KESAKITAN YANG TIDAK TERUNGKAP [GILA TU]. Part 1

index

Sakit itu adalah perkara biasa yang sering dibincangkan dalam ilmu perubatan. Setiap kali wujudnya penyakit pakar-pakar saintis perubatan akan cuba untuk mencari sebab disebalik penyakit tersebut. Apabila sudah diketemui sebab penyakit maka pakar-pakar ini akan beralih kepada cara untuk memahami sebab penyakit ini sebelum beralih kepada “Apakah penawarnya?” Menariknya, wujud juga penyakit yang bersifat abstrak; kesedihan. Jika di-google perkataan grief (kesedihan) akan keluar sinonim-nya seperti anguish, torment, grief, misery, angst, sorrow, depress dan lain-lain perkataan.

 

Kewujudan perkataan-perkataan ini bukan direka-reka untuk menyinonimkan perkataan kesedihan tetapi kerana maksudnya seolah-olah membawa erti yang sama. Walaupun begitu, tidak bermaksud situasi perkataan itu membawa maksud yang kesemuanya sama. Sebelum itu, izinkan aku menyatakan; tulisan ini tidaklah sebuah tulisan yang ilmiah tetapi lebih santai dan tidak begitu berat untuk difahami. Tulisan ini akan menggunakan beberapa contoh filem dan sastera untuk menjelaskan maksud kesakitan yang tidak terungkap. Bagaimanapun, tidak bermakna pembaca perlu menonton kesemua filem yang digunakan untuk memahami penulisan ini; kerana aku akan cuba menjelaskan-nya dalam bahasa yang mudah.

 

Berbalik kepada topik berkenaan kesakitan. Kadang-kala kesakitan itu boleh diungkapkan melalui verbal atau pembuktian dari alat-alat moden masa-kini. Sebagai contoh demam boleh dibuktikan melalui paras suhu badan. Kebiasaan-nya tangan diletakan di dahi untuk mengetahui suhu badan. Jika sakit tekak dapat dibuktikan melalui tindakan “batuk” sebagai tandanya. Luka di tangan atau di kaki dapat dilihat menggunakan mata. Ada kesan berdarah akibat torehan atau gigitan. Kebiasaan sakit-sakit yang sebegini dapat dicerap menggunakan cara emperikal dan kadangkala mudah untuk diselesaikan (tidak semuanya).

 

Tetapi wujud penyakit yang tidak mampu diungkap. Bahkan untuk dikatakan satu penyakit juga tidak wajar walaupun ia-nya adalah satu kesakitan. Penyakit (disease) adalah satu keadaan yang melahirkan simtom-simtom yang boleh membawa kepada kecederaan fizikal. Jadi persoalan pertama yang ingin dilontarkan di sini sebelum aku meneruskan persoalan seterusnya; adakah sakit hati dikira sebagai satu penyakit? (bukan luka di hati, bukan juga barah hati). Sakit hati melibatkan perasaan sesuatu yang subjektif dan hanya subjek sahaja dapat memahami serta merasainya. Satu keadaan di mana subjek tidak dapat menahan dirinya daripada marah menyebabkan timbulnya perasaan “sakit hati”.

 

Adakah kesakitan ini dapat diungkap? Jika dilihat dengan empirikal kadang-kala kesakitan ini dapat dicerap melalui tindakan seseorang. Tetapi masih belum menjawab persoalan utama adakah kesakitan ini dikira sebagai penyakit? Itu yang menjadi tanda tanya. Aku biarkan pakar yang menjawab-nya. Tetapi umum mengetahui sakit hati adalah bersifat perasaan, satu panggilan jiwa amarah; melibatkan hal-hal yang subjektif. Mungkin sahaja kerana kehilangan barang yang disayangi, atau kerana barang-nya dicuri. Kuil dirobohkan pemaju, masjid diruntuhkan pengganas, rumah dimasuki perompak. Hal-hal yang demikian akan melahirkan perasaan kesedihan yang membawa kepada sakit hati salah satunya.

