Falsafah dan Masyrakat

Jika disebut tentang falsafah, apa yang tergambar di fikiran; satu pembincangan yang berat atau penelusuran keilmuan melalui persoalan-persoalan yang banyak sehingga skop perbincangan lumat dibincangkan ataupun sebuah pengetahuan asas mengenai kesemua hal yang berlaku di dalam ehwal keduniaan, baik secara abstrak mahupun fizikal? Mungkin inilah yang sering difahamkan apabila disebut tentang pembincangan falsafah dan komponen-komponennya. Sebagai permulaan asas dan bagi peminat-peminat falsafah, falsafah merupakan perkataan yang diambil asalnya daripada bahasa Greek, iaitu sebuah kecintaan kepada kebijaksanaan. Ini menjelaskan bahawa falsafah merupakan satu pengajian umum dan masalah asas mengenai perkara-perkara seperti kewujudan, pengetahuan, nilai, sebab, pemikiran dan bahasa. Pengajian falsafah ini, sekiranya diperhatikan dengan teliti, adalah satu bentuk pengetahuan tentang kehidupan manusia, bagaimana mereka melihat sesuatu perkara, bagaimana mereka menerima sesuatu maklumat, bagaimana mereka menghadam hakikat-hakikat kehidupan, dan bagaimana perilaku manusia dalam hal keduniaan yang rencam.

Oleh hal yang demikian, falsafah dan masyarakat sememangnya mempunyai adunan yang signifikan, kerana ianya saling berkait dan bersandar antara satu sama lain, samada falsafah sesebuah masyarakat membentuk pemikiran yang seragam dan sesuai mengikut keadaan tersebut, atau bagaimana behaviour masyarakat diterjemah dalam persoalan-persoalan asas mengenai masalah dan kejayaan ketamadunan sehingga melahirkan suatu pandangan falsafah yang baharu. Canggung untuk falsafah tidak membincangkan tentang masyarakat, kerana ia meliputi segala aspek kehidupan yang dialami oleh manusia, menjelaskan bahawa kepentingan falsafah dalam masyarakat sememangnya merupakan suatu elemen asas yang dipengaruhi oleh fikiran.

Ini menjelaskan tujuan-tujuan objektif yang tersirat di balik tabir pengajian-pengajian falsafah yang diajar mengikut kursus-kursus yang diberikan. Daripada pengalaman asas dan terdahulu, khasnya mengenai falsafah, banyak yang boleh diperhatikan bagi mengemukakan bagaimana evidens-evidens mengenai masyarakat sering dibincangkan oleh ahli-ahli falsafah terdahulu sehingga moden. Misalnya, dalam debat falsafah ada membincangkan mengenai bagaimana manusia memperoleh pengetahuan, sejak daripada zaman Greek Purba yang dipelopori oleh Socrates, Aristotle dan Plato. Membawa perdebatan mengenai bagaimana kaedah mendapatkan ilmu pengetahuan itu sebenar-benarnya berlaku sehingga ke hari ini. Contoh yang dapat diberikan adalah mengenai cabang tiga pemikiran manusia dalam menghadam maklumat; iaitu Rasionalisme yang menjustifikasikan bahawa pengetahuan boleh didapati melalui kapasiti akal manusia, yang dipanggil sebagai keadaan a priori, Empirisisme yang menekankan bahawa manusia mendapatkan pengetahuan melalui pengalaman-pengalaman harian, yang dipanggil sebagai posteriori, dan Skeptisisme yang sering memperlihatkan keraguan terhadap ilmu-ilmu pengetahuan yang didapati sewenang-wenangnya melalui proses biologi manusia.

Persoalan-persoalan dan perdebatan mengenai bagaimana manusia mendapatkan ilmu pengetahuan ini bukanlah satu hal yang sia-sia, sebaliknya ia menunjukkan sisi-sisi subjektif manusia yang pelbagai dalam memahami sesuatu perkara, dan tidak semestinya bagaimana penghadaman dan penerimaan maklumat itu harus bercorak seragam. Manusia merupakan makhluk yang mempunyai keperibadian yang tersendiri, berbeza, dan tidak sekata, menjelaskan bahawa mengapa pemikirannya juga adalah berbeza-beza, sungguhpun dapat ditemukan pada titik-titik persamaan mengenai bagaimana manusia itu berfikir, yang akhirnya berbentuk corak yang sekata dan pelbagai. Manusia mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk mempelajari sesuatu perkara, samada berfikir sedalam-dalamnya menggunakan akal, menerima maklumat melalui perselisihan pancaindera dan pengalaman-pengalaman harian manusia, dan mempersoalkan sejauhmana kebenaran sesuatu maklumat itu dapat diterima sewenang-wenangnya sehingga mempunyai bukti yang kukuh untuk mencairkan maklumat itu ke dalam penghadaman ilmu pengetahuan.

