Attas, salah satu pemikir Islam yang bukanlah calang-calang dalam dunia intelektual nusantara, malah  sumbangannya yang mengkagumkan sehingga menjadi rujukan dan kajian oleh pemikir-pemikir Islam kotemporari.  Lahirnya di Bogor, Indonesia namun menabur bakti yang cukup besar di Malaysia bermula menjadi pensyarah, penulis dan menubuhkan (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam) ISTAC yang kini dinaungi oleh Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) yakni sebuah bangunan yang menyimpan khazanah ilmuan Islam. Dalam dunia intelektualnya, Syed Naquib telah mencetuskan sebuah fenomena dalam mengislamisasikan ilmu pengetahuan, ini ada yang menyokong dan ada yang mengkritik oleh beberapa pemikir Islam sehingga konsep ini berkembang pada akhir abad 20.  Walaubagaimanapun, dari pandangan peribadi saya sendiri, gagasan ini semakin  kurang diperdebatkan dan diperdengarkan untuk masyarakat awam  pada masa kini.

 

EPISTEMOLOGI

Epistemologi pengetahuan dalam Islam berdasarkan dua perkara iaitu wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi samada melalui perantaraan malaikat juga melalui rasionalisme. Benar sekali, Islam tidak menolak pemikiran rasional dalam mendapatkan ilmu. Tercatat dalam ayat Al-Quran yakni surah al-alaq (1-5), memberi indikasi bahawa wahyu adalah sumber kepada ilmu pengetahuan manakala surah ketiga An Nahl (78) menyatakan bahawa pengetahuan dapat digarap melalui deria rasa (empirisisme). Malahan, surah an-Nahl turut mengiktiraf kegunaan fikiran rasional. Apa yang perlu masyarakat Islam tahu adalah keperluan ilmu dituntut oleh Islam bagi menimbulkan kesedaran mengenai Allah. Buktinya, segala penemuan ilmu yang bermanfaat oleh tokoh falsafah Islam terdahulu sezaman Ibn Rushd, Al Farabi, Ibn Sina, Al Ghazali diangkat nilainya di barat kerana kebijaksanaan mereka telah meluaskan pengaruh dan Islam tersebar serata dunia.

 

ISLAMISASI PENGETAHUAN

Lahirnya seorang pemikir Islam abad 20, Syed Naquib al Attas telah menyumbang salah satu gagasan baru dalam dunia ilmu Islam apabila beliau meperkenalkan konsep Islamisasi pengetahuan. Perkara ini pertama kali dibincang dan dibawa ke dalam dunia Islam selepas berlaku persidangan dunia yang pertama menghimpunkan tokoh-tokoh Islam untuk membincangkan tentang pendidikan di Makkah pada tahun 1977.

 

I) Islamisasi

Menurut Syed Naquib, Islamisasi bermaksud pembebasan manusia dari tradisi magik, mitologi,  animistik , nasional-kultural, dan penguasaan daripada sekular terhadap fikiran dan bahasa. Faktor yang mendorong tentang konsep ini adalah atas kesedaran tentang peri pentingnya unsur-unsur Islam untuk diterapkan dalam ilmu pengetahuan di kalangan muslim supaya ia tidak terasing dari landasan ilmu, sedari apabila pengaruh sekular dalam ilmu pengetahuan yang sedang dipelajari oleh masyarakat Islam. Islamisasi pengetahuan kemudiannya dipopularkan oleh Ismail Al Faruqi iaitu seorang ahli falsafah dari Palestin tahun (1921-1986) dalam makalahnya berjudul Islamicizing social science (1981).

Jika kita melihat daripada perkataan “islamisasi” akan tercetuslah maksud mengislamkan.  Maksud islamisasi ini hanyalah mengembalikan pemahaman kepada Islam. Kerana jika kita teliti dengan benar, bahawa semua ilmu pengetahuan telah diatur di dalam Islam yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Secara istilah, islamisasi pengetahuan adalah suatu proses pengembalian pemahaman yang bercanggah terhadap Islam dan ilmu pengetahuan kepada pemahaman yang akomodatif antara Islam dan ilmu pengetahuan, sehingga tidak dapat kesan pemisahan antara kelompok klasik dan kelompok moden. Hal ini disebabkan setiap pemahaman yang berbeza terhadap pengkhususan ilmu agama dan ilmu umum.

