Menanggapi Artis dan Politik Melalui Teori Ruang Awam Habermas

Fathia-Latiff-dan-Mahathir.

Oleh: Faiz Kamaruddin Pecinta Wanita

Sekitar penghujung 2017 menyaksikan kebangkitan beberapa orang artis secara kolektif telah mewujudkan dua blok, kerajaan dan pembangkang. Fenomena ini telah menjadi bualan rakyat kebanyakan disebabkan populariti dan pengaruh mereka yang hadir di kaca televisyen, panggung wayang, kaca komputer riba/konvensional, telefon pintar, dan sebagainya. Artis merupakan individu yang mempunyai pengaruh besar dalam laman media sosial dan keberadaan mereka juga agak menonjol sekiranya mereka terjun ke dalam kancah politik. Pengaruh dan penonjolan mereka telah dibantu oleh peminat-peminat mereka yang mengikut akaun media sosial mereka seperti Twitter, Facebook dan Instagram, menjadikan penyebaran suara mereka tersebar dengan begitu cepat dan menyamai suara-suara kolektif. Era milenium ini menyaksikan bahawa penggunaan media sosial adalah begitu penting dan menjadi suatu kebiasaan kepada warga tua baikpun muda.

Kesan daripada itu, budaya dan ruang politik yang baharu telah wujud sebagai aksi politik melalui media sosial yang digunakan sebagai forum bagi menyanggah idea-idea atau mempersetujui tindakan dan suara langsung sesiapa sahaja. Media merupakan sebuah platform elektronik bagi penyampaian maklumat, dan penekanan tulisan ini menekankan media kepada dua jenis, iaitu media massa dan media sosial. Media massa merupakan bentuk penyampaian maklumat yang konvensional seperti televisyen, surat khabar dan radio. Tujuan penggunaan media massa ini adalah bagi mencapai audiens secara meluas. Media sosial juga menggunakan platform eletronik, tetapi dalam bentuk yang lebih eksklusif dan baharu berbanding media massa, kerana ia hanya melibatkan penggunaan aplikasi-aplikasi yang tertentu. Ia mampu mencapai audiens daripada golongan muda malahan daripada pemimpin sehingga ke kanak-kanak biasa. Media sosial telah merantai setiap manusia agar menggunakan ia secara rutin. Kegagalan untuk berbuat demikian akan membuatkan mereka ketinggalan dengan isu dan informasi menarik mengenai fenomena-fenomena yang berlaku di dalam masyarakat samada dalaman atau di luar.

Tidak dapat dinafikan, media sosial sedikit sebanyak telah menjadi elemen di dalam demokrasi dan mewujudkan satu ruang yang baharu di dalam gelanggang politik Malaysia. Ruang boleh dibahagikan kepada dua, samada secara konkrit mahupun abstrak. Ruang konkrit adalah merujuk kepada sesuatu kawasan yang mempunyai keterbatasan mengikut maksudnya, seperti ruang tamu, bilik darjah, padang sekolah dan sebagainya yang boleh diukur. Manakala bagi ruang abstrak pula, ia adalah sesuatu yang tidak nampak dari pandangan kasar, tidak mempunyai batasan fizikal dan diketahui wujud biarpun tidak mampu dirasai. Kewujudan ruang baharu ini adalah ekoran daripada kepincangan fungsi pihak yang berperanan untuk mewujudkan proses semak dan imbang bagi membawa suara-suara mereka yang terpinggir. Kehadiran artis di dalam gelanggang politik telah menumpukan kepada dua ruang, iaitu ruang awam dan ruang media sosial.