Jika diperhatikan dari sudut realiti sosial, tentang bagaimana manusia mendapatkan ilmu-ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang pendidikan yang menjadi satu keperluan manusia pada hari ini. Melalui perbincangan mengenai Rasionalisme, Empirisisme dan Skeptisisme, kita dapat membahagikan pelajar-pelajar dan bagaimana mereka mempelajari suatu perkara juga kepada tiga kategori, pelajar yang suka berfikir, pelajar yang hanya melihat dan mendengar dan pelajar yang lazimnya dilihat kritikal dengan sering mempersoalkan maklumat-maklumat yang diberikan kepada mereka. Refleksi sosial dan pemahaman falsafah tentang bagaimana manusia mendapatkan ilmu pengetahuan menjelaskan mengapa terdapatnya jenis-jenis pelajar yang berbeza, khususnya tentang bagaimana mereka menerima sesuatu perihal maklumat itu dan berfikir sedalam-dalamnya lalu mengkritik dan mempertikaikan sejauhmana kesahihan sesuatu maklumat itu dapat dipercayai.

Namun, sekadar pandangan peribadi, manusia boleh memilih bagaimana mereka mendapatkan ilmu pengetahuan, melalui fasa-fasa seperti berikut; menerima maklumat melalui pancaindera, berfikir menggunakan akal dan seterusnya memberikan keraguan sekiranya terdapat hal-hal yang meragukan, atau hanya sekadar memilih salah satu sahaja kaedah memperoleh ilmu pengetahuan. Walaupun demikian, hakikatnya, konsep-konsep yang dibincangkan ini bertujuan untuk mengajak sekalian umat manusia untuk sentiasa berfikir, dan tidak hanya tertakluk kepada suapan-suapan yang lazimnya diberikan dalam kehidupan seharian. Manusia tanpa berfikir ibarat manusia yang tidak lengkap ciptaannya, justeru berfikir merupakan perkara asas yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain yang diciptakan Tuhan.

Selanjutnya, falsafah dalam kepentingannya kepada masyarakat adalah untuk mengasah daya fikir masyarakat supaya mempunyai sikap kritis yang lebih tajam dan bijak. Aristotle berhujah bahawa falsafah bermula dengan keinginan untuk mengetahui. Dalam setiap disiplin intelektual, menjadi kebiasaan dan norma untuk mewujudkan persoalan-persoalan tentang hakikat setiap kejadian yang wujud di muka bumi ini. Falsafah terlahir apabila manusia mula bertindak memikir dan meragukan perkara-perkara yang dilihat mewujudkan tanda tanya. Tanpa fikiran dan keraguan yang membawa satu arah perbincangan itu dengan lebih dalam, misalnya mengenai sebab, akibat, bagaimana kejadiannya dan prinsip-prinsip asasnya, pembangunan manusia yang pada dasarnya dikurniakan kemahiran untuk berfikir akan terhenti dan mundar-mandir setakat yang diketahuinya sahaja.

Prof Syed Farid Alatas dalam satu kenyataannya pernah mengujari bahawa masyarakat tanpa pemikir merupakan satu keadaan yang bahaya bagi sesebuah masyarakat tersebut, oleh kerana tidak ada badan-badan atau entiti yang menggariskan kod-kod etika dalam kehidupan masyarakat seharian. Kenyataan tersebut dapat ditakrifkan bahawa adalah penting bagi ahli-ahli falsafah dalam masyarakat untuk wujud bagi mengimbangi tindakan-tindakan manusia yang bersifat bebas (free will) supaya tidak ada berlakunya sebarang kerencatan terhadap pembangunan tamadun yang sedang progresif. Hobbes, sebagai salah seorang ahli falsafah politik yang mendukung konservatisme sebagai ideologi yang ideal memandang bahawa manusia merupakan satu makhluk yang ganas, kejam, tidak terkawal, mempunyai keinginan dan dipandu oleh nafsu. Justeru, beliau mengilhamkan bahawa perlunya sebuah kerajaan yang kuat, dan kesepakatan di antara manusia dan entiti kerajaan untuk mengimbangi tindakan-tindakan manusia tersebut sebagai jaminan, sebuah suasana kehidupan yang harmoni dan damai, dengan keteraturan sosial yang mapan. Walaupun pada hakikatnya dalam perbincangan falsafah sendiri sering membincangkan etika-etika kehidupan manusia yang berbeza berdasarkan kenisbian budaya mengikut keadaan setempat, namun satu hal yang pasti adalah bagaimana kewujudan pemikir dan ahli falsafah ini merupakan elemen asas bagi memastikan keteraturan sosial untuk berlangsung dalam sesebuah masyarakat.