 

II) Pengetahuan

Dalam buku Prof. Wan Mohd Wan Daud karyanya “Filsafat dan Praktik Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas” bahawa  Syed Naquib Al-Attas menyatakan, salah satu kejatuhan intelektual dalam kalangan Muslim moden kerana sering kali menganggap remeh karya-karya intelektual dan spiritual pada zaman dahulu, ini juga kerana ketiadaan ilmu mengenai bagaimana caranya untuk mendefinisikan sesuatu dengan cara yang wajar kerana ilmu seperti ini adalah ciri utama dan merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam tradisi intelektual Islam.

Sebagai contoh, Syed Naquib al-Attas telah mengambil definisi pengetahuan daripada seorang tokoh pemikir Islam juga iaitu Syeikh Muhammad Abduh. Beliau (Syeikh Muhammad Abduh) telah mengambil pengalaman daripada sirah Nabi Muhammad SAW berkaitan dengan penerimaan wahyu kepada baginda. Menurut Abduh, kata kerja wahy yang darinya muncul perkataan wahyu, secara umum bererti berbicara dengan seseorang mengenai sesuatu yang disembunyikan oleh orang yang berbicara itu dari orang lain. Muhammad Abduh mengakui bahawa makna yang dominan dari perkataan wahyu adalah perkataan Allah SWT kepada para nabi. Namun, dalam definisinya, dia mengatakan, sesuai dengan tujuan-tujuan kami, kami mendefinisikan wahyu sebagai ilmu pengetahuan yang didapati seseorang dalam dirinya yang diyakini sepenuhnya berasal daripada Allah SWT, walaupun tanpa melalui perantara. Yang melalui perantara boleh jadi dalam bentuk suara atau bukan suara yang boleh didengar.

Dalam penilitian Al-Attas, umat Islam sekarang sudah tidak mampu lagi mendefinisikan sesuatu konsep dengan benar. Setelah mengetahui bahawa akar permasalahan intelektual umat Islam adalah kekeliruan dalam menterjemah sejumlah kata kunci menurut pandangan dunia dan sejarah Islam., seperti mengenai perkataan pandangan dunia, agama, Allah SWT, ilmu pengetahuan, pendidikan, kebahagian keadilan, kebijaksanaan, pendidikan tinggi, pembangunan dan sebagainya. Menyedari perlunya usaha berkesinambungan dari para pemikir dan untuk menyembuhkan penyakit yang telah begitu mengakar dan telah tersebar luas di pelbagai peringkat dan aspek kehidupan intelektual, agama dan sosial umat, maka Syed Naquib al-Attas menjadikan kerja-kerja analisis, penjelasan, pentadbiran dan pendifinisian kata-kata kunci yang relevan dengan masalah kebudayaan, pendidikan, sains dan epistemologi yang dihadapi oleh umat masa kini. Dimulai oleh tujuan utama, beliau mendirikan International Institute of Islamic Thought and Civilization, yang lebih dikenali sebagai ISTAC.

Dengan adanya usaha berikut, ilmu pengetahuan dijadikan sebagai sesuatu yang terdiri daripada beberapa unit makna. Malah, secara spesifik boleh didefinisikan dengan mengenal tempat yang sebenarnya dari segala sesuatu dalam ciptaan yang mengarah kepada pengenalan tempat yang patut bagi Allah SWT, adanya pembentukan dan kewujudan. Perkataan mengenal disini sangat penting, yang mengindikasikan bahawa tempat yang patut bagi segala sesuatu itu sudah diketahui sebelumnya dan  kerananya dapat dikenal. Hal ini kerana  konsep yang telah dibawa oleh Al-Attas ini memiliki akar dalam ayat-ayat Al-Quran yang mengatakan bahawa Allah SWT mengajarkan Nabi Adam a.s nama segala sesuatu dan bahawasanya, semua manusia telah mengakui dan bersaksi akan sifat Rububiyyat Allah SWT. Kedua-dua elemen ini, merupakan bahagian yang sangat penting bagi manusia.

 

III) Perkembangan konsep Islamisasi Pengetahuan

Syed Naquib Al attas menyatakan tentang kehadiran fahaman sekularisme dalam karyanya Islam dan Sekularisme menjadi salah satu sebab wujudnya islamisasi pengetahuan. Sekularisme yang bermula pada abad ke 13 Masehi di mana orang barat memahami sekular dengan menekankan sisi humanisme tanpa menitikberatkan unsur metafizik dan panduan agama. Pandangan sekular terus berlanjutan hingga abad ke-16 dimana dalam sejarah Barat dikenali sebagai zaman “Renaissance”. Zaman ini sebagai permulaan (kelahiran), apabila orang barat di eropah tidak lagi mempercayai kuasa gereja, dan pegangan mereka kepada agama kristian semakin pudar kerana sikap autoriti agama pada masa itu yang terlalu mengikat, serta menghalang segala tindak tanduk serta pemikiran yang menyimpang dari ajaran dan kenyataan gereja.