Habermas dipetik Abdul Muein (2016) menyatakan bahawa ruang awam dalam arena  politik adalah berevolusi daripada ruang awam dalam dunia persuratan menerusi wahana pendapat awam dan telah meletakkan negara sebagai berhubungan dengan keperluan-keperluan masyarakat. Menurut beliau, ruang awam diasingkan dan menjadi tambatan antara ruang peribadi yang dimiliki oleh masyarakat sivil dan borjuis, manakala ruang autoriti awam pula yang dimiliki oleh negara dan istana. Ruang awam secara umum yang dimaksudkan adalah merangkumi kelab-kelab dan akhbar-akhbar. Bagi melihat konteks perbincangan penulisan ini, contoh yang boleh diambil adalah melalui persidangan PAU 2017 yang berfungsi sebagai ruang awam, di mana audiensnya adalah terdiri daripada orang-orang awam, samada ahli-ahli parti, pemerhati dan mereka yang mengetahui keberadaan artis-artis tersebut. Dua contoh artis yang boleh diambil kira adalah Azwan Ali dan Dira Abu Zahar. Dira Abu Zahar telah tampil memberi ucapan di PAU 2017 dengan menyerang balas kembali komen yang dibawakan oleh Fathia Latiff yang giat mengkritik kerajaan dengan mengatakan bahawa rakyat tidak perlu percaya dengan dakyah yang dibawa Fathia Latiff, dan menyerang secara peribadi apabila beliau menganjurkan agar lakonan Fathia dibetulkan terlebih dahulu.

Azwan Ali juga telah tampil di PAU 2017 dan kelihatan begitu menonjol oleh kerana populariti yang sering timbul daripada kontroversi juga lenggok gayanya yang ‘diva’. Beliau tampil melalui beberapa siri wawancara oleh akhbar yang berlainan dan membawakan hashtag untuk menjahanamkan Azmin Ali, Menteri Besar Selangor. Misi beliau adalah jelas, iaitu berbentuk peribadi akibat isu-isu kekeluargaan yang masih tidak diketahui sehingga ke hari ini. Keberadaan mereka di ruang awam, iaitu PAU (sebagai kelab-kelab menurut konteks Habermas) adalah sebagai suara bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional semestinya UMNO khususnya. Walaupun begitu, lontaran idea dan pandangan mereka juga wujud di dalam media massa dan media sosial, mencakupi kedua-dua ruang awam, iaitu fizikal dan media. Ruang media pula adalah apabila siri wawancara terhadap Azwan Ali dan ucapan Dira Abu Zahar mula tular di media sosial dan Youtube.

Penyampaian visual secara langsung telah menarik audiens untuk melihat bagaimana sokongan dan serangan balas yang dilakukan oleh mereka terhadap artis yang mengkritik kerajaan. Namun begitu, di sini boleh dilihat bahawa kedua-dua artis yang menyebelahi kerajaan ini lebih bermotifkan kepada isu-isu peribadi dan bukan profesional. Mereka hanya menyerang berdasarkan keperibadian, iaitu menggunakan image assasination sebagai cara untuk meraih sokongan dan menjatuhkan pihak lawan. Budaya politik yang ditonjolkan melalui ruang awam ini lazimnya berunsurkan image assasination.

Sesetengah orang awam menyedari bahawa image assasination ini adalah merupakan cerminan kepada kejatuhan budaya politik moral di Malaysia (Haris Zuan & Rizal Hamdan 2012). Budaya politik ini cukup popular di Malaysia bagi menunjukkan sejauh mana kredibiliti seseorang itu boleh disandarkan kepada moralnya sendiri. Walaubagaimanapun, perkara ini sukar untuk dielakkan oleh kerana Malaysia secara khususnya masih lagi berpegang kuat kepada budaya Timur, yang meletakkan moral itu sebagai objektif dan satu nilai yang tertinggi bagi menunjukkan kemampuan seseorang itu di dalam pemerintahan. Tambahan pula, hal ini disokong oleh pengaruh keagamaan yang disandarkan sebagai kriteria untuk memiliki pemimpin yang baik. Sekiranya tidak melibatkan moral pula, ia menyentuh hal-hal yang lain yang tidak ada kena mengena dengan politik, seperti kenyataan Dira Abu Zahar yang menyuruh Fathia Latiff membetulkan lakonannya terlebih dahulu. Lakonan dan kritikan terhadap polisi atau isu semasa sangat tidak mempunyai perkaitan kerana ia langsung tidak bersandarkan merit untuk bersuara. Penafian terhadap kebebasan bersuara Fathia yang dikatakan perlu selari dengan kualiti lakonannya adalah suatu bentuk pengamalan demokrasi yang pincang. Atas sebab ini mengapa Malaysia menduduki tangga ke-67 di dalam Indeks Demokrasi 2016 (The Economist 2017). Sebagai sebuah negara yang quasi-demokrasi, atau separa demokrasi, setiap orang bebas untuk menyatakan pendapat mereka, tanpa mengira samada pandangan tersebut dangkal atau tidak, asalkan pandangan tersebut tidak berbentuk penipuan dan fitnah. Persoalan mengenai merit untuk bersuara sering dikaitkan dengan kualiti diri yang tidak ada kaitan dengan keperluan politik, samada daripada segi lakonan, isu peribadi terhadap diri seseorang, dan sebagainya.