20171111_BKP505.jpg

Selain daripada kewujudan pemikir dan ahli falsafah untuk mengimbangi sikap-sikap manusia dalam memastikan keteraturan sosial itu terus berlaku, kehadiran mereka juga penting bagi mengelakkan berlakunya indoktrinasi dalam skala yang besar. Kehadiran falsafah dalam masyarakat yang mengasaskan logik dan fikiran-fikiran yang kritikal berupaya untuk menangkis sebarang cubaan-cubaan dalam mengasaskan satu keadaan yang dipanggil sebagai manusia massa (mass-man). Gramsci melihat bahawa pentingnya intelektual dan pemikir untuk wujud sebagai benteng dan perlawanan bagi menentang hegemoni yang dilakukan oleh state. Di sini terletaknya tanggungjawab pemikir dan ahli falsafah bagi merungkaikan indoktrinasi, bagi membentuk kesedaran masyarakat dan seterusnya mencipta satu naratif baharu sebagai hegemoni balas. Dalam keadaan yang sama, masyarakat juga mempunyai peranannya dalam merujuk kembali pemikir dan ahli falsafah ini mengenai hal-hal ehwal yang berlaku dalam kehidupan seharian. Tidak ditolak juga bahawa masyarakat dipertanggungjawabkan untuk mempelajari falsafah serta ilmu-ilmu pengetahuan yang lain supaya tidak terus dihambat pemikiran yang mundur dan tidak kritis terhadap keadaan sekeliling. Dari sini dilihat bahawa wujudnya satu keperluan untuk mencipta satu falsafah masyarakat bagi membentuk jatidiri dan identiti supaya tidak berlakunya kekeliruan kemasyarakatan dan kecelaruan untuk mengelakkan mereka terbuai dalam khayal-khayal yang merugikan.

Dalam konteks yang lebih dekat, adalah adil untuk membincangkan mengenai peranan pemikiran dan fikiran-fikiran yang perlu dibentuk melalui falsafah masyarakat oleh pemikir dan ahli falsafah ini. Misalnya, Rustam Sani dalam tulisan “Tradisi Intelektual Melayu dan Pembentukan Bangsa Melayu” biasa membangkitkan mengenai cita pembentukan bangsa Malaysia yang kurang berjaya oleh kerana tidak ada kewujudan unsur-unsur etika yang wujud dalam kalangan orang Melayu sendiri. Beliau melihat masalah ini melalui pembangunan negara sewaktu di zaman 80-an, di mana pada ketika itu berlakunya proses modenisasi dengan pantas kesan daripada pengindustrian yang berlaku pada waktu itu. Kritikan beliau adalah terhadap pemodenan dan kemasukan teknologi-teknologi Barat ke Malaysia pada waktu itu, yang dilihat hanya menitikberatkan soal pembangunan fizikal, tetapi tidak pada spiritual dan pemikiran masyarakat yang boleh diambil daripada konsep-konsep keilmuan Barat. Ini menjelaskan mengapa kesenjangan ekonomi berlaku dan juga sikap-sikap kapitalisme yang pada akhirnya mempengaruhi perasaan-perasaan seperti mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan kepentingan pembangunan suasana ilmu pengetahuan, sehingga akhirnya masyarakat kebanyakan dilihat mementingkan status, kedudukan sosial, dan wang yang melumpuhkan semangat rasionaliti dan keintelektualan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Pandangan ini juga dikongsi oleh Shaharuddin Maaruf dalam bukunya, Konsep Wira dalam Masyarakat Melayu yang berulang kali mengkritik kebudayaan feudalisme dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga akhirnya tidak wujud satu falsafah masyarakat yang tulen untuk membangunkan Malaysia. Antara kritikan yang boleh diambil adalah beliau memperlihatkan bagaimana Malaysia di waktu proses awal modenisasi itu berlaku begitu ghairah mencelup pembangunan gaya Barat sehingga dilupakan asas kepada pembangunan tersebut, iaitu falsafah, etika dan pemikiran Barat yang membentuk kehidupan masyarakat mereka. Beliau mengambil contoh bagaimana keghairahan Malaysia pada ketika itu mengadakan perlumbaan kereta di litar tanpa asas-asas keselamatan dan ilmu-ilmu sains Barat, akhirnya membawa kepada tragedi kematian beberapa audiens akibat kemalangan yang berlaku. Beliau juga mengkritik bagaimana masyarakat Melayu di’tenang’kan oleh budaya-budaya feudalisme sehingga akhirnya mereka hanya mematuhi aktor-aktor feudal tanpa satu pemikiran yang logik dan rasional, tanpa pengembangan ilmu pengetahuan yang baik dan menganut kapitalisme menggunakan kompas moral yang salah. Ketiadaan unsur-unsur pertikaian kepada autoriti dan pembentukan rasionaliti yang baik akhirnya melemahkan daya fikir dan meluaskan budaya penindasan terhadap rakyat kebanyakan. Hal ini berlaku disebabkan oleh kerana ketiadaan satu falsafah masyarakat yang tulen dan kukuh, selain daripada pegangan kehidupan feudalisme yang sentiasa melemahkan dan tidak mampu untuk melahirkan satu masyarakat yang progresif dan mampu berfikir dengan baik.