 

Persoalan kedua yang ingin aku lontarkan, apakah kita dapat memahami kesakitan ini? Jika tadi aku sudah nyatakan sakit-sakit yang bersifat tampak mata atau boleh dikesan melalui alat-alat perubatan moden serta boleh difahami setelah dikaji sebabnya manakala di peringkat akhir adalah menemukan penawar kepada sakit tersebut. Tetapi bagaimana cara untuk kita memahami kesakitan yang tidak terungkap ini? Kebiasaannya sakit yang tidak terungkap ini boleh dicerap melalui tindakan atau lebih tepat tindakan di luar kebiasaan. Contohnya muka berubah merah kerana amarah, dahi berpeluh kerana ketakutan, atau menitiskan air mata kerana kehilangan orang disayangi. Bagaimana untuk kita memahaminya pula?

 

Adakala ada yang menangis kegembiraan. Sesuatu yang canggung tetapi tidak-lah begitu menghairankan kerana menangis kegembiraan selalunya melibatkan kejayaan yang telah dicapai. Subjek mengenang susah payah dan liku-liku getir yang dilalui dirinya sehingga akhirnya beroleh kejayaan. Menangis itu adalah satu tanda kepada kegembiraan. Mengumpul segala perasaan yang tidak terungkap melalui tindakan menangis sambil merangkul kejayaan (skrol ijazah sarjana muda di tangan; contoh). Ironinya menangis seringkali diletakan dalam bakul kesedihan; bukan kegembiraan. Kegembiraan digambarkan dengan penuh gelak tawa dan senyuman.

 

Adakala kita gunakan perkataan; common sense satu konotasi sensual yang biasa diketahui. Contoh tidak memakai selipar pabila memasuki rumah kerana adat melayu sebegitu. Seorang anak menangis apabila kematian keluarga terdekatnya. Seorang suami gembira dan memaparkan senyuman lebar apabila dinaikan pangkat serta berkongsi kegembiraan itu bersama si isteri dan keluarga; common sense la weh. Tetapi kadang-kala common sense ini tidak terpakai untuk semua lapisan manusia kerana common-sense difahami dalam bentuk sosial yang di duduki subjek. Sebagai contoh dalam tulisan novel Albert Camus The Stranger; Meursault yang kematian ibunya tidak memaparkan sebarang bentuk kesedihan sewaktu di kuburan malah bersifat bersaja sambil meminum kopi di majlis penguburan ibunya. Watak yang dibawa Meursault itu ingin menyentuh tentang hal-hal yang lebih dalam berkenaan jiwa manusia; absurditi.

 

Common-sense la weh orang menangis di kuburan apatah lagi jika yang ditanam itu keluarga terdekat ibu atau ayah. Menangis teresak-esak kerana memikirkan bahawa kepemergian seseorang itu tidak lagi akan kembali. Bahkan ditinggal kekasih sahaja sudah muncul perasaan sedih tidak terperi inikan pula ditinggalkan oleh keluarga terdekat dan tidak mampu untuk ketemu lagi. Lebih menarik lagi, Meursault yang telah melakukan pembunuhan langsung tidak merasa menyesal dengan tindakannya itu malahan berharap orang ramai datang melihat-nya dengan tangisan-kebencian di hari penjatuhan hukuman pada dirinya.

 

Novel The Stranger yang dikarang oleh Camus itu sangat menarik untuk dibaca dan wajar dibincangkan; untuk memahami apakah manusia ini dapat memahami kesakitan yang tidak terungkap. Camus telah membawa satu naratif Absurditi atau tidak masuk akal (non common-sense) yang memunculkan satu keadaan yang menimpa manusia sehingga melanggar habis apa yang kita ungkapkan sebagai common-sense la weh. Disini aku ingin biarkan pembaca untuk meneruskan telaah terhadap persoalan kedua ini; adakah kita mampu memahami kesakitan yang tidak terungkap ini.

 

Persoalan ketiga yang ingin aku bangkitkan ini lebih terfokus; adakah kita mengetahui tentang perasaan bercampur baur (mixed feeling) yang sering kali dipanggil sebagai murung? Murung dikelaskan sebagai satu keadaan yang memaparkan kesedihan dan juga satu kesakitan yang tidak terungkap. Kesedihan dan kadangkala kegembiraan bercampur sekali. Sebagai contoh kegembiraan mengenang si dia memberi hadiah di hari pertama-tama kali berjumpa tetapi ditindih bersama perasaan kemarahan dan kesedihan kerana ditinggalkan oleh si dia; mungkin sahaja kerana ditinggalkan akibat kematian atau dicurangi oleh si dia.