Ini terjadi kepada beberapa tokoh intelektual pada zaman pertengahan dalam kerana cuba memperbetulkan fakta yang dimanipulasi dan diselewengkan oleh ajaran gereja. Bertitik tolak dari perkara ini, muncul golongan intelektual lewat penulisan mereka yang cuba menentang secara radikal dan mempengaruhi massa untuk menyanggah sebarang campur tangan agama dalam kehidupan manusia. Maka, disini jelas cubaan memisahkan agama daripada menguasai pola pemikiran masyarakat yang mulai berfikir secara rasional dan human-centered menjadi dominan, berpunca dari sikap gereja di Eropah sendiri yang kini mula menjadi budaya barat.

Namun begitu, dalam masa yang sama ianya memberi kesan kepada dunia Islam apabila kebanyakan ilmu barat yang dipelajari oleh umat islam kini tidak disandarkan kepada nilai-nilai agama yang sebenar. Sekularisme yang dikembangkan oleh peradaban Barat membawa impak yang kurang baik terhadap perkembangan ilmu pengetahuan bagi umat Islam. Fahaman ini tidak hanya bertentangan dengan fitrah manusia tetapi juga memutuskan ilmu dari asasnya dan mengalihkan tujuan ilmu yang sebenarnya. Islamisasi ilmu pengetahuan merupakan konsep yang di dalamnya terdapat pandangan keseluruhan terhadap konsep ilmu dan konsep Tuhan. Menurut Syed Naquib bahawa Islam adalah agama yang memiliki pandangan yang asas tentang Tuhan, kehidupan, manusia, alam semesta dan sebagainya, maka oleh sebab itu, Islam adalah agama sekaligus peradaban.

Dalam Islamisasi pengetahuan, ianya bertujuan untuk membebaskan ilmu daripada tafsiran-tafsiran yang didasari oleh ideologi sekular yang tidak mendasari sisi Islam dan makna-makna serta dipengaruhi oleh ungkapan manusia-manusia sekular. Oleh itu, Ilmu sedia ada perlu disemak kembali untuk mengelakkan pengaruh daripada pemikiran humanis semata-semata dan kembali kepada sistem pengetahuan Islam. Permasalahan ini tidak hanya untuk melawan sekular di barat, tetapi juga untuk memberikan pemahaman terhadap masyarakat awam yang mempercayai bahawa ada pemisahan antara ilmu agama dengan ilmu umum. Perbezaan pemahaman ini telah banyak menimbulkan perpecahan di dalam umat Islam sendiri.

Sejak pertengahan 70-an, isu mengenai islamisasi ilmu pengetahuan telah menjadi agenda intelektual yang telah memberikan harapan besar kepada kebangkitan Islam dan menjadi salah satu topik yang sangat kontroversi. Ia sekaligus memberikan inspirasi kepada intelektual dan aktivis Muslim diseluruh dunia sekaligus mengundang reaksi keras. Pada saat ini, umat Islam benar-benar menjadi sebuah revolusi epistemologi. Bagi Syed Naquib al-Attas dan kepada mereka yang benar-benar memahami misinya, revolusi ini lebih asas dan bersifat membebaskan serta inklusif jika dibandingkan dengan revolusi yang dibawa oleh kepentingan yang bersifat nasional dan kebudayaan.

Dalam konsep islamisasi pengetahuan masa kini, meskipun formulanya telah dicapai oleh Syed Naquib Al-Attas dengan hasil yang jelas pada akhir abad ke-20, praktikal islamisasi pengetahuan sesungguhnya telah berlangsung sejak permulaan Islam hingga sekarang. Malah, sebagai bukti ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhamamad SAW secara jelas menegaskan semangat islamisasi ilmu pengetahuan kontemporari, iaitu ketika Allah SWT menekankan bahawa Dia adalah sumber ilmu dan asas ilmu pengetahuan manusia, seperti di dalam Surah Al-Alaq, ayat 1 hingga 5 yang telah menjelaskan perihal ini.

