PENGENALAN RINGKAS POSMODERNISME: LANSKAP HISTORIS (SIRI 1)

postmodernism_base_bw

Oleh: Anis Sina

Terdapat pelbagai pandangan dan perdebatan antara sarjana dalam menerangkan Teori Pascamoden.  Pengertian literal daripada pascamodenisme ini adalah daripada ungkapan ‘pasca’ dan ‘modenisme’ yang bermaksud zaman selepas modensime. Pengertian ini membawa kefahaman bahawa kemunculan istilah zaman pascamoden kini menandakan zaman moden telah berakhir.  Bambang Sugiharto (1996, 22 – 23) menyatakan definsi pascamodenisme masih lagi terdedah dengan pelbagai perselisihan pendapat walaupun seringkali diketengahkan dalam tulisan-tulisan ilmiah kerana istilah ini sendiri digunakan dalam pelbagai konteks dan lapangan disiplin ilmu.  Penggunaan istilah postmodernisme dipercaya bermula pada tahun 1930-an di Barat dalam karya Antologia de la Poesia Espadola a Hispanoamericana oleh Federico de Onis bagi menunjukkan reaksi yang muncul dari dalam modenisme (Bambang Sugiharto, 1996: 24).  Sedekad berikutnya, istilah tersebut digunakan pula oleh Arnold Toynbee dalam karyanya A Study History yang kemudian digunakan secara meluas pada pertengahan tahun 1970-an yang berkisar tentang pergerakan golongan anti moden kontemporari dalam bidang sastera yang dirakam oleh Charles Jencks (Zakaria Stapa, 2012: 9).

Pengistilahan falsafah pascamodensime telah digagaskan oleh Jean-Francois Lyotard (1984) melalui karyanya The Postmodern Condition: A Report on Knowledge yang mewakili teras pemikiran pascamoden mengenai isu-isu modeniti dan pascamoden yang utama.  Lyotard juga menolak satu rangkuman perspektif terhadap sejarah dan masyarakat. Satu rangkuman perspektif yang mendominasi ini telah beliau gelarkan sebagai Naratif Agung (Grand Narrative) sebagaimana Marxisme yang menerangkan dunia menerusi dialektik materialisme. Pascamodenisme yang diimani Lyotard ini menolak secara jelas akan kecenderungan penyatuan serta radikalisme politik Marxisme.  Keadaan legitimasi ilmu pengetahuan pada abad ini berdasarkan kebebasan, kemajuan, kesamarataan dan sebagainya sehingga pascamodenisme boleh dirumuskan sebagai satu tempoh masa bagi segala perkara adalah perlu dilegitimasikan (Lyotard, 1984: 79 – 82). Naratif Agung ini juga dikenali sebagai Metanaratif yang disebutkan oleh Jean Francois Lyotard (1984, 24), “incredulity toward metanarratives” bermaksud “ada maksud disebalik suatu penceritaan atau pengisahan walaupun ia sukar dipercayai”. Penolakan beliau terhadap Metanaratif ini kerana sifat keseluruhan yang dimilikinya telah menafikan naratif kecil lain sebagai satu bentuk kebenaran. Naratif-naratif kecil ini cuba menuntut hak mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat.

Penolakan terhadap Naratif Agung oleh golongan pascamoden adalah disebabkan naratif ini terbina daripada modenisme yang telah mengangkat ilmu pengetahuan saintifik sebagai satu kebenaran.  Namun ilmu pengetahuan yang lahir tidak mampu menawarkan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku seperti ketidakadilan, penindasan serta kemiskinan.  Pascamodenisme menjadi respon dan kritikan terhadap modenisme yang mengambil falsafah humanisme dan positivisme (Stockman, 1984) dalam mengangkat martabat manusia dengan menghapuskan perhambaan serta mengembalikan peranan akal terhadap pengembangan ilmu.

 

*Anis Sina adalah pelajar Sarjana Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana tajuk tesis beliau bersangkut-paut dengan pascamodernisme. Seorang yang pemalu tetapi tegas dalam berkata-kata.

Sumber:

Bambang Sugiharto. 1996. Postmodernisme Tantangan Bagi Filsafat. Yogyakarta: Penerbit Kanisius.

Zakaria Stapa. 2012. Cabaran Faham Pascamodenisme Terhadap Pegangan Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah. Kertas Kerja Seminar Akidah Peringkat Kebangsaan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jean-Francois Lyotard. 1984. The Postmodern Condition: A Report on Knowledge. UK: Manchester University Press.

Stockman, N. 1984. Antipositivist Theories of the Sciences. Dordrecht: D. Reidel.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s