 

Aku ingin fokuskan perihal murung kerana ia-nya adalah satu kesakitan yang tidak terungkap yang menjadi pop pada masa kini sehingga membawa kepada tindakan bunuh diri. Banyak filem-filem yang memaparkan perihal kemurungan ini seperti Inception; watak Mal yang dibawa oleh Marion Cotillard menyatakan dunia ini sebagai tidak realiti kerana di sana masih ada dunia yang realiti. Bunuh diri adalah satu cara untuk sedar daripada lamunan mimpi yang non-real. Sesiapa yang menonton filem ini akan mengetahui bahawa inception adalah satu metod untuk meletakan maklumat palsu dalam fikiran manusia melalui sebuah alat moden yang boleh memasuki ruang separa-sedar manusia.

 

Menariknya alat moden ini, untuk seseorang itu sedar daripada mimpi adalah melalui tindakan menjatuhkan diri daripada bangunan tinggi, atau dibunuh, atau menjatuhkan diri dari kerusi. Tindakan ini tidak lah sesuatu yang pelik dan umum semua merasainya. Seringkali apabila kita bermimpi kita akan tersedar apabila di satu saat kita bakal terjatuh dari bangunan tinggi atau ditembak di kepala dengan pistol. Pengalaman mimpi ini seolah-olah sesuatu yang real dan sangat sukar untuk dikatakan sebagai suatu yang non-real.

 

Tetapi Cobb iaitu lakonan Leonardo DiCaprio, dia menyatakan untuk mengetahui bahawa anda bermimpi atau tidak adalah dengan menggunakan totem anda sendiri. Dengan cara ini anda akan sedar bahawa dunia yang akan duduki sekarang adalah tidak real. Berbalik kepada persoalan pokok yang ketiga. Dalam keadaan dunia yang real dan non-real bagaimana kita dapat bezakan perasaan yang bercampur baur ini? Satu perasaan kesedihan dalam non-real; bermimpi bahawa ibu kita sudah meninggal sedangkan di alam nyata si ibu masih di sisi dirinya. Adakah perasaan itu real? Jika real bagaimana mungkin perasaan real boleh wujud dalam dunia non-real (mimpi). Jika perasaan itu tidak real kenapa di dunia real berlaku tindakan seperti menitiskan air mata. Dan setelah bangkit dari alam mimpi (dunia non-real) tangisan itu mungkin sahaja diteruskan. Bahkan umum mengetahui itu tidak benar.

 

Menariknya lagi, kemurungan (bukan depresi) ini adalah satu perasaan yang dialami oleh hampir kesemua lapisan masyarakat; biasanya disebabkan faktor-faktor yang melibatkan kesedihan. Walaupun begitu murung atau moody tidak boleh dikelirukan dengan depress, anguish, atau sorrow. Murung boleh dikatakan sebagai satu perasaan sedih kerana kehilangan sesuatu atau sedih kerana gagal dalam sesuatu yang menyebabkan kehidupan jadi tidak produktif. Jika dibiarkan kemurungan boleh menjadi kesakitan yang berbahaya yang mengakibatkan depresi dan mengambil tindakan membunuh diri.

 

Persoalan keempat yang ingin aku bincangkan; bagaimana kita menanggapi setiap tingkat-tingkat kesedihan ini? Sebagai contoh aku telah nyatakan beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris; depress, anguish, sorrow, gloomy, moody, grief, torment, atau beberapa yang lain-nya. Jika dalam bahasa Melayu kita boleh nyatakan; kecewa, murung, sedih, sakit hati, tertekan, atau depresi (translasi dari Inggeris). Apakah dengan wujudnya berbilang-bilang perkataan ini membantu kita menanggapi tingkat kesedihan dengan lebih tepat?