Islamisasi pandangan dunia dan ilmu pengetahuan pra-Islam berlangsung, seperti yang diidentifikasikasi oleh Syed Naquib Al-Attas ketika melalui sebuah proses perkembangan bentuk bahasa Arab, iaitu bahasa Arab Qurani. Walaupun kata-kata yang dipakai di dalam Al-Quran sama dengan kata-kata yang dipakai pada zaman pra-Islam, akan tetapi kedua-duanya tidak memiliki peranan yang sama dan tidak menganjurkan konsep-konsep yang serupa. Menurut Al-Attas, Al-Quran telah mengislamkan bahasa Arab pra- Islam, yang pada waktu itu masih mencerminkan pandangan dunia jahiliyyah, dengan cara menyusun dan membentuk kembali struktur konsep, perbendaharaan kata dan sebagainya.

Maka tujuan islamisasi ini adalah untuk melindungi umat Islam daripada ilmu yang telah tercemar yang menyesatkan dan menimbulkan kekeliruan. Islamisasi ilmu bertujuan untuk mengembangkan ilmu yang hakiki yang sekaligus boleh membangunkan pemikiran dan peribadi Muslim yang akan menambahkan lagi keimanannya kepada Allah. Islamisasi ilmu akan melahirkan keamanan, kebaikan, keadilan dan kekuatan iman. Oleh itu, menurut Syed Naquib Al-Attas dalam kajiannya, islamisasi ilmu melibatkan dua langkah utama yang saling berhubung. Pertama, ianya merupakan proses mengeluarkan unsur-unsur dan konsep-konsep penting Barat dari sesuatu ilmu dan kedua, memasukkan unsur-unsur dan konsep-konsep utama Islam ke dalamnya.

Syed Naquib Al-Attas berpandangan bahawa dalam ilmu moden kini telah banyak ciri-ciri dan pembangunan ilmu unsur Barat atau weseternized dan condong bersifat sekular. Westernisasi adalah ilmu yang dibangunkan oleh pandangan ahli falsafah Barat dengan memasukan unsur-usnur sekular iaitu meletakkan manusia sebagai makhluk rasional (menolak unsur metafizik ) dan dipengaruhi oleh unsur-unsur tradisi dan budaya. Dampak ini ilmu pengetahuan dan nilai-nilai etika moral  yang diatur oleh manusia dan tidak konsisten kerana sering berubah-ubah. Pandangan ilmuan Barat yang berlandaskan kehidupan sekular secara sedar atau tidak telah memberi kesan kepada hasil pemerhatian ilmunya. Diandaikan bahawa beberapa hasil kajian-kajian ilmiah yang diteliti cenderung bersifat sekularistik serta mengandungi kosong nilai agama .

Ilmu barat menghasilkan produk ilmu yang telah menimbulkan soalan yang pelik serta tidak menguntungkan bagi pandangan Muslim. Persoalan utamanya adalah anjakan paradigma ilmu. Epistemologi yang digunakan dalam proses mendapatkan ilmu adalah epistemologi rasionalis-empiris. Tampak mereka lain telah membuang dimensi metafizik yang mana terdapat lima aspek yang menjiwai budaya keilmuan Barat. Yang pertama, bergantung kepada akal untuk membimbing kehidupan manusia, menggunakan pendekatakan dikotomi (kontradiksi) atau dualistik terhadap realiti kebenaran, menegaskan aspek kewujudan yang menonjolkan pandangan hidup sekular yang cenderung berfahaman humanisme dan menjadikan tragedi sebagai faktor yang dominan dalam fitrah dan kewujudan kemanusiaan. Sehinggakan dalam kajian ilmu, sains tidak boleh dikaitkan dan tidak boleh bertemu dengan penafsiran agama.

Tulisan ini bukanlah sebuah penjelasan yang jelas namun sebagai perkongsian yang perlu diketahui. Walaubagaimanapun, konsep Islamisasi Pengetahuan ini cuba diterangkan secara terperinci namun agak kompleks untuk difahami dan mungkin kerana ketiadaan perbincangan yang  mampu merungkai secara tuntas mengenai idealisme Syed Naquib dan anak muridnya, Wan Muhd Wan daud. Perlu diambil kira juga pandangan ahli pemikir kotemperori yang memberi sumbangan dalam perkembangan konsep ini sekaligus mempopularkannya pada suatu ketika dahulu.

 

 

*Azmina Nordin adalah seorang pelajar Sains Politik UKM, Ketua Gerakan PSYouth (Political Science Youth). Seorang yang ingin melihat perubahan di UKM serta bergiat aktif dalam dunia aktivisme. Kata-nya, pembudayaan ilmu itu penting dikalangan Mahasiswa!!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s