Kualiti diri yang tidak memberi perkaitan dengan ruang awam juga dianggap oleh rakyat kebanyakan sebagai dosa kepada masyarakat, sehinggakan pembudayaan ini menjadi norma bagi menyerang seseorang atas alasan yang tidak munasabah. Atas sebab ini mengapa negara ini masih mundur dari segi pertarungan politik apabila kebencian dijadikan sebagai modal untuk meraih sokongan. Berbanding dengan negara-negara maju, pertarungan politik yang berlaku adalah bermodalkan kepada manifesto dan polisi yang tidak beridentitikan kepentingan segolongan pihak, malah untuk  rakyat. Pertarungan polisi ini adalah penting bagi mewujudkan kerasionalan masyarakat dalam menilai kekuatan sesebuah parti itu. Sesebuah parti itu seharusnya tidak diukur berdasarkan keramaian ahlinya sahaja, tetapi perlu juga kebijakan pimpinan-pimpinan parti supaya budaya politik di Malaysia ini tidak hanya cakap kosong sahaja. Dapat disimpulkan bahawa budaya politik dalam ruang awam di Malaysia ini, secara lazimnya adalah berbentuk retorik dan emosional, demi memenuhi kehendak audiens yang sedang berada di hadapan mereka, dengan memburuk-burukkan pihak lawan.

Penggunaan ruang awam yang baharu, iaitu media sosial, akan dicontohkan terhadap dua orang artis, iaitu Fathia dan Sheila Majid. Kemunculan mereka di media sosial boleh dilihat menerusi akaun Twitter mereka yang secara langsung mengkritik kerajaan dan menuntut penyelesaian kepada masalah-masalah yang berlaku. Fathia melalui akaun Twitter beliau lantang mengkritik kerajaan ekoran daripada Bajet 2018 dan kenaikan harga minyak yang berlaku. Beliau mempersoalkan mengapa Bajet 2018 memfokuskan kepada penarikan pelancong ke negara ini dan mempersoalkan mengapa perlu redha mengenai kenaikan harga minyak, dengan menyatakan seolah-olah kerajaan tidak mendengar rintihan dan luahan hati rakyat. Tidak beberapa lama kemudian, Sheila Majid turut mengkritik keadaan semasa rakyat yang ditekan oleh ekonomi Malaysia yang lemah. Beliau menyatakan bahawa keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu sehingga menyebabkan harga makanan menjadi mahal, ringgit yang lemah, kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang tidak menentu. Dengan bahasa yang mudah dan nada yang tegas, kenyataan yang dibuat mereka berdua sekaligus dilihat berjaya menyampaikan mesej mengenai masalah-masalah yang sedang berlaku di Malaysia pada hari ini. Ini menjelaskan mengapa artis-artis tersebut telah diserang oleh cybertroopers yang mula aktif mempertahankan kerajaan di ruang media sosial.