 

Cara kita menanggapi perasaan sangatlah unik; sayang, cinta, suka, dan minat membawa satu perasaan kesukaan. Satu perasaan yang menggambarkan ‘suka’ tetapi pada tingkat yang berbeza. Tetapi perasaan sebegini kita bakulkan dalam bakul kegembiraan. Berbeza dengan yang sebelumnya kita bakulkan dalam bakul kesedihan. Sayang membawa konotasi menyayangi seseorang tetapi mempunyai tingkat-tingkat sayang yang tersendiri. Sayang terhadap ibu jauh berbeza dengan sayang terhadap kekasih. Minat dan cinta adalah hal yang berbeza. Boleh jadi seorang wanita itu hanya meminati seorang lelaki tanpa ada perasaaan cinta. Seperti si lelaki meminati Maria Ozawa tidak bermakna si lelaki itu mencintai Maria Ozawa.

 

Manusia menanggapi perasaan manusia lain melalui tindakan dan diungkapkan melalui perkataan. Perkataan itu boleh jadi tidak sampai sepenuhnya kepada perasaan yang ingin diluahkan. Tetapi tidak dapat tidak dengan menggunakan bahasa verbal manusia dapat meluahkan rasa itu. Berbalik kepada tajuk berkenaan kesakitan yang tidak terungkap; apakah kita dapat menanggapi kesakitan yang tidak terungkap ini? Semestinya apabila bercakap tentang kesedihan ianya adalah vice versa kepada kegembiraan. Jika manusia mampu menanggap tingkat-tingkat kegembiran dengan perkataan maka tidak mustahil untuk manusia menanggapi kesedihan dengan perkataan. Di sini ada tiga hal yang perlu diketahui terlebih dahulu; 1) perasaan seringkali diungkapkan melalui perkataan. 2) tindakan itu juga menjelaskan perasaan. 3) perasaan adalah sesuatu yang bercampur-aduk.

 

Perkataan selalunya bersifat unik dan cair. Satu perkataan sahaja mempunyai definisi yang pelbagai membawa pelbagai tingkat-tingkat yang tertentu. Malahan konotasinya perlu pula dilihat dalam konteks ayat yang ingin disampaikan. Jadi bagaimana satu perasaan itu mampu diterapkan dalam perkataan-perkataan jika perkataan sendiri sangat rumit untuk dijelaskan. Meletak-kan perasaan itu dalam perkataan sebagai contoh; melihat seseorang lelaki yang sedang senyum, dan gelak bersama rakan-rakannya maka kita jelaskan sebagai gembira. Kerana tindakan senyum tadi dan gelak tawa sering disama-ertikan dengan gembira. Malangnya jika ditanya secara telus, si lelaki itu berkata bahawa jiwanya tidak gembira. Apa yang dipaparkan hanyalah tindakan kebiasaan- jauh di sudut hatinya gelisah.

 

Dengan mengambil kira hal yang pertama perasaan seringkali diungkapkan melalui perkataan; maka kita akan mengetahui si lelaki tersebut tidak gembira tetapi sedih kerana dia mengungkap sendiri bahawa dirinya sedang berada dalam keadaan yang gelisah (sedih). Tetapi kita mengandaikan bahawa tindakan si lelaki tersebut sebagai gembira. Senyum dan gelak tawa mengikut hal yang kedua. Maka jika diikuti hal yang ketiga, perasaan adalah perkara yang bercampur-aduk; sedih dan gembira datang sekaligus atau mungkin muncul dalam momen-momen tertentu.

 

Jadi dengan merungkai terlebih dahulu hal berkenaan perasaan boleh jadi kita bakal mengetahui tingkat-tingkat kesedihan. Ini adalah satu persoalan yang penting kerana kesedihan yang meluap-luap akan menyebabkan depresi. Aku bukanlah seorang psikologis bahkan bukan juga pelajar bidang psikologi untuk menjelaskan apa itu depresi dengan lebih mendalam. Tetapi dengan lebih mengambil cakna tentang perasaan manusia mampu untuk lebih memahami manusia-manusia lain.

 

Kesimpulan kecilnya, kesakitan yang tidak terungkap itu bermain dengan hal-hal yang subjektif, kemanusian, kesedaran dan perasaan. Untuk cuba memahaminya sahaja sangat rumit maka sebaiknya untuk kita mengelakan diri daripada terjatuh ke lembah generalisasi. Bahkan hal-hal yang bersifat objektif seperti demam sahaja boleh jadi simtom kepada penyakit yang lebih berbahaya. Inikan pula yang mencakupi perihal subjektiviti.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s