Sala-delle-udienze-di-maria-maddalena-daustria-affreschi-di-matteo-rosselli-lunette-con-figure-storiche-femminilie-1618-Art-gender-and-the-Renaissance-665x375.jpg

Kita boleh melihat contoh di mana pembangunan masyarakat Eropah dari transisi zaman Gelap kepada Renaissance didominasi oleh peniruan ilmu pengetahuan daripada tamadun dan sarjana Islam pada ketika itu, bukanlah semata-mata kerana teknologi. Tingkat kemajuan peradaban manusia, bukanlah didasarkan pada kemajuan senjata, kelancaran pengairan empangan, atau keproduktifan perlombongan/galian material, tetapi pada perubahan fikiran-fikiran daripada animisme dan metafizik kepada rasionaliti dan saintifik atas dasar ilmu pengajian kemanusiaan dan sosial tersebut. Hal inilah yang menggerakan sejarah peradaban bangsa manusia dari fasa-fasa kemundurannya kepada kemajuannya dari sudut tatanan sosial, orde, undang-undang, pemikiran, norma, budaya dan sebagainya. Transisi kemajuan itu pada dasarnya perlu bermula dengan pemikiran masyarakat yang bersedia untuk berubah, bukanlah dengan harapan kewujudan teknologi dan mesin-mesin itu yang akan mengubah manusia cara manusia itu berfikir. Sekiranya perubahan itu didasari oleh teknologi, kelak dikhuatiri bahawa mesin itu yang akan memandu keinginan manusia, bukanlah manusia yang memandu mesin itu untuk menjalankan fungsinya. Ini seperti perdebatan mengenai samada ilmu sains itu sendiri bersifat jahat ataupun tidak.

Pastinya, bahawa adalah silap untuk menyalahkan instrumen atau mesin yang melakukan kejahatan. Apabila Little Boy dijatuhkan ke atas bandar Hiroshima dan kemudian Fat Boy dijatuhkan ke atas Nagasaki, adakah logik untuk mengatakan bahawa sains yang berupaya mencipta bom uranium dan plutonium itu sebagai sesuatu yang kejam dan jahat? Ini merupakan satu argumentasi yang tidak lengkap dan lemah, kerana pada hakikatnya sains hanyalah sains, ia tidak mempunyai panduan, arahan dan keinginan. Tidak dapat tidak, manusia dipertanggungjawabkan bagi kesalahan ini oleh kerana ketiadaan unsur-unsur etika yang baik seterusnya menyalahgunakan sains, teknologi dan mesin demi menurut keinginan yang terpendam. Tanpa kod moral dan etika yang jelas, yang tidak diberdayakan oleh ahli-ahli fikir dan falsafah dan masyarakat yang tidak mempelajari kepentingan-kepentingan tersebut, selagi itulah masyarakat keseluruhannya akan terus terbenam dalam kegelapan-kegelapan pemikiran yang membungkam rasionaliti dan kebaikan.

Kesimpulannya, dapatlah dipastikan bahawa kepentingan falsafah untuk terus hidup dan segar dalam masyarakat bersifat signifikan, bersesuaian dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat untuk membangunkan ilmu-ilmu pengetahuan. Falsafah merupakan segenap kehidupan yang dialami oleh manusia, maka tidak hairanlah wujudnya falsafah politik, falsafah sains, falsafah alam sekitar dan sebagainya yang bertindak sebagai ejen pembangun pemikiran manusia untuk merungkai persoalan-persoalan kehidupan seharian dengan lebih dalam. Ketiadaan falsafah dalam kehidupan seharian sangat memberi impak, terutamanya kepada daya fikir dan keintelektualan masyarakat dalam memastikan ketamadunan bangsa tidak reput dan goyah dimamah unsur-unsur material dan kekuatan nafsu yang berselindung dalam tabiat manusia. Persoalan falsafah yang lazimnya menemukan perihal-perihal yang baharu merupakan satu nilai tambah yang perlu didukung oleh segenap manusia sebagai idealisme kehidupan, yang sentiasa mencari ilmu pengetahuan dan meninggalkan kemunduran fikiran. Seperti yang diperkatakan oleh Chomsky mengenai pendidikan yang sebenar-benarnya patut ada, “It is not matter what you can cover, but it is matter what you can discover

 

Saudara Faiz Kamaruddin adalah pelajar Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seorang yang setia dan bergaya dalam perwatakkan. Sering kali digelar sebagai pecinta wanita, tetapi hanya wanita yang satu.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s