Penyuaraan pendapat yang dilontarkan telah mengalami transisi daripada zaman sebelum kelahiran media sosial dan selepasnya, di mana pada beberapa dekad yang lepas, lontaran kritikan tersebut adalah berdasarkan kepada ruang awam secara langsung seperti sudut pidato yang digunakan bagi mengkritik kerajaan secara terbuka. Beralih kepada zaman ini, sudut pidato itu telah ditransformasikan kepada gajet yang boleh dipegang dan hanya di hujung jari bagi mengeluarkan buah fikiran dan pandangan kritikal mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku. Penggunaan media sosial ini telah memadamkan keterbatasan kerana kemampuan rangkaiannya yang mampu sampai ke setiap pelusuk pengguna media sosial yang mempunyai akaun media tersebut, berbeza dengan ruang awam secara langsung yang digunakan hanya melingkupi kawasan sekitar dan terbatas oleh faktor jarak dan fizikal.

Budaya politik media ini telah mengalihkan penumpuan daripada politik perdana (mainstream) yang bersandarkan kepada pilihanraya semata-mata, kepada politik media yang sedang giat berlangsung. Perbezaan antara procedural democracy dan politik media ini adalah di mana, media sosial telah menjadi pertarungan antara pro-kerajaan dan pembangkang, mewujudkan kempen secara langsung ataupun tidak langsung, menyampaikan informasi-informasi politik tanpa flyers, perdebatan awam di media sosial, dan kemampuan berinteraksi secara terus tanpa kewujudan fizikal. Di dalam ruang media sosial ini, dua artis ini menjalankan tugas intelektual yang sepatutnya menjadi third force sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan yang sedia ada. Sebagaimana yang diusulkan Azhar Ibrahim (2014), cendekiawan itu bukan sahaja untuk memberi pimpinan idea dan pemikiran dalam masyarakatnya, tetapi juga tidak berpihak kepada mana-mana golongan, jauh sekali untuk kepentingan peribadi. Di dalam konteks perbincangan ini, kedua-dua artis ini telah memainkan peranan cendekiawan bagi menyedarkan rakyat tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat kebanyakan. Mereka juga tegak bersuara demi kepentingan rakyat tanpa berpihak kepada kerajaan mahupun pembangkang. Namun, usaha murni ini telah ditentang kembali apabila dipersoalkan usaha Sheila Majid yang mengkritik kelemahan ekonomi negara. Serangan yang dibuat oleh cybertroopers ini begitu dangkal apabila mempersoalkan sekiranya tekanan ekonomi berlaku, mengapa tiket konsert Sheila Majid tersebut yang berharga RM 888 habis dijual. Agak jelas di sini, apabila kedunguan yang dipaparkan menunjukkan bahawa pemerhatian golongan tersebut begitu terhad dengan melihat skop yang kecil sahaja.

Sudah tentu tiket tersebut tidak dibeli masyarakat kebanyakan yang mempunyai pendapatan yang rendah, oleh kerana kuasa beli mereka yang terbatas. Self of belonging individu-individu tersebut begitu kuat kepada parti yang dianutnya sehingga kabur dengan masalah sebenar yang berlaku terhadap rakyat. Namun, apa yang patut dipuji adalah kerana perlawanan ini telah membina satu wacana atas talian yang dapat disertai oleh semua orang. Perlawanan idea adalah sangat penting bagi memurnikan ilmu dan budaya berfikir yang kritis supaya dapat melahirkan insan-insan yang tidak hanya menjadi ‘pak turut’ sahaja. Perlawanan ilmu atau clash of idea itu perlu ada bagi mewujudkan suatu jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi (Azhar Ibrahim 2016). Sedikit sebanyak pertembungan ini mampu mensintesiskan buah fikiran dan pemikiran yang kritikal agar satu cadangan bagi akar sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan penglibatan ramai pihak melalui ketidakterbatasan ruang media sosial ini.

Ruang yang disediakan pada hari ini melalui media sosial sudah tidak terhad untuk mewujudkan perbincangan-perbincangan berbanding penggunaan ruang fizikal yang sudah tentu terhad dari segi ukuran dan kawasannya. Dari sudut pandang positifnya, penyampaian wacana itu sudah roboh penghalang jaraknya dan mungkin akan menemukan buku dan ruas. Seperkara lagi, terdapat perbezaan mengapa kritikan artis ini lebih mudah didengari berbanding kritikan intelektual. Sekadar pandangan dan pemerhatian empirikal, masalah ini adalah disebabkan oleh keadaan sosio-psikologikal masyarakat itu sendiri yang menyebabkan intelektual dan cendekiawan sedikit terasing daripada masyarakat. Perbezaan pemahaman dan laras bahasa yang digunakan menyebabkan terdapatnya kerencatan dalam penyampaian idea di kalangan rakyat. Tambahan pula, idea cendekiawan ini sukar untuk menembusi pemikiran rakyat oleh kerana kurangnya pembacaan dan penglibatan di dalam wacana ilmu yang berlangsung di negara ini.

Hal ini didorong oleh pengkomoditian ilmu yang berlangsung di negara ini, membuatkan suara-suara penting ini tidak begitu dihargai dan hanya berlandaskan kepada keperluan dan hiburan semata-mata. Disebabkan budaya konsumerisme yang tinggi, maka kata-kata artis itu lebih diterima dan digunapakai kerana lebih ikonik berbanding intelektual yang hanya popular pada sesetengah/segelintir golongan sahaja. Oleh sebab itu, menjelaskan mengapa penglibatan artis di dalam politik melonjakkan fenomena ini sehingga mewujudkan keterujaan di dalam masyarakat.

Di dalam kerencaman masyarakat hari ini, kita dapat melihat bahawa pengaruh artis itu begitu kukuh. Pengelibatan mereka di dalam politik sebenarnya sudah bertapak lama, namun bukan secara kolektif dan melonjak. Media internet juga kurang digunakan dahulu menyebabkan penyebaran mengenai keterlibatan artis itu kurang diketahui, hanya bergantung kepada televisyen dan radio sahaja. Namun, di sebalik penglibatan golongan ini, perlu dinilai kembali sejauhmana mereka mampu memandu rakyat ke arah yang dicitakan oleh massa. Dalam negara yang demokrasi, hak mereka untuk bersuara atau berpartisipasi sememangnya tidak dinafikan, namun kepimpinan itu bukan sekadar memerlukan pengaruh, tetapi juga melalui kriteria-kriteria lain seperti kepimpinan, akauntabiliti, kecaknaan, kebijaksanaan dan sebagainya.

Literasi politik juga perlu ditingkatkan agar pembudayaan politik populis tidak menjadi ikutan. Masyarakat juga perlu bijak menilai kandungan yang dibawakan di media sosial khususnya, supaya tidak berlaku kesilapan dalam pemilihan dan penilaian yang bias. Masyarakat secara khususnya tidak perlu untuk mengidentifikasikan diri mereka dengan parti-parti politik yang wujud supaya penilaian yang neutral dapat dilakukan.  Perlu diingat, bahawa politik hanyalah politik, tidak perlu bersikap peribadi. Akhir kata, ruang-ruang yang baharu ini perlu diperbaiki dari segi fungsinya supaya tidak wujud kesilapan penyampaian maklumat dan tidak memudaratkan fikiran masyarakat kebanyakan sebagai pengguna media sosial.

 

Saudara Faiz Kamaruddin adalah pelajar Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seorang yang setia dan bergaya dalam perwatakkan. Sering kali digelar sebagai pecinta wanita, tetapi hanya wanita yang satu.

 

RUJUKAN

 

Abdul Muein Abadi. 2016. Habermas. J. 1990. Transformasi Struktur Ruang Awam.         Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Azhar Ibrahim. 2014. Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre

Azhar Ibrahim. 2016. Menyanggah Belenggu. Petaling Jaya: Strategic Information and      Research Development Centre

Haris Zuan & Rizal Hamdan. 2012. Wacana Baru Politik Malaysia: Perspektif Ruang        Awam, Budaya dan Institusi. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre

The Economist Intelligence Unit. 2017. Democracy Index 2016 Revenge of the     “deplorables”. The Economist. http://www.eiu.com. 15 Disember 2017

 

 

 


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s